28 Februari 2010

PILIHAN RAYA SEKOLAH DILARANG

KUALA LUMPUR: Pengetua dan Guru Besar sekolah di seluruh negara dilarang mengadakan pilihan raya murid memilih wakil pelajar kerana pendekatan baru yang dipraktikkan beberapa sekolah itu tidak memadai berikutan faktor usia mereka yang terlalu mentah. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata arahan itu dikeluarkan Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu melalui surat pekeliling yang sudah diedarkan ke semua sekolah. Katanya, keputusan itu dibuat kerana kementerian mendapati usia murid terutama di sekolah rendah masih terlalu muda untuk berdepan sistem pilihan raya pemilihan wakil pelajar yang tidak begitu sesuai dilaksanakan. "Tak payahlah, kalau pada peringkat IPT (Institut Pengajian Tinggi) bolehlah, mereka sudah matang. Di sekolah, sebaliknya keadaan masih terlalu awal. "Timbalan Perdana Menteri sudah bagi arahan supaya jangan terbawa-bawa budaya pemilihan di dalam sekolah. Tak perlu bagi mereka pilih ketua murid, biarlah sekolah dan pengetua tentukan siapa yang layak," katanya kepada media sema-lam. Sebelum itu, beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda MCA merasmikan Program Jom Jelajah Dunia di World Expo 2010, Shanghai, China anjuran Pergerakan Pemuda MCA di KL Sentral. Beliau diminta mengulas mengenai kecenderungan beberapa sekolah menjadikan pemilihan wakil sekolah diadakan secara pengundian sama seperti pilihan raya dan menjadikannya sebagai amalan baru dalam sistem persekolahan. Antara sekolah yang sudah melaksanakan pilihan raya murid ialah Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1 (SKTTDI1) pada 11 Januari lalu apabila pemilihan ketua muridnya dikendali dan dipantau sepenuhnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wilayah Persekutuan. Pemilihan itu menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan murid Tahun Enam, meriah dengan semua calon serta penyokong masing-masing berkempen pada saat akhir bagi meraih undi sebelum pengundian bermula jam 11 pagi dan berakhir 1 tengah hari. Khairul Azli Khairul Razi diumumkan pemenang dengan memperoleh 365 undi, mengalahkan pencabar terdekatnya, Alia Suraya Ahmad yang mendapat 281 undi, sekali gus dilantik penolong ketua murid. Mengulas lanjut, Dr Wee sendiri baru saja menerima pekeliling baru itu beberapa hari lalu dan cukup yakin semua pengetua dan guru besar akan mematuhi arahan kementerian demi masa depan murid.

Wajarlah larangan ini dibuat. Pertandingan ini ada baik dan buruknya. Baiknya, mungkin kita boleh memilih calon yang berkebolehan dan bersesuaian untuk memegang tampuk atau jawatan tersebut. Kita boleh mencungkil keberanian dan kepetahan untuk berucap di hadapan khalayak.Tetapi,ada juga keburukannya. Kita bimbang selepas 'pilihan raya sekolah' selesai, muncul puak-puak dalam kalangan murid-murid. Ada team A. Ada team B. Ada puak aku dan ada puak engkau. Kalau sebelum ini mereka bersama-sama berganding bahu untuk menjayakan program sekolah namum kerana kalah dalam 'pilihan raya', mungkin mereka hanya suka menjadi pemerhati sahaja dan lebih gembira untuk melihat kegagalan 'musuh' mereka melaksanakan program tersebut.Inilah yang kita takuti meresap ke dalam jiwa anak-anak murid kita. Apabila  pilihan raya ini  menjadi satu budaya sekolah, mungkin ada murid-murid yang bercita-cita untuk memegang jawatan tertentu. Mungkin gejala lobi-melobi akan wujud secara tidak langsung. Lebih parah jikalau ada murid-murid yang menggunakan ringgit dan sen untuk memancing undi. Sangat sesuai larangan ini dikuatkuasakan. Mungkin tujuan pihak pengurusan sekolah yang telah melaksanakan perkara ini  melihat dari sudut yang baik.

Yang baik dijadikan teladan, yang tidak baik itu sama-samalah kita jadikan sempadan. Di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung. Jikalau pihak atasan sudah mengeluarkan arahan, sama-samalah kita mematuhinya.

27 Februari 2010

MENGAPA PERKARA INI HARUS BERLAKU?

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati dengan kesan luka pada muka dan perut, dipercayai didera oleh teman lelaki ibunya di kediaman mereka, di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, dekat Batang Kali, malam kelmarin. Syafia Humairah Sahari dipercayai ditampar dan disepak di perutnya beberapa kali sehingga mengalami kecederaan parah pada tubuh selain luka muka, dagu, telinga serta lebam kaki dan tangan. Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bahru (HKKB) ketika dibawa oleh teman lelaki ibunya dan ditinggalkan di wad kecemasan selepas mendakwa kanak-kanak itu mati akibat kemalangan jalan raya. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Affandi Yahya, berkata lelaki berusia 28 tahun bersama rakannya melarikan diri sejurus jururawat bertanya maklumat terperinci mengenai kanak-kanak berkenaan.
JENAZAH Syafia Humairah dibawa untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 17 Kuang, Kuala Kubu Bharu, semalam.

Itu sedutan sebahagian berita akhbar harian hari ini. Perasaan sedih, marah, benci dan geram makin bercampur baur apabila mendengar berita di TV pada malamnya. Mengapa anak kecil yang comel ini menjadi mangsa keganasan? Mengapa perkara ini mesti terjadi? Barangkali manusia sudah hilang kemanusiaannya. Barangkali manusia sudah tiada perasaan kasih sayangnya. Barangkali manusia sudah kekeringan akal kewarasannya. ..barangkali????

Harta yang paling tinggi nilainya bagi setiap insan di dunia ini adalah anak. Anak juga menjadi lambang kebanggaan masyarakat. Setiap ibu bapa pasti akan sanggup berkorban apa sahaja untuk kebahagiaan anak-anak mereka. Apabila kita mendengar khabar penderaan kanak-kanak, pasti jiwa kita akan terasa sedihnya. Seorang anak yang sepatutnya dibesarkan dengan limpahan kasih sayang dan didikan daripada orang tua mereka. Bukan tendangan, sepakan dan tumbukan daripada 'lelaki perkasa' sebagai 'hidangan' dan 'makanan' anak kecil  yang lemah segala-gala.

Wahai anakku belahan jiwaku,
bisikan sukma seorang ibu,
Mendengar jeritan suara lahirmu,
Hilang derita bahagia terharu.

Duhai anak cahaya mataku,
Buah hati pelunak jiwaku,
Betapa nian kasih ibumu,
Hanya Allah Yang Maha Tahu.

Oh anak juitaku sayang,
Kasih ibu tiada bandingan,
Sayang ayah bertindih bayang,
Setinggi langit seluas lautan.

Ketahuilah anak dewi tercinta,
Harapan tinggi ayah dan bonda,
Hidupmu biar memberi guna,
Nikmat Allah sejahtera bahagia.

16 Februari 2010

CERMIN

Cermin kecil itu
tidak pernah menipu. Hanya
hati yang mengukir wajah rasa
akulah raja
aku penghulu rimba
sedangkan diri kerdil
luar sana.

Cermin kecil itu
tidak pernah berkata. Hanya
nafsu yang melaungkan kata
aku berkuasa
aku ada segala
sedangkan diri terlalu lemah
di sisi-Nya.

15 Februari 2010

TAK SAMA TAK SERUPA


Tak sama tak serupa. Barangkali itulah kata yang boleh aku nyatakan untuk hal ini. Sudah acapkali staff di sekolah khususnya adik Na dan Che Dah mengatakan wajah aku mirip pelakon Adi Putra. Aku hanya ketawa kecil. Mungkin mereka tertinggal kaca mata agaknya. Aku sendiripun tak pernah lihat lakonan pelakon ini. Bila mereka mengatakan wajahku miripnya, aku memberitahu kepada isteriku. Dia ketawa sambil menyindir-yindir....perasanlah tu. Begitu juga dengan anak-anak, sama dengan ibunya. Mereka menyindir aku jika ada drama yang melibatkan pelakon tersebut. Yang seronoknya, ketika aku pergi membeli jagung rebus di pasar tani Kuala Besut hari ini, penjual jagung tersebut bertanya adakah aku ini bersaudara dengan Adi Putra? Aku tanya kenapa? Dia menjawab wajahku macam Adi Putra.Sudah acapkali katanya, dia melihatku dan ingin bertanya tentang hal ini. Aku tersenyum dan mengatakan mungkin pelanduk dua serupa. Dalam kereta ketika ingin pulang, aku memberitahu isteri tentang penjual jagung tadi. Dia ketawa sehingga keluar air mata. Aku tersenyum  sambil makan jagung yang dibeli sebentar tadi.

13 Februari 2010

DALAM KENANGAN

Pagi Jumaat yang hening, 12 Februari 2010 bersamaan 27 Safar 1431, aku mendapat panggilan telefon daripada Cikgu Rahim yang menyatakan bahawa seorang rakan sejawat iaitu Cikgu Nawi Abdul Rahman, 44 tahun telah menghembuskan nafasnya awal pagi tadi. Rasa terkejut menyelubungi diri. Apatah tidaknya, semalam kami bersama-sama di padang sekolah kerana melatih para pelajar rumah sukan masing-masing untuk kejohanan olahaga minggu depan. Allahyarham Nawi atau lebih dikenali dengan panggilan Ziyan dalam kalangan rakan sekampung adalah seorang insan yang pendiam, mesra  dan senang untuk bekerjasama. Aku telah mengenalinya semenjak kecil lagi kerana kami tinggal sekampung, bersekolah bersama sehingga kami meneruskan pengajian di USM tahun 1987. Kami bersama-sama menyarung jersi bolasepak mewakili pasukan Permata USM. Kini, kami bertugas di bawah bumbung yang sama, SMK Permaisuri Nur Zahirah.
          Begitulah kehidupan di dunia ini, hanya sementara sahaja. Setiap yang hidup pasti mati. Ketentuan yang telah ditetapkan Allah SWT ke atas makhlukNya. Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas Allahyarham Nawi bin Abdul Rahman.

           Al-Fatihah.Amin
       

09 Februari 2010

BERSYUKURLAH KITA

Selesai mengambil anak pulang dari kelas tuisyen, aku melayari internet. Aku terjumpa gambar-gambar  yang cukup menyentuh rasa kemanusiaan. Berbanding dengan kita di bumi Malaysia, aku rasanya tiada masyarakat kita yang hidup begini rupa. Biarpun hidup dikatakan miskin dan dhaif, namun masih mampu menikmati makanan dan sihat tubuh badan. Mungkin tidak mampu memiliki sebuah kereta tetapi mungkin motor buruk ada di laman sana. Kita fikir dan renung sendiri. Allah SWT menguji kita dengan kesenangan, kemewahan dan kekayaan. Berbeza dengan rakan kita di sana, yang tiada apa-apa. Hanya mengharap sebiji nasi dan setitik air untuk terus  menatap dunia.

KASIH SAYANG

Kasih sayang adalah kunci kehidupan yang berbahagia. Tanpanya, hidup kita akan terasa kekosongan dan kegelapannya. Tidak kira miskin atau kaya, haiwan ataupun manusia, semuanya hidup bahagia jika hidup dilimpahi kasih sayang.  Pelbagai cara kita menyatakan kasih sayang. Jika orang berada, mungkin dibeli seutas gelang emas ribuan ringgit untuk orang tersayang.Atau juga sebuah kereta vios putih tanda suci kasihnya kepada isteri tercinta. Atau seekor anak patung beruang yang cantik untuk anak kecil yang sedia menanti kepulangan. Ada juga yang hanya mampu membelai-belai dan memberi ciuman mesra untuk anak-anak sebelum melangkah pergi ke tempat kerja. Tidak kurang juga yang sering membisikkan kata-kata, "anakku, kaulah permata ayah bonda. Belajarlah. Itu harta yang akan kau bawa ke hari muka". Bagi seekor beruk betina tua pula, mungkin hanya pandai mengusap kepala anaknya tanda kasihnya yang tak terhingga. Itulah kasih sayang. Pelbagai cara kita menyatakannya. Dalam diam, kita mengucap syukur ke hadrat Allah SWT Yang Maha Esa yang telah memberikan kebahagian dalam hidup kita. Semailah kasih sayang sesama manusia, haiwan dan alam semesta.

08 Februari 2010

8 FEBRUARI

Pagi tadi, sebelum ke sekolah, isteriku menyapa, "bang, hari ini berapa haribulan?".

           Oh ya..aku lupa.  Mungkin kerana kesibukan maka kita mudah lupa agaknya.Atau kerana umur kita semakin berusia. Sebenarnya, dalam hidup kita banyak nombor dan tarikh yang perlu kita ingat dan simpan dalam memori otak kita. Nombor kereta, nombor telefon, nombor pin bank, nombor kunci peti besi, nombor cukai pendapatan dan pelbagai nombor lagi. Ada juga orang yang sanggup mengeluarkan duit ratusan ringgit setiap bulan kerana membeli nombor.Ada orang yang jumpa tok bomoh, kononnya dapat memberikan nombor-nombor bertuah. Ada juga orang sanggup membelanjakan ratusan ribu ringgit untuk membeli nombor kenderaan. Begitu juga dengan tarikh. Tarikh lahir anak isteri suami, tarikh pengesahan jawatan, tarikh ulangtahun perkahwinan isteri pertama hingga keempat dan banyak tarikh lain. Mungkin kerana sistem teknologi yang canggih, kita dapat menyimpan tarikh, nombor-nombor dengan selamat dan dapat mencari dengan cepat apabila diperlukan. Kesimpulannya, nombor dan tarikh adalah angka semata-mata. Walaupun ia sekadar angka sahaja namun ia membawa banyak makna kepada setiap orang.
           Apabila detik waktu berlari memikul kita bersamanya, kita sebenarnya semakin jauh meninggalkan masa lalu. Usia kita semakin bertambah. Usia muda semakin berkurang, yang tua pula mengisi ruang kehidupan. Apapun, kita tak dapat menahannya. Biarpun solekan menebal diwajah kita..usia tidak akan mengundur walau setapak jua. Hanya kita sahaja yang merasakan diri masih atau semakin muda. Kita jangan fobia dengan angka ini. Itulah ketetapan Allah SWT. Cuma kita sebagai makhlukNya,taat dan sujud kepadaNya sentiasa.

          8 Februari. Selamat panjang umur. Selamat memasuki alam usia ke 42. Selamat berbahagia untuk seseorang yang sentiasa sabar meluangkan masa mendengar bicara kata, memupuk semangat ketika resah terbekam di dada dan mengucapkan kata-kata manis dikala diri dirundung duka. Terima kasih..isteri tersayang.

04 Februari 2010

Di mana rakan-rakan sekarang ?













PEGAWAI MUDA PALAPES USM YANG DITAULIAHKAN PADA PENTAULIAHAN DIRAJA KE-9 23 JUN 1990 DI UNIVERSITI PERTANIAN MALAYSIA

LT M DANABALAN A/L MADACANNO @ RAMASAMY
LT M ABDULLAH B. OMAR - dah naik pangkat Left. kolonel di Kulim, Kedah
LT M AHMAD RUSDI B. HJ HUSSAIN - di Seberang Prai, Pulau Pinang
LT M HAMZAH B. YAACOB
LT M JAMAL B. AZIZ
LT M MD HISHAM B. ABD RAZAK - di USM, Kepala Batas
LT M MEOR ABDUL RAZAK B. MUSA - jurutera hebat di Shah Alam, Selangor
LT M MOHD YUSOFF B. SALLEH - kontraktor berjaya di Kota Bharu, Kelantan
LT M MOHAMAD SHUKRI B. TUAN ALI - jadi Cikgu Besar di Sungai Petani, Kedah
LT M MOHD SABRI B. IN YAHMAN
LT M MOHD RAFI B. M.KUNJAHAMAD
LT M NASARUDIN B. ABDUL AZIZ- drebar helikopter di Kerteh, Terengganu
LT M ROZAIMI B. SENAWI - tauke kilang di Seremban, Negeri Sembilan
LT M RUZAIMI B. HJ RAMLI
LT M RUBIA BT. AHMAD BASHAH
LT M SIM GIOK SOON
LT M SITI ZAITON BT. MANAF
LT M TAN CHEE KIAN
LT M YUSRI B. MOHAMMAD
LT M ZURAIDAH BT. AHMAD
LT M ZAINOL B. TOKIMEN
LT M AHMAD NORFEIZAN B. MD HANI
LT M KARUNAGARAN A/L KRISHNAN
LT M LIM SIEW CHIN
LT M OMAR B. MOHAMAD
LT M OTHMAN B. MOHD REJAB - jadi Pen. Pengetua di Pulau Pinang
LT M RAHMAD B. ZAKARIA - Pensyarah di USM, Pulau Pinang
LT M SHARIF B. HASSAN - di Kedah
LT M ABU BAKAR B. ABD MAJID
LT M AHMAD NASUHARDI B. YUSOF
LT M BAT KAMARUZAMAN B. ABDUL KADIR
LT M ELAVENI A/P THAMBIRAJAH
LT M NAFIZAH BT. ABD WAHAB
LT M SIM EE HWA
LT M TAN BAN KIAT
LT M YEE HUI KHIM
LT M ZAIDI B. BIDIN
LT M ZULKEPLI B. AHMAD
LT M LILI ZURIANI BT. MUHAMAD NUR
LT M LEE KAR LENG
LT M MOHD BASHAH B. OTHMAN
LT M RABE B. JUHARI
LT M TEH SAW WOOI
LT M WU KIAN HONG
LT M YOH BUN HOOI
LT M WONG HOCK TSEN
LT M TAN LOON TUCK
LT M TEOH CHONG KIM
LT M DINESH NADARAJAH
LT M AMIR AZHA B. YUSOF - jadi cikgu di Besut, Terengganu
LT M MOHD HANAFIAH B. NOOR @ MAT NOOR - jadi Pen. Pengetua di Kota Bharu, Kelantan
LT M ABDUL HAMID B. ABDUL RAHMAN
LT M ABD WAHAB B. MOHAMAD
LT M ANUAR B. AZIZ
LT M ARSAD B. NAAIN
LT M AZHAR B. AHMAD
LT M CHONG BAN SENG
LT M JIFRI B. ABD HAMID
LT M MAT SUBARI B. DAUD
LT M MOHAMAD ZAKI B. OTHMAN
LT M MOHANASELVAM A/L THANATHARAN
LT M MOHD PIKRI B. LOMAN
LT M SAHARUDIN B. SULE
LT M SRI RAMESH KUMAR A/L AMIRTHALINGAM
LT M YONG CHEE MIN
LT M YONG CHAW KUAN
LT M MOHD ZAMRI B. MUSTAPHA - jadi Pen. Pengetua di Kota Bharu, Kelantan
LT M TIEW TONG EYAN

sikap kita

FALSAMPAH GILA-GILA :BIARLAH DUDUK KERANA PENAT DARIPADA PENAT KERANA DUDUK.

         Petang tadi, selepas selesai urusan di sebuah bank di Jerteh, aku memasuki sebuah kedai buku. Aku ingin membeli surat khabar . Tiba-tiba anakku memberitahu bahawa dia ingin membeli sebuah majalah iaitu Gila-Gila. Ya, sudah lama aku tidak membaca majalah ini. Walaupun dikenali sebagai sebuah majalah humor sahaja namun kadang-kadang kartunnya atau bicara humor di dalamnya membawa seribu makna.
         Petikan di atas, aku petik daripada majalah ini. Kata-kata ini mempunyai maksud yang mendalam. Dalam kehidupan seharian, kita akan bertemu dengan pelbagai ragam dan karenah manusia. Satu sikap yang sering kita jumpai ialah sikap MALAS. Ada yang malas bekerja, malas belajar, malas berusaha, malas mencari ilmu dan bermacam-macam malas lagi. Apabila kita malas, kita akan mencipta pelbagai alasan dengan harapan orang lain akan memahami masalah kita.Contohnya, apabila seseorang  menyuruh kita membuat sesuatu kerja kepada diri kita, mungkin kita akan melihat ianya sebagai satu halangan dan masalah besar kepada diri kita. Maka kita akan mencari alasan-alasan supaya tugasan tadi diserahkan kepada orang lain.

 "Maaflah cikgu, saya tidak pandai komputer. Kalau saya buat mungkin cikgu tidak menyukainya",

" Saya masih baru di sini. Saya tidak kenal dengan rakan-rakan di sini. Bagaimana saya boleh meminta mereka melakukan kerja ini. Saya tidak boleh melakukannya, cikgu".

"Cikgu, saya orang miskin. Hidup susah. Kalau saya belajar bersungguh-sungguhpun, saya tetap miskin juga..tak da duit nak masuk U"

         Mungkin itu sebahagian daripada kata-kata yang kita akan dengar daripada seseorang. Sepintas lalu memang nampak kebenaran kata-kata tadi tetapi apabila kia menghayati betul-betul, semuanya terbit kerana ketidakyakinan kepada diri sendiri dan sikap MALAS. Oleh kerana itu, manusia sering dimotivasikan diri mereka melalui ceramah, forum, syarahan dan sebagainya supaya mereka yakin kepada keupayaan, keisitmewaan dan kelebihan yang ada dalam diri mereka. Masalahnya, mereka sendiri tidak memotivasikan diri sendiri.
          Di sekolah, kita sering berjumpa dengan pelajar yang bersikap seperti falsampah Gila-Gila ini. Mereka lebih cepat mencari jalan untuk mencipta alasan daripada mencari akal menyelesaikan tugasan. Pernah aku bertanya kepada pelajar di kelas yang paling akhir di tingkatan lima, siapakah yang yakin dirinya akan lulus Bahasa Melayu. Jawapannya, hanya 10 orang daripada 29 orang yang mengangkat tangan menandakan mereka yakin lulus Bahasa Melayu. Ditanya mengapa yang lain tidak mengangkat tangan, mereka menjawab : tidak yakin.
           Mereka lebih senang tidur daripada menjawab soalan peperiksaan . Mereka lebih pentingkan motor daripada buku-buku pelajaran. Mereka lebih kenal siapa penyanyi rock terkenal di Amerika tetapi mereka tidak kenal nama ustazah yang mengajar Pendidikan Islam di kelas mereka. Mereka merungut tiada wang untuk membayar yuran tetapi mudah saja kalau hendak membeli sekotak rokok.

            Begitulah....kalau kita sering mencipta alasan daripada menguatkan azam mengapai kejayaan.
          

02 Februari 2010

hidup ini

Benar kata orang, semakin jauh kita meninggalkan garisan permulaan, sebenarnya semakin dekat kita dengan garisan perhentian. Semakin lama kita menghirup manisnya kehidupan, semakin dekat pula kita dengan detik kematian. Ketentuan yang telah ditetapkan Allah S.W.T. ke atas makhlukNya.

Al-Fatihah buat Allahyarham Cikgu Mat Bong .

Manisnya kenangan

           Seringkali kita terasa rindu tentang masa lalu. Masa yang telah membesarkan kita. Masa yang telah mematangkan diri kita. Masa yang menebar jala kehidupan : suka duka terhimpun segala dalam lipatan ingatan. Kekadang, kita ingin menjejak masa lalu . Tidak kira samada peristiwa sepahit hempedu ataupun semanis madu, kenangan tetap indah. Semakin jauh langkah kita berjalan semakin banyak kita menghimpun pengalaman. Semakin jauh kita meninggalkan pelabuhan, semakin kuat ingatan kita kepada daratan. Semakin lama kita berpisah, sebenarnya dikalbu semakin kuat rindu  resah menerjah. Benar kata bidalan : sayangkan anak tangan-tangankan,sayangkan  isteri tinggal-tinggalkan. Bagaimana dengan suami? Sayangkan suami rapat-rapatkan..
           Teknologi memudahkan kita mencari rakan-rakan lama yang puluhan tahun tidak berjumpa. Aku menjejak teman-teman sewaktu belajar dahulu. Aku melihat satu nama yang pernah aku kenal tetapi wajahnya agak berlainan. Aku amati betul-betul...akhirnya sah beliau adalah rakan semasa di USM. Tapi wajah sudah berubah..berambut berjanggut putih. Aku menghubunginya. Bertanya khabar tentang diri, isteri, anak-anak dan kerjaya. Alhamdulillah, dia dah jadi pentadbir no. 2 di sekolah sains di Negeri Sembilan. Begitu juga dengan beberapa teman lain, mereka sudah bahagia dengan keluarga dan kerjaya masing-masing.
           Masa boleh mengubah wajah kita tetapi jangan membiarkan ia mengubah ikatan kasih sayang persahabatan antara kita. Manisnya kenangan...