22 Januari 2010

Tahun 2010

           Sudah lama aku tidak menulis . Hanya baca cerita yang sudah basi. Sambil itu, aku menjelajah juga ke blog orang lain yang aku kenali. Ada cerita-cerita baru dan ada juga macam aku..tak terusik juga. Mungkin rakan tu sibuk dengan tugas-tugas di sekolah. Betullah kata orang, hendak jadi seorang penulis mesti kreatif, kritis, peka keadaan sekeliling dan perlu ada keazaman untuk menulis. Masa di universiti dulu , aku ambil subjek Kesusasteraan Melayu sebagai major pengajian. Pensyarahku ketika itu  Shahnon Ahmad. Beliau seorang yang hebat dan amat kreatif semasa mengarang. Ada ketikanya aku kena mencipta cerpen dan sajak sebagai tugasan. Nak menulis satu cerpen yang bermutu bukan satu kerja yang mudah...sakit kepala nak menyelesaikannya. Walaupun begitu, aku bersyukur walaupun tidak berjaya menjadi seorang sasterawan tetapi ditakdirkan juga menjadi guru yang mengajar kesusasteraan Melayu...subjek yang tidak popular di sekolah. Itulah sebabnya banyak sekolah tidak menawarkan subjek ini sebagai elektif dalam SPM. Kurang 'bernilai' agaknya untuk memasuki institusi pengajian tinggi.
           Setiap awal tahun, kita sering diajukan soalan tentang azam. Ada yang berazam nak sambung belajar buat MA. Ada yang berazam nak beli kereta baru...tahniahlah kepada sahabatku yang dah berjaya menunaikan azamnya. Comel Vios putih TAX xxxx. Bolehlah ambo tumpang sekali sekala. Ada yang berazam nak kahwin..he..he..he...kahwinkan anak aje. Surat jemputan dah diberi pagi tadi..terima kasih Kak Zailani dan Cikgu Din. Bunyi kata nak rebahkan 4 ekor lembu...sembelih seekor jah. Berseri-seri wajah seorang ibu yang akan menerima menantu dan pastinya mengharapkan kebahagiaan kepada anaknya.
          Azamku? masih sedang difikirkan.Yang pasti aku mengharapkan aku dan keluarga menjadi lebih baik daripada hari semalam. Keriangan anak-anak dan senyuman isteri yang baharu bertukar ke sekolah baru adalah vitamin kepada diriku. Aku melihat isteriku tidak merungut walaupun bertugas di tempat baharu dan terpaksa memegang tugas-tugas baharu. Dia dapat menerima hakikat seorang penjawat awam. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Memang perpisahan akan menyentuh emosi dan perasaan. Apatah lagi, teman-teman yang rapat terpaksa ditinggalkan. Air mata yang menitis ketika mendakap teman-teman adalah jawapan tentang kasih dan sayang. Itu lumrahnya. Sebenarnya apabila kita bertukar sekolah, banyak hikmahnya. Kita akan mengutip seribu pengalaman baharu. Kita akan berhadapan dengan kerenah ribuan murid-murid baharu. Kita akan berkenal mesra dengan rakan-rakan sejawat yang baharu.
            Dalam cuti sekolah baru-baru ini, aku dikehendaki menghadiri Kursus Orientasi Guru Cemerlang peringkat Zon Timur di Bukit Keluang Beach Resort. Seronok, letih, penat, gembira, marah, puas dan sebagainya  terkandung kukuh dalam lipatan kenangan.Semoga  teman sekumpulan sihat sejahtera.
           

Tiada ulasan:

Catat Ulasan