08 Februari 2010

8 FEBRUARI

Pagi tadi, sebelum ke sekolah, isteriku menyapa, "bang, hari ini berapa haribulan?".

           Oh ya..aku lupa.  Mungkin kerana kesibukan maka kita mudah lupa agaknya.Atau kerana umur kita semakin berusia. Sebenarnya, dalam hidup kita banyak nombor dan tarikh yang perlu kita ingat dan simpan dalam memori otak kita. Nombor kereta, nombor telefon, nombor pin bank, nombor kunci peti besi, nombor cukai pendapatan dan pelbagai nombor lagi. Ada juga orang yang sanggup mengeluarkan duit ratusan ringgit setiap bulan kerana membeli nombor.Ada orang yang jumpa tok bomoh, kononnya dapat memberikan nombor-nombor bertuah. Ada juga orang sanggup membelanjakan ratusan ribu ringgit untuk membeli nombor kenderaan. Begitu juga dengan tarikh. Tarikh lahir anak isteri suami, tarikh pengesahan jawatan, tarikh ulangtahun perkahwinan isteri pertama hingga keempat dan banyak tarikh lain. Mungkin kerana sistem teknologi yang canggih, kita dapat menyimpan tarikh, nombor-nombor dengan selamat dan dapat mencari dengan cepat apabila diperlukan. Kesimpulannya, nombor dan tarikh adalah angka semata-mata. Walaupun ia sekadar angka sahaja namun ia membawa banyak makna kepada setiap orang.
           Apabila detik waktu berlari memikul kita bersamanya, kita sebenarnya semakin jauh meninggalkan masa lalu. Usia kita semakin bertambah. Usia muda semakin berkurang, yang tua pula mengisi ruang kehidupan. Apapun, kita tak dapat menahannya. Biarpun solekan menebal diwajah kita..usia tidak akan mengundur walau setapak jua. Hanya kita sahaja yang merasakan diri masih atau semakin muda. Kita jangan fobia dengan angka ini. Itulah ketetapan Allah SWT. Cuma kita sebagai makhlukNya,taat dan sujud kepadaNya sentiasa.

          8 Februari. Selamat panjang umur. Selamat memasuki alam usia ke 42. Selamat berbahagia untuk seseorang yang sentiasa sabar meluangkan masa mendengar bicara kata, memupuk semangat ketika resah terbekam di dada dan mengucapkan kata-kata manis dikala diri dirundung duka. Terima kasih..isteri tersayang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan