19 Mac 2010

KESEDERHANAAN

Seronok. Puas.
Bukan dapat duit berjuta tetapi sempat bawa anak-anak makan nasi di Restoren Abe Mi di Kota Bharu. Restoren ni bukan kelas 5 bintang. Tapi hanya sebuah restoren kecil tepi jalan. Tiada pendingin hawa yang dipasang untuk menyejukkan bahang yang panas ketika ini. Tiada pelayan yang berpakaian seksi mengacau jiwa lelaki miang. Tiada meja kerusi empuk hanya kerusi plastik yang usang disediakan. Tiada pinggan yang mahal-mahal. Cuma dihidang beralaskan kertas pembungkus. Namun, hebatnya restoren ini kerana pelanggan tidak putus-putus. Mereka sabar berbaris untuk mendapatkan sebungkus nasi. Pelanggannya pelbagai latar belakang. Ada yang datang berselipar jepun. Ada yang bertali leher kasut berkilat. Ada juga yang memakai gelang sebesar jam ditangan. Ada Melayu, Cina dan jarang-jarangnya India. Ada yang datang berseorangan, berpasangan dan juga penuh sebuah Naza Citra. Satu tujuan satu harapan- sebungkus nasi sepotong ayam.

Aku mengagumi kehebatan restoren ini. Biarpun ia sederhana namun ia memikat ramai manusia. Pelbagai usia, bangsa, miskin dan kaya. Ia tidak menipu dengan kehebatan kata-kata dan slogan indah semata-mata. Hanya kesederhanaan tetapi sedap dimakan, indah untuk dikenang.

Barangkali juga, hidup kita mesti begini. Jangan hanya hebat melaungkan kata-kata tetapi kosong pada pandangan orang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan