18 Ogos 2010

SEDIH


Anggota  polis mengangkat Najihah Natri yang cedera di bahagian
badan selain putus dua jari tangan setelah ditetak bapanya
Sedih dan pilu apabila membaca berita tentang kematian ibu dan anak akibat amukan bapa mereka sendiri ketika ingin bersahur. Lebih malang, bapa mereka juga turut terbunuh dalam kejadian tersebut. Hidup mereka menjadi yatim piatu. Begitu juga dengan berita seorang isteri dan anak yang disimbah asid oleh bapa mereka sendiri. Berita begini amat menyayat hati. Ketika masyarakat Islam menyambut keberkatan dan kemuliaan bulan Ramadhan, kita dikejutkan dengan cerita duka ini. Tidaklah ingin kita membicarakan silap salah siapa namun yang pasti menderita ialah anak-anak yang tidak berdosa. Mereka pasti terganggu siang malam dengan mimpi ngeri. Apatah tidaknya, merekalah yang menjadi mata dan saksi cerita malang ini. Mereka melihat bagaimana ayahnya yang sering menumpah kasih membelai sayang kepada diri mereka tetapi berubah menjadi lelaki yang ganas memukul dan menetak ibu mereka sendiri. Malah diri mereka sendiri juga menjadi mangsa. Mereka terlilit akar derita. Tangkai hati kecil mereka disentap malapetaka. Mereka pasti mengenang kecacatan dicermin akibat bapa mereka sendiri. Cukup payah bagi mereka untuk memadamkan jelaga hitam ini dalam catatan hidup mereka. Amat tragis peristiwa ini. Anak-anak ini pastinya perlukan bantuan; bukan sekadar wang ringgit untuk meneruskan perjalanan kehidupan tetapi dorongan yang berterusan, kasih sayang yang berpanjangan,keprihatinan masyarakat dan sebagainya.Kita doakan agar mereka diberikan kekuatan untuk meneruskan alam kehidupan yang masih panjang. Kita doakan agar mereka diberikan kesabaran dan ketabahan mendepani masa depan.

11 Ogos 2010

RAMADHAN

Fadilat ramadhan - dipetik dari darulnuman.com

Hadith 1
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Hadith 2
Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

Hadith 3
Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."

Hadith 4
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

Hadith 5
Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."

Hadith 6
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."

06 Ogos 2010

CUTI-CUTI MALAYSIA


Cuti sekolah baru-baru ini, aku sempat membawa keluarga menjejak kaki ke Pulau Langkawi. Aku menaiki feri melalui jeti Kuala Kedah. Tambangnya lebih mahal berbanding di Kuala Perlis. Malahan masa perjalanan juga lebih lama, hampir satu setengah jam. Sudah lama benar aku tidak ke sana. namun tidak banyak perubahan. Masih seperti dulu. Seperti biasa, jika ke Langkawi, tempat yang sering dikunjungi ramai tentulah kedai yang menjual pinggan mangkuk, coklat, sudu garpu, beg dan sebagainya. Masing-masing sudah bersiap sedia; mental dan fizikal untuk membeli barangan. Sudah ada senarai agaknya. Mungkin juga pesanan orang kampung, saudara mara dan sahabat handai. Kereta dan van penuh dengan barang-barang. Tapi aku hanya jadi pemerhati aje. Dua hari di Langkawi, aku ke Ipoh. Bermalam di rumah birasku, di Kem Polis Hulu Kinta. Sempat jugalah bawa keluarga ke Lost World of Tambun. Anak-anak sungguh seronok.