18 Ogos 2009

SELSEMA BABI, INFLUENZA A H1N1.

Beberapa bulan lepas, kita masih rasa selamat kerana kita tak mengunjungi ke luar negara ataupun menaiki pesawat ke luar negara. Ataupun tak ada saudara mara dari luar negara berkunjung ke rumah kita.Tambahan pula, banyak kes selesama babi yang berlaku melibatkan kes-kes import. Bukan kes tempatan. Tetapi kini kes-kes selesama babi ini berada di merata-rata. Baru-baru IPSM yang terletak di sebelah sekolahku telah ditutup..ah! masing-masing merasa gundah.

Aku melihat ada juga rakan-rakan sekolah yang memakai topeng mulut dan hidung sebagai langkah pencegahan. Ada jugak pakai topeng dileher...lemas, rimas dan kurang selesa kata cikgu Sidek.

Dalam keadaan begini, kita rasa takut untuk bergerak ke mana-mana. Namun kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa ia satu wabak yang sedang merebak. Yang kita wajib dan yakin adalah semua ini adalah ketentuan-Nya dan kepada Allah s.w.t jua tempat kita menadah doa memohon perlindungan dan keselamatan. Di samping kita juga berusaha mengawalnya segala yang terdaya melalui pengaulan dan penjagaan kebersihan.
Ingin dikongsi satu doa untuk keselamatan dan kesentosaan daripada segala penyakit yang dipanjangkan oleh Dato’Haji Murtaza bin Haji Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan yang bermaksud :
Kami berlindung dengan Mu ya Allah! Tuhan yang memiliki keagungan dan kekuasaan, kami berpaut pada-Mu ya Allah Tuhan pemilik sekelian alam yang ghaib, dan kami bertawakal kepada-Mu ya Allah Tuhan yang hidup lagi tidak mati. Wahai Tuhan kami! Jauhkanlah kami daripada wabak ini, lindungilah kami daripada kebinasaan yang dahsyat dan peliharalah kami daripada segala penyakit yang berjangkit, ta’un dan bala bencana, dengan ihsan-Mu wahai Tuhan Yang Maha Lembut Lagi Maha Mengetahui, sesungguhnya-Mu ya Allah Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Selawat dan salam ke atas junjungan Penghulu kami, Nabi Muhamad s.a.w, ahli keluarganya, serta sahabat-sahabatnya. Segala pujian bagi-Mu ya Allah Tuhan pemilik sekelian alam.

16 Ogos 2009

18 Ogos ni

Bini muda! Topik hangat pagi ini.
Cikgu Tuan Kob bertanya kepada seorang sahabat ( nama dirahsiakan demi keselamatan piring pinggan terbang )selepas makan pagi di kantin "betul ke mu kahwin seorang lagi'. Rakan tersebut hanya tersenyum dan akhirnya mengatakan itulah hanyalah tohmahan belaka. Aku percaya dengan sahabatku itu. Dia jujur. Cuma sikapnya yang suka 'bersuka-suka' dan bergurau dengan guru perempuan yang belum kahwin, maka tohmahan ini timbul.
Sering jugak diajukan kepada isteri bahawa seronoknya bini muda. Jawapannya " Binilah. Senang ada orang nok urut betis yang selalu lenguh tu". Dia tahu aku hanya bercakap aje tapi tak sanggup melakukannya. Akupun tahu bahawa aku tak akan berbini muda dalam usia yang semakin 'tua'. Ye ke..banyak yang aku lihat..orang berbini muda hanya sedikit sahaja yang seronoknya tapi banyak masalah yang kena hadapi . Anak-anak terabai, nafkahpun jarang-jarang sampai, rambut kusut masai dan sebagainya.
Aku senyum sendirian. Sudah 15 tahun aku menjadi suami kepada Nxx xxxxxh. Aku pernah tanya bahagiakah dia hidup bersamaku tetapi dia tak pernah menjawabnya. Hanya senyum dandiam. Perkahwinanku umpama cerita melayu klasik..tak ada plot pencintaan di bawah sinaran terang bulan. Tak ada utus surat menyata rasa cinta dan bertanya khabar berita. Aku tak pernah kenal dia walaupun sekampung denganku. Cuma apabila ibu bertanya kepada aku, "mu nok ke dok ko dio. Mak nok gi pinang dio". Jawabku "sesuai dimata mak, sesuailah pada diri kito".
Isteriku yang disayangi,
Lusa, 18 ogos ni, kita sambut ulangtahun ikatan suci dengan penuh kesyukuran atas rahmat dan nikmat Allah s.w.t kepada kita. tak ada gelang baru cuma air milo kosong saja akan disajikan.

52- di bawah rahmat-Nya, kita sambut MERDEKA

Pagi tadi, sekolahku menyambut bulan kemerdekaan. Kami laungkan MERDEKA! MERDEKA! MERDKA! Semangat sungguh guru-guru dan anak murid melaungkannya. Sebelum itu, kami mendengar amanat tuan pengetua tentang erti kemerdekaan. Katanya, susahnya hendak menjelaskan pengertian merdeka kepada anak-anak muda zaman sekarang ini umpama kita ingin memberitahu orang lain bagaimana seksanya apabila kita sakit gigi. Mungkin kita menyambutnya dengan deklamasi sajak yang panjang berjela dan semangat membara, mungkin kita pentaskan pentomin tentang kegigihan pejuang bangsa memerdekakan negara, mungkin kita bersama-sama melaung menjerit laungan MERDEKA. Tetapi...bagaimanakah penerimaan mereka, anak-anak muda ini.

Anak-anak sekarang tidak dapat menyelami dan menghayatinya kemerdekaan itu sebenarnya. Celik mata mereka sudah menikmati nikmat kemerdekaan. Untuk ke sekolah, tidak perlu bersusah payah berjalan kaki merentasi jalan merah berdebu, meredah belukar dan menyeberang sungai. Hidup mereka dikelilingi pelbagai kemudahan dan kesenangan.

Kita perlu memanjat kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana diberikan kemewahan dan kemakmuran kepada negara yang tercinta ini. Kita bertuah kerana negara ini kaya dengan hasil ekonomi, keharmonian hidup masih menjadi pegangan masyarakat biarpun ada suara sumbang untuk mengugatkannya, ketinggian budi pekerti masih kukuh diamalkan walaupun sedikit sebanyak semakin luntur dewasa ini.

Kita bertuah kerana negara ini sudah 52 tahun merdeka. Banyak negara lain yang sudahpun merdeka tetapi bergelut dengan persengketaan sesama sendiri, kebuluran menjadi-jadi , pengeboman di sana sini dan banjir besar gempa bumi meragut ribuan nyawa menghancurkan bangunan kebanggaan manusia. Tetapi kita masih terkilan kerana masih ramai anak bangsa kita, bangsa Melayu yang terjajah minda dan akal budinya. Mereka masih menjadi 'jaguh' sebagai mat rempit, penghuni pusat serenti, penganggur dan juga pendemotrasi jalanan bagi menuntut sesuatu yang mereka sendiri tidak mengerti.

Ya Allah, aku memohon kepada-Mu agar jauhkan bangsaku, negaraku daripada anasir-anasir yang boleh mengugat keharmonian dan kemakmuran yang dinikamti selama ini.