04 Februari 2010

sikap kita

FALSAMPAH GILA-GILA :BIARLAH DUDUK KERANA PENAT DARIPADA PENAT KERANA DUDUK.

         Petang tadi, selepas selesai urusan di sebuah bank di Jerteh, aku memasuki sebuah kedai buku. Aku ingin membeli surat khabar . Tiba-tiba anakku memberitahu bahawa dia ingin membeli sebuah majalah iaitu Gila-Gila. Ya, sudah lama aku tidak membaca majalah ini. Walaupun dikenali sebagai sebuah majalah humor sahaja namun kadang-kadang kartunnya atau bicara humor di dalamnya membawa seribu makna.
         Petikan di atas, aku petik daripada majalah ini. Kata-kata ini mempunyai maksud yang mendalam. Dalam kehidupan seharian, kita akan bertemu dengan pelbagai ragam dan karenah manusia. Satu sikap yang sering kita jumpai ialah sikap MALAS. Ada yang malas bekerja, malas belajar, malas berusaha, malas mencari ilmu dan bermacam-macam malas lagi. Apabila kita malas, kita akan mencipta pelbagai alasan dengan harapan orang lain akan memahami masalah kita.Contohnya, apabila seseorang  menyuruh kita membuat sesuatu kerja kepada diri kita, mungkin kita akan melihat ianya sebagai satu halangan dan masalah besar kepada diri kita. Maka kita akan mencari alasan-alasan supaya tugasan tadi diserahkan kepada orang lain.

 "Maaflah cikgu, saya tidak pandai komputer. Kalau saya buat mungkin cikgu tidak menyukainya",

" Saya masih baru di sini. Saya tidak kenal dengan rakan-rakan di sini. Bagaimana saya boleh meminta mereka melakukan kerja ini. Saya tidak boleh melakukannya, cikgu".

"Cikgu, saya orang miskin. Hidup susah. Kalau saya belajar bersungguh-sungguhpun, saya tetap miskin juga..tak da duit nak masuk U"

         Mungkin itu sebahagian daripada kata-kata yang kita akan dengar daripada seseorang. Sepintas lalu memang nampak kebenaran kata-kata tadi tetapi apabila kia menghayati betul-betul, semuanya terbit kerana ketidakyakinan kepada diri sendiri dan sikap MALAS. Oleh kerana itu, manusia sering dimotivasikan diri mereka melalui ceramah, forum, syarahan dan sebagainya supaya mereka yakin kepada keupayaan, keisitmewaan dan kelebihan yang ada dalam diri mereka. Masalahnya, mereka sendiri tidak memotivasikan diri sendiri.
          Di sekolah, kita sering berjumpa dengan pelajar yang bersikap seperti falsampah Gila-Gila ini. Mereka lebih cepat mencari jalan untuk mencipta alasan daripada mencari akal menyelesaikan tugasan. Pernah aku bertanya kepada pelajar di kelas yang paling akhir di tingkatan lima, siapakah yang yakin dirinya akan lulus Bahasa Melayu. Jawapannya, hanya 10 orang daripada 29 orang yang mengangkat tangan menandakan mereka yakin lulus Bahasa Melayu. Ditanya mengapa yang lain tidak mengangkat tangan, mereka menjawab : tidak yakin.
           Mereka lebih senang tidur daripada menjawab soalan peperiksaan . Mereka lebih pentingkan motor daripada buku-buku pelajaran. Mereka lebih kenal siapa penyanyi rock terkenal di Amerika tetapi mereka tidak kenal nama ustazah yang mengajar Pendidikan Islam di kelas mereka. Mereka merungut tiada wang untuk membayar yuran tetapi mudah saja kalau hendak membeli sekotak rokok.

            Begitulah....kalau kita sering mencipta alasan daripada menguatkan azam mengapai kejayaan.
          

Tiada ulasan:

Catat Ulasan