27 Februari 2010

MENGAPA PERKARA INI HARUS BERLAKU?

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati dengan kesan luka pada muka dan perut, dipercayai didera oleh teman lelaki ibunya di kediaman mereka, di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, dekat Batang Kali, malam kelmarin. Syafia Humairah Sahari dipercayai ditampar dan disepak di perutnya beberapa kali sehingga mengalami kecederaan parah pada tubuh selain luka muka, dagu, telinga serta lebam kaki dan tangan. Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bahru (HKKB) ketika dibawa oleh teman lelaki ibunya dan ditinggalkan di wad kecemasan selepas mendakwa kanak-kanak itu mati akibat kemalangan jalan raya. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Affandi Yahya, berkata lelaki berusia 28 tahun bersama rakannya melarikan diri sejurus jururawat bertanya maklumat terperinci mengenai kanak-kanak berkenaan.
JENAZAH Syafia Humairah dibawa untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 17 Kuang, Kuala Kubu Bharu, semalam.

Itu sedutan sebahagian berita akhbar harian hari ini. Perasaan sedih, marah, benci dan geram makin bercampur baur apabila mendengar berita di TV pada malamnya. Mengapa anak kecil yang comel ini menjadi mangsa keganasan? Mengapa perkara ini mesti terjadi? Barangkali manusia sudah hilang kemanusiaannya. Barangkali manusia sudah tiada perasaan kasih sayangnya. Barangkali manusia sudah kekeringan akal kewarasannya. ..barangkali????

Harta yang paling tinggi nilainya bagi setiap insan di dunia ini adalah anak. Anak juga menjadi lambang kebanggaan masyarakat. Setiap ibu bapa pasti akan sanggup berkorban apa sahaja untuk kebahagiaan anak-anak mereka. Apabila kita mendengar khabar penderaan kanak-kanak, pasti jiwa kita akan terasa sedihnya. Seorang anak yang sepatutnya dibesarkan dengan limpahan kasih sayang dan didikan daripada orang tua mereka. Bukan tendangan, sepakan dan tumbukan daripada 'lelaki perkasa' sebagai 'hidangan' dan 'makanan' anak kecil  yang lemah segala-gala.

Wahai anakku belahan jiwaku,
bisikan sukma seorang ibu,
Mendengar jeritan suara lahirmu,
Hilang derita bahagia terharu.

Duhai anak cahaya mataku,
Buah hati pelunak jiwaku,
Betapa nian kasih ibumu,
Hanya Allah Yang Maha Tahu.

Oh anak juitaku sayang,
Kasih ibu tiada bandingan,
Sayang ayah bertindih bayang,
Setinggi langit seluas lautan.

Ketahuilah anak dewi tercinta,
Harapan tinggi ayah dan bonda,
Hidupmu biar memberi guna,
Nikmat Allah sejahtera bahagia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan