24 Mac 2010

BIARLAH AKU BEGINI
















biarlah aku begini
berlari menjauh sejarah silam
yang masih berbahang
yang masih terbayang
ketika aku keseorangan
menatap nota-nota kenangan
yang kaucoretkan
di dinding kebencian
merenung tapak-tapak ingatan
yang kauhempaskan
kaca kemarahan
membalut luka kedukaan
yang kautusukkan
belati kesombongan
memekak gema kesedihan
yang kaujeritkan
kata kehinaan
di pondok kecil
yang kita bina bersama
pada pagi yang lalu.

biarlah aku begini
tak usah kau menghulur mimpi
atau mengikrar sebaris janji
sedangkan hitam parut luka
masih menganggu lena
ketika aku memujuk rasa.

biarlah aku begini
keseorangan diri
menyusuri sungai kehidupan
mendepani liku-liku cabaran
terhadang ke batu-batu kesabaran
yang pasti akan ke muara hayat.

biarlah aku begini
sabar
mencari sinar bulan pada gelap malam
tabah
menanti sinar mentari pada esok siang.

biarlah aku begini
kerana
aku bahagia di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan