02 Februari 2010

Manisnya kenangan

           Seringkali kita terasa rindu tentang masa lalu. Masa yang telah membesarkan kita. Masa yang telah mematangkan diri kita. Masa yang menebar jala kehidupan : suka duka terhimpun segala dalam lipatan ingatan. Kekadang, kita ingin menjejak masa lalu . Tidak kira samada peristiwa sepahit hempedu ataupun semanis madu, kenangan tetap indah. Semakin jauh langkah kita berjalan semakin banyak kita menghimpun pengalaman. Semakin jauh kita meninggalkan pelabuhan, semakin kuat ingatan kita kepada daratan. Semakin lama kita berpisah, sebenarnya dikalbu semakin kuat rindu  resah menerjah. Benar kata bidalan : sayangkan anak tangan-tangankan,sayangkan  isteri tinggal-tinggalkan. Bagaimana dengan suami? Sayangkan suami rapat-rapatkan..
           Teknologi memudahkan kita mencari rakan-rakan lama yang puluhan tahun tidak berjumpa. Aku menjejak teman-teman sewaktu belajar dahulu. Aku melihat satu nama yang pernah aku kenal tetapi wajahnya agak berlainan. Aku amati betul-betul...akhirnya sah beliau adalah rakan semasa di USM. Tapi wajah sudah berubah..berambut berjanggut putih. Aku menghubunginya. Bertanya khabar tentang diri, isteri, anak-anak dan kerjaya. Alhamdulillah, dia dah jadi pentadbir no. 2 di sekolah sains di Negeri Sembilan. Begitu juga dengan beberapa teman lain, mereka sudah bahagia dengan keluarga dan kerjaya masing-masing.
           Masa boleh mengubah wajah kita tetapi jangan membiarkan ia mengubah ikatan kasih sayang persahabatan antara kita. Manisnya kenangan...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan