Memaparkan catatan dengan label Puisi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Puisi. Papar semua catatan
07 Februari 2011
Bila senja menyapa
bila senja menyapa
tahulah
pantai ini pasti akan sunyi
tanpa tawa hilai
tanpa usikan mesra.
bila senja menyapa
tahulah
aku pasti mengharungi gelap malam
berteman kerdipan bintang
dan samar bulan.
bila senja menyapa
tahulah
sabar aku menanti sinar siang
untuk menapak perjalanan yang masih panjang
19 April 2010
MAK TEH
buat Mak Teh yang kusayangi:
tadi pagi
aku mendengar angin berbisik
dikau sudah melangkah jauh
membawa bekal yang dikau siapkan semalam
tak sempat kuucapkan salam
tak sempat kuhulur tangan
tergesa sungguh
terasa sungguh
dan meninggalkanku
sekeping kenangan
secebis ingatan
di taman itu
yang pernah kita bersama
dulu.
dari jauh
kupanjatkan doa
kupohonkan harapan
kepadaMu Ya Allah
lindungilah dia
limpahkan rahmatMu
sepanjang perjalanannya.
05 April 2010
PANTAI KEHIDUPAN
entah mengapa
hati ini begitu gundah
menempuh perjalanan tadi siang
yang begitu panjang terasa.
tertanya-tanya aku
adakah dedaunan malam nanti
meluruhkan ketenangan
atau ketakutan menyelimuti diri
di celah-celah kegelapan.
aku menyabar hati ini
berkolek di lautan
tidak sunyi tidak sepi
berombak keresahan
bergelombang cabaran
tetap hadir
menyapa pantai
menjadi buih-buih kenangan
31 Mac 2010
TEMAN II
teman,
maafkan aku
kerana tersilap menyusun bait-bait kata
pada pagi semalam
yang mungkin menguris
luka hingga ke hujung senja.
24 Mac 2010
BIARLAH AKU BEGINI
biarlah aku begini
berlari menjauh sejarah silam
yang masih berbahang
yang masih terbayang
ketika aku keseorangan
menatap nota-nota kenangan
yang kaucoretkan
di dinding kebencian
merenung tapak-tapak ingatan
yang kauhempaskan
kaca kemarahan
membalut luka kedukaan
yang kautusukkan
belati kesombongan
memekak gema kesedihan
yang kaujeritkan
kata kehinaan
di pondok kecil
yang kita bina bersama
pada pagi yang lalu.
biarlah aku begini
tak usah kau menghulur mimpi
atau mengikrar sebaris janji
sedangkan hitam parut luka
masih menganggu lena
ketika aku memujuk rasa.
biarlah aku begini
keseorangan diri
menyusuri sungai kehidupan
mendepani liku-liku cabaran
terhadang ke batu-batu kesabaran
yang pasti akan ke muara hayat.
biarlah aku begini
sabar
mencari sinar bulan pada gelap malam
tabah
menanti sinar mentari pada esok siang.
biarlah aku begini
kerana
aku bahagia di sini.
22 Mac 2010
HUJAN
Sebentar tadi
hujan turun
membasahi bumi yang
gersang
kontang
pada hari-hari semalam.
deras alir air
menuruni alur lurah terbuka
mencari muara
mengintai kuala
untuk menamatkan perjalanan ini
kerana hati sudah lama tidak berbicara
kerana mata sudah lama tidak melihat dunia
kerana mulut sudah lama tidak mengucap kata.
hujan yang tadi lebat
terhenti sudah. aku
merenung tanah sejarah
membuka jendela kenangan
membelek lipatan ingatan
dan bertanya pada diri
perlukah aku
menyimpan dendam rasa
atau mengemis sebuah cinta
di hujung senja.
21 Mac 2010
PELAUT TUA
laut biru itu
merakam sejarah pelaut tua
yang gigih mendayung derita
ke muara usia
setelah sepanjang hari penat
menjala harapan
mengail ketentuan
memukat kesabaran
di padang gelombang
yang kadang-kadang membuaikan
yang kadang-kadang memualkan.
sesekali
pelaut tua membiarkan perahunya
hanyut ke pulau impian
yang berdiri teguh
cantik dan menawan.
Inginku dirikan di situ
menara cinta bisik pelaut tua
yang kekal kukuh zaman-berzaman
yang indah cantik gilang gemilang
yang suci bersih halus ukiran
supaya nanti alam dunia akan
tahu cinta pelaut tua
tetap mekar
bagai bunga di titis embun pagi
biarpun kekadang ombak
yang setia mengiringi perjalanan ini
menghempas kemarahan
memecah lamunan.
malam itu
pelaut tua
keseorangan sabar
menyirat jala harapan yang terkoyak
di pondok usang berteman pelita
suram dan kelam.
20 Mac 2010
MASIH ADA CAHAYA?
Inginku berlari mengejar kupu-kupu
yang riang berterbangan
namun hilang jauh di awan
inginku memetik cantiknya bunga
yang mula berputik kembang
namun gugur kekeringan di laman
inginku menyalakan pelita
ketika senja melabuh tirai gelita
namun apinya terpadam ditiup bayu malam
aku merangkak mencari sinar
setelah letih menanti
cahaya menerangi ruang di hati ini.
maafkan aku
kerana menumpang rehat di pondok ini
untuk membuang lelah setelah
sepanjang hari menjaring rasa
di kolam kecil yang kaubina
tika cinta mentari pada tanah ini masih bersinar.
18 Mac 2010
RESAH
ingin kuhumban resah
yang bersarang biak di dada ini
ke laut luas
biar tenggelam bersama karang
biar lemas dilambung ganas gelombang
biar kekal di dasar zaman-berzaman
seringkali
tika aku menyelusuri waktu
menghimpun detik yang berlalu
ia hadir
menyapa duka ke wajah
menebar jala resah ke kolam kehidupan
inginku mendakap mimpi
cerita anak kecil mengejar pelangi
ketika rintik gerimis
menabur butir-butir mutiara
di pantai damai
inginku mendakap mimpi
cerita anak kecil mengejar pelangi
ketika rintik gerimis
menabur butir-butir mutiara
di pantai damai
16 Februari 2010
CERMIN
Cermin kecil itu
tidak pernah menipu. Hanya
hati yang mengukir wajah rasa
akulah raja
aku penghulu rimba
sedangkan diri kerdil
luar sana.
Cermin kecil itu
tidak pernah berkata. Hanya
nafsu yang melaungkan kata
aku berkuasa
aku ada segala
sedangkan diri terlalu lemah
di sisi-Nya.
22 Julai 2009
Kita yang sering terlupa
Anak kecilku bertanya
mengapa bunga yang mekar itu
gugur ke bumi ketika kekeringan memamah diri.
mengapa dunia terang disimbah mentari
tiba-tiba datang malam gelita mendakap bumi.
mengapa ombak laut tidak pernah berhenti
walaupun deru pawana masih menyepi.
aku bertanya pada diri
mengapa dia yang sering bertanya
atau aku yang teralpa
bahawa putaran hidup ini tidak kekal selamanya
bahawa perjalanan hidup ini hanya ketentuan-Nya
bahawa aku mesti sujud kepada-Mu sentiasa
setiap detik dan tika
senang dan duka
gembira dan kecewa.
Ya Allah,
ampunilah dosa-dosaku
kerana kekadang
aku sering terlupa
mengapa bunga yang mekar itu
gugur ke bumi ketika kekeringan memamah diri.
mengapa dunia terang disimbah mentari
tiba-tiba datang malam gelita mendakap bumi.
mengapa ombak laut tidak pernah berhenti
walaupun deru pawana masih menyepi.
aku bertanya pada diri
mengapa dia yang sering bertanya
atau aku yang teralpa
bahawa putaran hidup ini tidak kekal selamanya
bahawa perjalanan hidup ini hanya ketentuan-Nya
bahawa aku mesti sujud kepada-Mu sentiasa
setiap detik dan tika
senang dan duka
gembira dan kecewa.
Ya Allah,
ampunilah dosa-dosaku
kerana kekadang
aku sering terlupa
Langgan:
Catatan (Atom)