12 Mac 2011

TSUNAMI

Tsunami atau ombak besar telah melanda negara Jepun. Sesungguhnya Maha Besar KuasaMu Ya Allah...hanya sedikit gegaran telah menghasilkan ombak yang amat besar....merempuh musnah segala ....tidak termampu manusia untuk menghalangnya.

02 Mac 2011

HOSPITAL

Pagi selasa 1 Mac 2011 jam 6.40 pagi, aku bertolak ke HUSM kerana ada temujanji dengan doktor Toran Singh berkaitan dengan masalah kuku kaki kiriku. Aku ke sana bersama isteri tersayang. Sampai di sana jam menunjukkan 7.45 pagi. Aku bergegas ke wad kecemasan. Aku mendaftar di kaunter pendaftaran dan seorang petugas meminta aku ke bilik ‘Minor OT’ sambil menunjukkan arah ke belakang. Sampai ke bilik berkenaan, seorang jururawat yang menerima dokumen meminta aku duduk di kerusi yang disediakan sehingga namaku dipanggil. Lebih kurang lebih belas minit, jururawat tersebut memanggilku. Aku ke sana dan beliau meminta aku menukar pakaian sebagai persediaan memasuki dewan pembedahan. Itulah pertama kali aku memakai pakaian sedemikian.
Perasaanku semakin berdebar-debar. Aku akui diriku seorang yang penakut dengan hospital. Aku masih ingat ketika anak kedua aku berkhatan beberapa tahun dahulu, aku masuk hanya menggosok-gosok kepalanya sahaja. Aku tidak berani melihat bagaimana proses berkhatan itu dilakukan.
Beberapa ketika, doktor yang membuat temujanji dengan aku telah tiba. Ia mengisi borang persetujuan untuk pembedahan dan meminta aku menandatanganinya. Selepas selesai urusan itu, aku diminta ke bilik pembedahan dan berbaring di atas sebuah katil.
 “Ya Allah. Tabahkan hatiku Ya Allah. Aku memohon Kau permudahan urusan ini dan berikan keselamatan buatku Ya Allah” hatiku berdoa. Seorang jururawat menyelimuti tubuhku dengan kain tebal. Dia telah meletakkan satu alat bagi menghalang aku melihat proses pembedahan kecil itu dilakukan. “ Takut cikgu berdebar” katanya bergurau. Ya, sememangnya aku berdebar-debar. Kalau boleh inginku menyuruh isteriku turut berada di sisi ketika itu. Menggosok-gosok kepalaku seperti aku melakukannya kepada anakku. Tapi permintaan seperti itu adalah mustahil. Pihak hospital mempunyai prosedur yang tersendiri dan ketat yang perlu dipatuhi.
 Aku tahu dia lebih berani daripadaku. Ya, isteriku sudah empat kali melahirkan anak di hospital ini. Ketika ingin melahirkan anak sulung, Abdul Mukmin, isteriku terpaksa dibedah. Sebagai suami yang pertama kali menghadapi peristiwa seperti ini membuatkan aku menjadi resah gelisah. Setelah berjaya melahirkan bayi sulung pada jam 6.04 petang, aku dimaklumkan anakku terpaksa dipisahkan daripada ibunya kerana ada masalah paru-paru. Anakku hampir ‘lemas’ semasa dalam kandungan. Semua anak-anakku dilahirkan di hospital ini.
“Cikgu, saya nak cucuk sikit. Kalau cikgu sakit, beritahu ya” doktor Toran memberitahuku ketika beliau ingin membius kakiku. Seketika, aku merasa kaki kiriku disuntik. Selepas itu, doktor Toran bersama seorang doktor wanita telah melakukan pembedahan bagi membuang sebahagian kuku kakiku yang mencengkam isi. Aku tidak merasa sakit sepanjang pembedahan itu kerana telah dibius tetapi berdebar-debar. Rasa gundah mencengkam hati. Mujur juga ada seorang jururawat yang ramah dan berbual-bual denganku sepanjang pembedahan itu. Keramahan membuang sedikit resahku.
“Ok, cikgu. Sudah selesai” doktor Toran memaklumkan kepada aku setelah 40 minit pembedahan itu dilakukan. Aku mengucap syukur kepada Allah Taala.

07 Februari 2011

Bila senja menyapa


















bila senja menyapa
tahulah
pantai ini pasti akan sunyi
tanpa  tawa hilai
tanpa usikan mesra.

bila senja menyapa
tahulah
aku pasti mengharungi gelap malam
berteman kerdipan bintang
dan samar bulan.

bila senja menyapa
tahulah
sabar aku menanti sinar siang
untuk menapak perjalanan yang masih panjang

Pemergianmu....


Mohd Arman bin Mohamad ( 1971 -2011)
Guru Kanan Sains Matematik
SMK Permaisuri Nur Zahirah, Besut, Terengganu.
Al-Fatihah. 
Allah Taala lebih menyayangimu. Biarpun kehilanganmu pasti terasa oleh anak-anak dan isterimu, saudara maramu, rakan taulanmu;  namun itulah hakikat kehidupan. Yang pasti kita tidak kekal abadi di dunia ini. Tarikh 4 Februari 2011, Jumaat jam 3.00 pagi, kau meninggalkan alam fana ini menyahut seruan Ilahi. Tak mungkin siapa dapat menghalangnya biarpun sesaat jua. Terlalu pantas masa berlari. Kemarin kita masih bersama dan hari ini, kau menapak pergi.