28 Februari 2010

PILIHAN RAYA SEKOLAH DILARANG

KUALA LUMPUR: Pengetua dan Guru Besar sekolah di seluruh negara dilarang mengadakan pilihan raya murid memilih wakil pelajar kerana pendekatan baru yang dipraktikkan beberapa sekolah itu tidak memadai berikutan faktor usia mereka yang terlalu mentah. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata arahan itu dikeluarkan Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu melalui surat pekeliling yang sudah diedarkan ke semua sekolah. Katanya, keputusan itu dibuat kerana kementerian mendapati usia murid terutama di sekolah rendah masih terlalu muda untuk berdepan sistem pilihan raya pemilihan wakil pelajar yang tidak begitu sesuai dilaksanakan. "Tak payahlah, kalau pada peringkat IPT (Institut Pengajian Tinggi) bolehlah, mereka sudah matang. Di sekolah, sebaliknya keadaan masih terlalu awal. "Timbalan Perdana Menteri sudah bagi arahan supaya jangan terbawa-bawa budaya pemilihan di dalam sekolah. Tak perlu bagi mereka pilih ketua murid, biarlah sekolah dan pengetua tentukan siapa yang layak," katanya kepada media sema-lam. Sebelum itu, beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda MCA merasmikan Program Jom Jelajah Dunia di World Expo 2010, Shanghai, China anjuran Pergerakan Pemuda MCA di KL Sentral. Beliau diminta mengulas mengenai kecenderungan beberapa sekolah menjadikan pemilihan wakil sekolah diadakan secara pengundian sama seperti pilihan raya dan menjadikannya sebagai amalan baru dalam sistem persekolahan. Antara sekolah yang sudah melaksanakan pilihan raya murid ialah Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1 (SKTTDI1) pada 11 Januari lalu apabila pemilihan ketua muridnya dikendali dan dipantau sepenuhnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wilayah Persekutuan. Pemilihan itu menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan murid Tahun Enam, meriah dengan semua calon serta penyokong masing-masing berkempen pada saat akhir bagi meraih undi sebelum pengundian bermula jam 11 pagi dan berakhir 1 tengah hari. Khairul Azli Khairul Razi diumumkan pemenang dengan memperoleh 365 undi, mengalahkan pencabar terdekatnya, Alia Suraya Ahmad yang mendapat 281 undi, sekali gus dilantik penolong ketua murid. Mengulas lanjut, Dr Wee sendiri baru saja menerima pekeliling baru itu beberapa hari lalu dan cukup yakin semua pengetua dan guru besar akan mematuhi arahan kementerian demi masa depan murid.

Wajarlah larangan ini dibuat. Pertandingan ini ada baik dan buruknya. Baiknya, mungkin kita boleh memilih calon yang berkebolehan dan bersesuaian untuk memegang tampuk atau jawatan tersebut. Kita boleh mencungkil keberanian dan kepetahan untuk berucap di hadapan khalayak.Tetapi,ada juga keburukannya. Kita bimbang selepas 'pilihan raya sekolah' selesai, muncul puak-puak dalam kalangan murid-murid. Ada team A. Ada team B. Ada puak aku dan ada puak engkau. Kalau sebelum ini mereka bersama-sama berganding bahu untuk menjayakan program sekolah namum kerana kalah dalam 'pilihan raya', mungkin mereka hanya suka menjadi pemerhati sahaja dan lebih gembira untuk melihat kegagalan 'musuh' mereka melaksanakan program tersebut.Inilah yang kita takuti meresap ke dalam jiwa anak-anak murid kita. Apabila  pilihan raya ini  menjadi satu budaya sekolah, mungkin ada murid-murid yang bercita-cita untuk memegang jawatan tertentu. Mungkin gejala lobi-melobi akan wujud secara tidak langsung. Lebih parah jikalau ada murid-murid yang menggunakan ringgit dan sen untuk memancing undi. Sangat sesuai larangan ini dikuatkuasakan. Mungkin tujuan pihak pengurusan sekolah yang telah melaksanakan perkara ini  melihat dari sudut yang baik.

Yang baik dijadikan teladan, yang tidak baik itu sama-samalah kita jadikan sempadan. Di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung. Jikalau pihak atasan sudah mengeluarkan arahan, sama-samalah kita mematuhinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan