03 Mac 2010

KUALA LUMPUR: Guru akan diwajibkan bertugas di pedalaman dan luar bandar antara tiga hingga lima tahun dalam tempoh perkhidmatan sebagai salah satu langkah mengatasi kekurangan tenaga pengajar di kawasan itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementerian Pelajaran juga akan mewajibkan guru baru mengajar di pedalaman, sekali gus mengelakkan sistem pendidikan negara berada dalam kepincangan berikutan keengganan guru bertugas di kawasan berkenaan. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, sebagai penggalak, mereka akan diberikan ganjaran yang diharap dapat mengatasi masalah kekurangan guru di luar bandar dan pedalaman yang sedang dialami sektor pendidikan ketika ini.

Inilah berita utama dalam akhbar Berita Harian hari ini. Memang wajar pihak kementerian mengambil langkah segera bagi menangani masalah kekurangan guru di kawasan luar bandar dan pedalaman.Jika pihak guru tidak sudi untuk bertugas di luar bandar, siapakah pula yang akan mendidik mereka ? Tentu sekali guru-gurulah yang mesti memainkan peranan memberi didikan kepada anak-anak yang jauh di pedalaman. Guru-guru baru seharusnya bersedia untuk menyahut cabaran ini.Mereka tidak wajar menyenaraikan 1001 alasan bagi mengelakkan diri daripada bertugas di kawasan pedalaman. Membaca kisah perjalanan ke SK Saliliran, Sabah oleh Suzianah Jiffar yang mengikuti konvoi Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkasi, membenih rasa gembira dan kagum dengan kesanggupan para guru yang sanggup bertugas di sekolah terbabit. Berapa ramaikah para guru yang berani menghadapi cabaran, dugaan dan kehidupan seperti itu. Berada di tempat yang tiada kemudahan dan kelengkapan menuntut kita meningkatkan rasa kesabaran dan keihklasan. Biarpun ada ganjaran yang diberikan atas kesanggupan mereka ini namun ia bukan faktor utama untuk 'mengheret' guru-guru ke sekolah itu. Semangat ingin berbakti, kepatuhan dan rasa bertanggungjawab merupakan pendorong untuk 'menjejak kaki' dan menabur budi  di sekolah ini. Ini warna warni perjalanan hidup seorang yang bernama 'guru'. Pengalaman yang dikutip para guru ini tidak dapat dirasai dan dipelajari semasa berada di institut perguruan ataupun universiti. Rasa kagum juga dengan Dr. Mohd Puad dan isteri yang sanggup merasai sendiri cabaran guru-guru untuk sampai ke sekolah tersebut. Mohd Puad mempunyai pilihan untuk menaiki helikopter ke SK Saliliran tanpa perlu mengeluarkan setitik peluh, namun seperti katanya:" Jika guru boleh mengharungi semua itu, mengapa tidak Timbalan Menteri?"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan