16 Ogos 2009

52- di bawah rahmat-Nya, kita sambut MERDEKA

Pagi tadi, sekolahku menyambut bulan kemerdekaan. Kami laungkan MERDEKA! MERDEKA! MERDKA! Semangat sungguh guru-guru dan anak murid melaungkannya. Sebelum itu, kami mendengar amanat tuan pengetua tentang erti kemerdekaan. Katanya, susahnya hendak menjelaskan pengertian merdeka kepada anak-anak muda zaman sekarang ini umpama kita ingin memberitahu orang lain bagaimana seksanya apabila kita sakit gigi. Mungkin kita menyambutnya dengan deklamasi sajak yang panjang berjela dan semangat membara, mungkin kita pentaskan pentomin tentang kegigihan pejuang bangsa memerdekakan negara, mungkin kita bersama-sama melaung menjerit laungan MERDEKA. Tetapi...bagaimanakah penerimaan mereka, anak-anak muda ini.

Anak-anak sekarang tidak dapat menyelami dan menghayatinya kemerdekaan itu sebenarnya. Celik mata mereka sudah menikmati nikmat kemerdekaan. Untuk ke sekolah, tidak perlu bersusah payah berjalan kaki merentasi jalan merah berdebu, meredah belukar dan menyeberang sungai. Hidup mereka dikelilingi pelbagai kemudahan dan kesenangan.

Kita perlu memanjat kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana diberikan kemewahan dan kemakmuran kepada negara yang tercinta ini. Kita bertuah kerana negara ini kaya dengan hasil ekonomi, keharmonian hidup masih menjadi pegangan masyarakat biarpun ada suara sumbang untuk mengugatkannya, ketinggian budi pekerti masih kukuh diamalkan walaupun sedikit sebanyak semakin luntur dewasa ini.

Kita bertuah kerana negara ini sudah 52 tahun merdeka. Banyak negara lain yang sudahpun merdeka tetapi bergelut dengan persengketaan sesama sendiri, kebuluran menjadi-jadi , pengeboman di sana sini dan banjir besar gempa bumi meragut ribuan nyawa menghancurkan bangunan kebanggaan manusia. Tetapi kita masih terkilan kerana masih ramai anak bangsa kita, bangsa Melayu yang terjajah minda dan akal budinya. Mereka masih menjadi 'jaguh' sebagai mat rempit, penghuni pusat serenti, penganggur dan juga pendemotrasi jalanan bagi menuntut sesuatu yang mereka sendiri tidak mengerti.

Ya Allah, aku memohon kepada-Mu agar jauhkan bangsaku, negaraku daripada anasir-anasir yang boleh mengugat keharmonian dan kemakmuran yang dinikamti selama ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan