19 April 2010

MAK TEH













buat Mak Teh yang kusayangi:

tadi pagi
aku mendengar angin berbisik
dikau sudah melangkah jauh
membawa bekal yang dikau siapkan semalam
tak sempat kuucapkan salam
tak sempat kuhulur tangan
tergesa sungguh
terasa sungguh
dan meninggalkanku
sekeping kenangan
secebis ingatan
di taman itu
yang pernah kita bersama
dulu.

dari jauh
kupanjatkan doa
kupohonkan harapan
kepadaMu Ya Allah
lindungilah dia
limpahkan rahmatMu
sepanjang perjalanannya.

16 April 2010

AL-FATIHAH

Pagi tadi, selepas solat subuh, aku lihat ada 'missed call' pada jam 2.34 pagi oleh sepupuku, Zaima. Aku membuat agakan mungkin masalah pelajar di sekolah. In kerana di sekolah sedang berjalan Kem Lembayung Kasih Cakna Kerohanian yang melibatkan pelajar cemerlang sekolahku. Aku dilantik sebagai ahli jawatankuasa keselamatan. Memandangkan keadaan baik, cuaca elok, bayu lautpun bertiup lembut maka  aku serah tugas tu kepada Tuan Kob, kaunselor sekolah. Aku balik ke rumah hampir jam 12.00 malam. Cikgu Tuan Kob tidur di sekolah bersama Pengetua, Ustaz Hassan, Cikgu Wan Maizan, Cikgu Maria, Cikgu Hazwani dan Cikgu Samihah. Aku jaga keselamatan kat rumah aje...hehehe

Pada pukul 6.45 pagi, aku ke kubur menziarahi kubur arwah ibuku bersama anak-anak, Nurul Iman dan Mukmin. Sampai di sana, aku melihat sepupu, Abdullah dan Seman sudah berada di situ. Aku menyapa mereka dan aku dimaklumkan bahawa awal pagi tadi, ibu saudaraku, Mek Jah binti Mahat, 86 tahun iaitu kakak kepada ayahku telah meninggal dunia secara tiba-tiba dipangkuan anaknya, Abdullah. Innalillahiwainnailaihirojiun.
Mek Jah atau lebih mesra dipanggil Mak Teh, di kalangan anak-anak saudara merupakan seorang yang baik budi, lemah lembut dan disenangi oleh semua orang. Jenazah Allahyarhamah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Raja. Sebelum itu, jenazah telah disembahyangkan selepas solat Jumaat di Masjid Nasiruddin Shah. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya.
 Al-Fatihah.

05 April 2010

HOKI


Hebat. Kontroversi. Tahniah.
Itulah perkataan yang sesuai untuk aku ucapkan selepas selesai perlawanan hoki antara sekolahku dengan Sekolah Menengah Teknik Besut.

HEBAT- Pasukan sekolah terpaksa bermain bermati-matian untuk menyamakan jaringan setelah ketinggalan 1-0 pada perlawanan masa pertama. Akhirnya jaringan penantian dapat disempurnakan sebelum wisel penamat ditiup oleh pengadil.

KONTROVERSI -Setelah perlawanan berakhir dengan kedudukan 1-1, maka pemenang akan ditentukan melalui penalti. Namun banyak kontroversi yang berlaku.
a. Pemain sekolah teknik memukul bola keluar tetapi tidak dikira oleh pengadil. Alasan dia belum meniup wisel. Pemain itu diminta melakukan pukulan kali kedua....bola masuk ke dalam gol. Cikgu Ramlan membuat bantahan kepada pengadil.
b. Pasukan Sekolah Teknik mendakwa bolanya masuk ke dalam gol tetapi ditolak oleh pengadil.
c. Pasukan Sekolah Teknik mendakwa pasukan mereka tidak diberi peluang satu pukulan lagi berbanding dengan sekolahku.
Akhirnya, sebelum azan maghrib berkumandang, pasukan Sekolah Teknik mengambil keputusan untuk pulang. Rupa-rupanya mereka membuat bantahan. Atas dasar semangat kesukanan, satu perlawanan semula ( penaliti ) sahaja diadakan pada hari Rabu jam 9.30 pagi. Akhirnya pasukan sekolahku memenangi dengan keputusan 3-1.

TAHNIAH- Untuk Cikgu Ramlan yang bersungguh-sungguh melatih anak buahnya sehingga kedua-dua pasukan lelaki dan perempuan SMKPNZ  A berjaya melangkah kaki ke perlawanan akhir pada hari esok - 6 April 2010. Sesungguhnya, berbaloilah walaupun kulit yang sawo matang sudah bertukar kehitam-hitaman.


PANTAI KEHIDUPAN













entah mengapa
hati ini begitu gundah
menempuh perjalanan tadi siang
yang begitu panjang terasa.
tertanya-tanya aku
adakah dedaunan malam nanti
meluruhkan ketenangan
atau ketakutan menyelimuti diri
di celah-celah kegelapan.

aku menyabar hati ini
berkolek di lautan
tidak sunyi tidak sepi
berombak keresahan
bergelombang cabaran
tetap hadir
menyapa pantai
menjadi buih-buih kenangan