29 Disember 2010

2011


Sudah ke penghujung rupanya 2010. Sesi 2011 akan hadir beberapa hari sahaja lagi. Ibu bapa mulai sibuk dengan kelengkapan persekolahan anak-anak. Ibu bapa mula membuat perkiraan agaknya. Yuran persekolahan anak-anak? baju seluar ? beg sekolah ? buku-buku dan peralatan tulis baca? Seorang anak perlu peruntukan RM 200.00. Anak dengan bini tua tujuh orang. Anak dengan isteri kedua, empat orang. Manakala anak dengan isteri yang paling muda......sedang mengandung. 11 orang  x RM 200.00 = RM 2200.00. Banyak tu yang perlu disediakan. Bagaimana nak atasi masalah ni ? Berhutang dengan jiran-jiran atau saudara mara? Tangguh dulu bayaran? Jumpa dengan wakil rakyat? Pinjaman dengan ahlong? Jawapannya...itu semua TANGGUNGJAWAB para ibu bapa. Mereka tidak perlu menyusahkan pihak lain kerana masalah diri sendiri. Menyusahkan pihak sekolah kerana anak-anak mereka  tidak membayar yuran sedangkan anak orang lain yang senasib seperti mereka sentiasa berusaha untuk melunaskannya.  Mereka tidak perlu menyalahkan pihak sekolah dengan memberi alasan yuran terlalu tinggi. Mereka tidak perlu menyalahkan kerajaan kerana harga barangan keperluan persekolahan tinggi. Saya sering berjumpa dengan ibu bapa yang bersikap begini setiap sesi persekolahan awal tahun bermula. Sentiasa memberi alasan ketiadaan wang untuk membayar yuran. Tambahan anak-anak yang bersekolah agak ramai.  Tetapi mereka tidak memberi alasan ketiadaan wang untuk melunaskan bil televisyen berbayar, membeli sekotak rokok setiap hari untuk menghitamkan paru-paru diri sendiri, menambah kredit telefon anak untuk berSMS yang tiada faedahnya dan sebagainya. Maaf, mereka hanya pandai 'membuat anak dan beranak' tetapi tidak pandai untuk 'membentuk anak-anak'.