30 Mac 2010

TEMAN

Petang tadi aku mengunjungi ke rumah sahabat lama. Dulu beliau pernah menjadi bosku. Beliau sebagai HEM dan aku sebagai guru disiplin. Jadi kami selalu berhubung untuk melicinkan tugas-tugas harian. Tahun 2004, kami berpisah. Aku ke SMK Permaisuri Nur Zahirah manakala beliau ke SMK Renek. Kini, beliau sudah menjadi ketua bagi para pendidik di sebuah daerah di negeri Terengganu.

Ketika aku sampai ke rumahnya, jam ditangan menunjukkan pukul 6.15 petang. Aku menghulur salam dan berjabat tangan. Aku melihat susuk tubuhnya agak kurus berbanding dulu. Aku bertanya khabar tentang kesihatannya. Matanya merenung diriku sambil menepuk-nepuk tanganku. "Berita kurang baik", bisiknya. Beliau menceritakan kepadaku tentang laporan doktor yang diterima pada petang tadi di hospital, Kuala Terengganu. Beliau akan ke hospital itu semula pada hari Ahad depan untuk rawatan lanjut. Aku terkejut dengan berita ini. Diwajahnya tergambar sedikit kerunsingan tapi digagahi juga dengan kesabaran. Aku faham dengan emosinya. Berhadapan dengan satu penyakit yang merbahaya menuntut kesabaran dan kekuatan iman.

Aku mendoakan sahabatku ini sentiasa dalam perlindungan Allah SWT dan semoga penyakit yang dihadapinya cepat sembuh. KepadaMu Ya Allah, aku memohon keampunan dan kekuatan iman. KepadaMu Ya Allah aku memohon perlindungan dan keselamatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan