17 November 2009

Sesi persekolahan 2009 kian melabuh tirainya

Beberapa hari lagi, sesi persekolahan akan melabuhkan tirainya. Tinggal hanya calon-calon SPM dan STPM yang pastinya akan memerah otak dan fikiran untuk menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan nanti. Resah gelisah debaran kebimbangan melingkari perasaan emoasi mereka. Maklum sahaja harapan, impian mereka, ayah ibu dan guru-guru menggunung tinggi. Mereka bimbang amanah besar ini tidak tertunai dan tertanggung oleh mereka. Pastinya kegagalan  merupakan satu calitan hitam dalam kanvas hidup mereka. Tetapi ada juga segelintir insan yang tidak merasa apa-apa dalam menghadapi peperiksaan ini nanti. Mereka kebal daripada 'demam peperiksaan'. Antibodi mereka cukup kuat. Ilmu yang adapun sudah bertaraf 'profesor'. Sebab itu mereka tidak perlu hadir ke kelas tambahan dan jarang-jarang ke sekolah.Hari ini sekolah aku mengadakan majlis Izin Ilmu. Satu majlis lumrah di sekolah-sekolah sebelum murid menduduki peperiksaan awam. Yang jarang hadir ke sekolahpun ada pada hari ini. Alhamdulillah. Mungkin ingin berjumpa guru-guru yang sudah lama tidak berjumpa. Maklumlah, mereka ambil  'cuti ' sendiri.

Khamis nanti, keputusan UPSR akan diumumkan. Berita yang ditunggu-tunggu oleh ribuan murid dan ibu bapa termasuklah aku sendiri. Bagaimana agaknya keputusan Abdul Muttaqiin? Setiap kali anak-anak menduduki peperiksaan, kita sebagai ibu bapa sering menyimpan harapan yang  tinggi. Bukan apa, kerana kita berada pada zaman orang menanya 'A' sahaja tentang keputusan peperiksaan.

Tahniah juga kepada rakan-rakan : Cikgu Zaimah dan suami, Cikgu Zahari dan isteri, Cikgu Mokhtar dan isteri, Cikgu Mat Zin dan isteri, Cikgu Suhaimi dan isteri yang dijemput Allah SWT untuk menunaikan rukun haji pada tahun ini. Didoakan semoga mereka semua sihat dan dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna.

27 September 2009

Selamat kembali ke sekolah,

             Sudah seminggu kita melangkah ke bulan Syawal. Kemeriahan sambutan aidil fitri masih terasa. Masih banyak rakan kita  yang membuat rumah terbuka. Meriahnya apabila rakan taulan yang sudah lama merantau datang bertandang ke rumah dan mengkhabarkan cerita-cerita tentang kehidupan mereka dari kecil sampailah sekarang. Ada yang sudah menjawat jawatan besar di syarikat-syarikat ataupun di jabatan-jabatan kerajaan. Ada yang dah mempunyai keluarga yang besar, anak yang ramai, bini dua tiga orang , kereta empat lima buah dan sebaainya. Tetapi ramai rakan-rakan yang kekal setia : isteri seorang saja, cuma anak je yang bertambah. Itulah kehidupan yang penuh warna warni  dan pelbagai corak ragamnya.

             Dalam kemeriahan sambutan hari raya, ada juga berita sedih yang terpaksa diterima. Untuk Cikgu Tuan Mohamad Yusof ( bekas Pengetua SMKPNZ yang kedua ) dan keluarga, saya mengucapkan ucapan takziah atas pemergian  ke rahmatullah anakanda tersayang beliau, Engku Nadhierah pada hari raya yang keempat baru-bari ini. Engku Nadhierah, pelajar 4 Al Razi merupakan seorang pelajar yang tekun, rajin, patuh kepada guru-guru dan mesra dengan rakan-rakan. Tentu kehilangan ini, akan terasa kekosongan kepada keluarga, guru dan rakan-rakan beliau. Semoga Allah SWT merahmati Allahyarhamah.

             Kini, sekolah sudah bermula semula selepas bercuti selama seminggu. Banyak perkara yang kita perlu selesaikan. Peperiksaan percubaan SPM dan PMR sudah selesai. Jadi, kertas-kertas jawapan pelajar tu, kena periksa betul-betul. Peperiksaan PMR pula akan bermula 7 Oktober ini. Diharapkan semoga pelajar SMKPNZ akan mencapai kejayaan yang cemerlang nanti.

17 September 2009

LAMBAIAN RAMADHAN DIAMBANG SYAWAL

            Alhamdulillah. syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana limpah dan rahmat-Nya dapat kita menjalani ibadat puasa di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini dengan aman makmur, sihat sejahtera dan limpahan rezeki yang banyak. Berbanding dengan negara lain. Ramai rakyatnya menderita sengsara sehingga ada yang mati ketika berebut-rebut mengambil makanan.Ada juga yang mati kerana kelaparan ketiadaan makanan. Ada juga yang mati kerana terkena roket dan peluru bedil  kekejaman Israel . Cuma di negara kita, mungkin ada yang mati kerana terlebih makan.....sebab hendak menghabiskan juadah pasar Ramadhan. Apapun kita tetap memanjat kesyukuran kerana Allah s.w.t  kerana kita masih bernafas untuk terus melaksanakan perintah-Nya. Sempena Syawal yang bakal tiba nanti, ingin aku rakamkan ucapan Selamat Aidil Fitri Maaf Zahir Batin kepada :
1. Pengetua-pengetua yang bertugas di SMKPNZ- Hj. Azmi Mohd Yazid, YM Tuan Yusof Tuan Sulaiman, Hj. Romeli Abd. Rahman, En. Ramli Mat Amin, En. Ab Halim Hj Hassan dan  Tuan Hj. Mhd Ramli Che Mat.
2. Rakan-rakan guruku di SMKPNZ yang saban hari gigih mendidik anak bangsa - Cg Rahim, Cg Amran, Cg.Puji, Cg. Arshad, Cg Firdaus, Cg Zaffri cameraman, Cg.Mustafa, Cg Zamnuri, Cg.Ramlam, Cg Saari, Cg Nawi, Cg. Yusri, Cg.Sidek, Cg.Ust.Taha, Ust. Amri, Cg.Zaidi,Cg.Arman, Cg.Iskandar, Cg.Zahari, Cg.Raja Zaid, Cg. Zahali, Cg.Hadi dan semualah cikgu-cikgu perempuan yang dok sibuk niaga kerepek ubi, tempeyek,kuih tat nenas, kain tudung ekin & epin, butang baju keronsang. Takpa...jangan lupa masuk kelas dan tanggungjawab wajib tu.
3. Teman-teman seperjuangan - Ust.Mizi dan keluarga, Cg. Fandi & Kak Za sekeluarga, Ust.Rahim sekeluarga, Cg.Mail, Cg.Nasir,Cg.Yasmin, Cg. Suhaili , Cg.Mazelam , Mat Yie Pasir Mas, Mat Piah Pauh Lima, Keri Sg.Petani, Malek Che Pa Pokok Sena, Dollah Kulim, Mesul Kota Bharu dan ramai lagi . Maaflah, tidak larat nok tulis.
4. 'Member sebilik' - Pn. Nor Azimah ;  dengan pertanyaan, berapa helai baju raya ? kuih muih berapa bekas ? pagi raya nak makan apa? berbuka puasa petang nanti lauk apa-ikan singang atau ayam percik? he..he..he

5. Buat anak-anak - Abdul Mukmin, Abdul Muttaqiin, Nurul Huda, Nurul Iman. Jadilah anak yang taat kepada Allah s.w.t, taat kepada perintah-perintah-Nya, taat kepada ibu bapa dan rajin-rajin belajar.
MAAF ZAHIR DAN BATIN UNTUK SEMUA.
             

08 September 2009

UPSR: Terima kasih cikgu SKKR

Hari ini peperiksaan UPSR bermula. Anak lelakiku, Abdul Muttaqiin bersama ribuan murid lain menduduki peperiksaan pada pagi. Semalam, dia telah menyediakan beberapa batang pensel, pembaris dan pemadam bagi menghadapi ‘ujian besar’ yang pertama baginya sebagai pelajar. Sebagai bapa, aku juga merasa sedikit debaran dalam menghadapi detik ini. Begitu juga barangkali ibu bapa yang lain. Semuanya mengharapkan kejayaan dan kecemerlangan anak-anak. Ayah juga mengharapkan kejyaaanmu, Qiin. Buatlah sebaik mungkin dan berdoa bertawakallah kepada Allah s.w.t kerana Dialah yang menentukan segala-galanya.

Bermula awal tahun tahun lagi, pihak sekolah khususnya Sekolah Kebangsaan Kampung Raja, tempat anak-anakku belajar telah merancang dan melaksanakan pelbagai program untuk kecemerlangan anak murid mereka. Kelas tambahan siang malam, program temu murni, pelbagai ujian dalaman, bengkel menjawab soalan, program mentor-mentee dan sebagainya. ’Nakhoda’nya Cikgu Suhaimi Long begitu bersemangat untuk mencapai sasaran, melaksana program secara terancang, prihatin kebajikan anak buahnya, mesra dengan guru-guru dan ibu bapa menjadi kunci kejayaan sekolah ini. Hebatnya para guru bukan kerana ia membina bangunan tinggi melangit tetapi membina akal budi insan yang akan menjadi khalifah di bumi Allah ini.

Begitulah alam persekolahan di peringkat sekolah rendah. Kerenah anak-anak untuk ponteng kelas dan sekolah amat sedikit. Apa yang disuruh dan dikata oleh cikgu akan menjadi pegang kuat mereka. Kadang-kadang, kita sebagai ibu bapa merasa letih dengan rutin ’ambil’ dan ’hantar’ mereka ke kelas tambahan siang malam namun mereka tetap bersemangat.

Berbeza dengan pelajar di sekolah menengah. Rebung dah menjadi buluh. Susah hendak dibetulkan. Murid-murid malas belajar. Kalau kelas tambahan, bilangan pelajar amat sedikit. Apatah lagi, kalau kelas tercorot. Tinggallah seorang dua pelajar perempuan yang setia untuk belajar. Pelajar lelaki hilang dibawa arus’bodoh sombong’. Jikalau menduduki peperiksaan, mereka tidak ada perasaan ’takut gagal’. Sememangnya mereka tidak mengharapkan kejayaan yang menggunung. Bila ditanya, siapakah yang ingin memasuki universiti? Mereka menggeleng –geleng kepala. Pernah seorang pelajar bertanya kepada aku bagaimana cara untuk berhenti sekolah. Dia memberitahu kedatangan ke sekolah adalah kerana suruhan ibu bapa. Hatinya kosong untuk belajar. Saya cuba menasihatinya tentang pentingnya pelajaran untuk masa depan namun dia sukar untuk menerimanya. Baginya, harapannya untuk berjaya amat sukar umpama melihat kegelapan gua yang semakin lama semakin gelap dan sempit. Melemaskan. Siapakah yang harus kita persalahkan ? Sama-sama kita fikirkan...

06 September 2009

25 Ramadhan

Tarikh ini tetap subur dalam ingatan. Setiap kali menyambut ramadhan, semakin terasa kehilanganmu, mak.
Mak telah meninggalkan kami semua dan menyahut panggilan Illahi dalam usianya 64 tahun. Akibat komplikasi buah pinggang yang dijangkiti kuman dan penyakit diabetes yang dialami, kami membawa mak ke Hospital Jerteh dan seterusnya dirujuk ke HUSM. Setelah berada di HUSM selama sembilan hari tanpa sedarkan diri, kami membawa mak pulang ke rumah. Sampai saja di rumah, mak membuka mata seketika seolah-olah sedar bahawa beliau telah sampai ke ’mahligai’nya dan terus menutup mata tanpa bicara dengan kami semua. Lima hari berada di rumah dan pada 25 Ramadhan 1421 jam 9.50 malam, mak meninggalkan kami semua.
Kenangan lalu bersama mak banyak menitis rasa sedih dihati ini. Sedih bukan kehilangan kerana ketentuan-Nya tetapi rasa bersalah diri ini terhadap mak. Kekadang aku merasa ada tingkahlaku menyinggung perasaan mak. Adakah mak memaafkan kesalahan dan dosaku?
Mak, seorang insan yang cukup istimewa. Biarpun beliau tidak mengenal tulis baca tetapi mak pentingkan pelajaran dan agama anak-anaknya. Jika aku culas pergi mengaji, ibu akan memarahi. Apabila masa makan, mak pastikan anak-anaknya diberikan sama rata.
Ya, Allah.
Engkau ampunilah dosa-dosa ibuku.
Sayangilah dia sebagaimana dia menyayangi kami semua
Tempatkan dia di syurga-Mu bersama orang-orang soleh

03 September 2009

Begitulah, apabila kita diuji.

           Minggu lepas, ramai rakan-rakan termasuklah isteriku menduduki peperiksaan Penilaian Tahap Kompetensi (PTK). Peperiksaan ini penting untuk kemajuan kerjaya dan masa depan para guru. Maklumanlah, kalau tak lulus, tidak boleh naik pangkat.Malahan kalau dapat keputusan yang cemerlang, ada rezeki mungkin dapat anjakan gaji. Oleh itu, masing-masing sibuk berbincang tentang soalan-soalan yang bakal ditanya. Ada juga yang buat 'study group' - bersemangat tinggi .Ada juga rakan yang jual CD dan nota-nota PTK. Baguslah tu, semoga dapat keputusan IV bila diumumkan nanti. Cuma yang  tak seronoknya, apabila keluar dewan peperiksaan, masing-masing mengeluh panjang...payahnya soalan. Harapan yang tinggi sebelum melangkah masuk ke dewan peperiksaan mulai pudar dikikis rasa kesangsian.
           Sebenarnya semua itu menggambarkan kekerdilan kita sebagai insan. Kita terlalu lemah. Ilmu kita umpama halus debu di sisi Allah swt. Banyak perkara yang kita tidak mengetahuinya tentang perkara yang kita tidak ketahui. Kita hanya tahu bahawa kita tidak mengetahui sesuatu perkara apabila kita ditanya tentang perkara tersebut. BEGITULAH, APABILA KITA DIUJI.
          
       

18 Ogos 2009

SELSEMA BABI, INFLUENZA A H1N1.

Beberapa bulan lepas, kita masih rasa selamat kerana kita tak mengunjungi ke luar negara ataupun menaiki pesawat ke luar negara. Ataupun tak ada saudara mara dari luar negara berkunjung ke rumah kita.Tambahan pula, banyak kes selesama babi yang berlaku melibatkan kes-kes import. Bukan kes tempatan. Tetapi kini kes-kes selesama babi ini berada di merata-rata. Baru-baru IPSM yang terletak di sebelah sekolahku telah ditutup..ah! masing-masing merasa gundah.

Aku melihat ada juga rakan-rakan sekolah yang memakai topeng mulut dan hidung sebagai langkah pencegahan. Ada jugak pakai topeng dileher...lemas, rimas dan kurang selesa kata cikgu Sidek.

Dalam keadaan begini, kita rasa takut untuk bergerak ke mana-mana. Namun kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa ia satu wabak yang sedang merebak. Yang kita wajib dan yakin adalah semua ini adalah ketentuan-Nya dan kepada Allah s.w.t jua tempat kita menadah doa memohon perlindungan dan keselamatan. Di samping kita juga berusaha mengawalnya segala yang terdaya melalui pengaulan dan penjagaan kebersihan.
Ingin dikongsi satu doa untuk keselamatan dan kesentosaan daripada segala penyakit yang dipanjangkan oleh Dato’Haji Murtaza bin Haji Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan yang bermaksud :
Kami berlindung dengan Mu ya Allah! Tuhan yang memiliki keagungan dan kekuasaan, kami berpaut pada-Mu ya Allah Tuhan pemilik sekelian alam yang ghaib, dan kami bertawakal kepada-Mu ya Allah Tuhan yang hidup lagi tidak mati. Wahai Tuhan kami! Jauhkanlah kami daripada wabak ini, lindungilah kami daripada kebinasaan yang dahsyat dan peliharalah kami daripada segala penyakit yang berjangkit, ta’un dan bala bencana, dengan ihsan-Mu wahai Tuhan Yang Maha Lembut Lagi Maha Mengetahui, sesungguhnya-Mu ya Allah Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Selawat dan salam ke atas junjungan Penghulu kami, Nabi Muhamad s.a.w, ahli keluarganya, serta sahabat-sahabatnya. Segala pujian bagi-Mu ya Allah Tuhan pemilik sekelian alam.

16 Ogos 2009

18 Ogos ni

Bini muda! Topik hangat pagi ini.
Cikgu Tuan Kob bertanya kepada seorang sahabat ( nama dirahsiakan demi keselamatan piring pinggan terbang )selepas makan pagi di kantin "betul ke mu kahwin seorang lagi'. Rakan tersebut hanya tersenyum dan akhirnya mengatakan itulah hanyalah tohmahan belaka. Aku percaya dengan sahabatku itu. Dia jujur. Cuma sikapnya yang suka 'bersuka-suka' dan bergurau dengan guru perempuan yang belum kahwin, maka tohmahan ini timbul.
Sering jugak diajukan kepada isteri bahawa seronoknya bini muda. Jawapannya " Binilah. Senang ada orang nok urut betis yang selalu lenguh tu". Dia tahu aku hanya bercakap aje tapi tak sanggup melakukannya. Akupun tahu bahawa aku tak akan berbini muda dalam usia yang semakin 'tua'. Ye ke..banyak yang aku lihat..orang berbini muda hanya sedikit sahaja yang seronoknya tapi banyak masalah yang kena hadapi . Anak-anak terabai, nafkahpun jarang-jarang sampai, rambut kusut masai dan sebagainya.
Aku senyum sendirian. Sudah 15 tahun aku menjadi suami kepada Nxx xxxxxh. Aku pernah tanya bahagiakah dia hidup bersamaku tetapi dia tak pernah menjawabnya. Hanya senyum dandiam. Perkahwinanku umpama cerita melayu klasik..tak ada plot pencintaan di bawah sinaran terang bulan. Tak ada utus surat menyata rasa cinta dan bertanya khabar berita. Aku tak pernah kenal dia walaupun sekampung denganku. Cuma apabila ibu bertanya kepada aku, "mu nok ke dok ko dio. Mak nok gi pinang dio". Jawabku "sesuai dimata mak, sesuailah pada diri kito".
Isteriku yang disayangi,
Lusa, 18 ogos ni, kita sambut ulangtahun ikatan suci dengan penuh kesyukuran atas rahmat dan nikmat Allah s.w.t kepada kita. tak ada gelang baru cuma air milo kosong saja akan disajikan.

52- di bawah rahmat-Nya, kita sambut MERDEKA

Pagi tadi, sekolahku menyambut bulan kemerdekaan. Kami laungkan MERDEKA! MERDEKA! MERDKA! Semangat sungguh guru-guru dan anak murid melaungkannya. Sebelum itu, kami mendengar amanat tuan pengetua tentang erti kemerdekaan. Katanya, susahnya hendak menjelaskan pengertian merdeka kepada anak-anak muda zaman sekarang ini umpama kita ingin memberitahu orang lain bagaimana seksanya apabila kita sakit gigi. Mungkin kita menyambutnya dengan deklamasi sajak yang panjang berjela dan semangat membara, mungkin kita pentaskan pentomin tentang kegigihan pejuang bangsa memerdekakan negara, mungkin kita bersama-sama melaung menjerit laungan MERDEKA. Tetapi...bagaimanakah penerimaan mereka, anak-anak muda ini.

Anak-anak sekarang tidak dapat menyelami dan menghayatinya kemerdekaan itu sebenarnya. Celik mata mereka sudah menikmati nikmat kemerdekaan. Untuk ke sekolah, tidak perlu bersusah payah berjalan kaki merentasi jalan merah berdebu, meredah belukar dan menyeberang sungai. Hidup mereka dikelilingi pelbagai kemudahan dan kesenangan.

Kita perlu memanjat kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana diberikan kemewahan dan kemakmuran kepada negara yang tercinta ini. Kita bertuah kerana negara ini kaya dengan hasil ekonomi, keharmonian hidup masih menjadi pegangan masyarakat biarpun ada suara sumbang untuk mengugatkannya, ketinggian budi pekerti masih kukuh diamalkan walaupun sedikit sebanyak semakin luntur dewasa ini.

Kita bertuah kerana negara ini sudah 52 tahun merdeka. Banyak negara lain yang sudahpun merdeka tetapi bergelut dengan persengketaan sesama sendiri, kebuluran menjadi-jadi , pengeboman di sana sini dan banjir besar gempa bumi meragut ribuan nyawa menghancurkan bangunan kebanggaan manusia. Tetapi kita masih terkilan kerana masih ramai anak bangsa kita, bangsa Melayu yang terjajah minda dan akal budinya. Mereka masih menjadi 'jaguh' sebagai mat rempit, penghuni pusat serenti, penganggur dan juga pendemotrasi jalanan bagi menuntut sesuatu yang mereka sendiri tidak mengerti.

Ya Allah, aku memohon kepada-Mu agar jauhkan bangsaku, negaraku daripada anasir-anasir yang boleh mengugat keharmonian dan kemakmuran yang dinikamti selama ini.

27 Julai 2009

Kitalah 'cikgu'

Aku termenung dikerusi. Jam menunjukkan 2.45 petang. Waktu pulang murid-murid di sekolahku. Keriuhan suara pekik gembira gelak tawa anak-anak buahku jelas kedengaran. Barangkali tugas mereka hari ini sudah diselesaikan. Waktu berlari pantas. Aku menghitung perjalananku sebagai guru. Pejam celik sudah 17 tahun aku dipanggil ’cikgu’ oleh murid-muridku, rakan-rakan persekolahanku dulu dan masyarakat sekitar yang mengenaliku.

’Cikgu’ satu gelaran yang kekal digelar orang sehingga kita dijemput kematian. ’Cikgu’ satu tugas yang mulia disanjung sepanjang zaman kata ulama terbilang. ’Cikgu’ satu nama yang tidak glamor seperti penyanyi dan pelakon ternama. ’Cikgu’ satu jawatan yang tidak menjanjikan kekayaan seperti pengerusi syarikat yang lena dikerusi kulit empuk . ’Cikgu’ satu kerja yang tidak membilang masa dan menghitung lelah tenaga membina membentuk mengukir wajah anak bangsa. ’Cikgu’ yang mengajar tulis baca seperti kata penyair ternama adalah pelukis yang tekun mencalit warna nirmala dikanvas kehidupan. ’Cikgu’ satu jasad yang redha dan sabar menerima kecimus murid yang tersongsang arah namun rohaninya tidak pernah kusam menuntun laluan bahagia anak bangsanya.
Lamunanku terganggu bunyi loceng menandakan waktu pulang. Aku tertoleh satu kertas dan menatapinya. Izinkan aku mencoret kata-kata guru yang pernah mengajar aku semasa di tingkatan enam tahun 1985-86 dulu dan kini menjadi pengetua di sekolahku:

Selamat harimu guruku di PNZ ,
selamat berbahagia menjadi penanggung sebuah harapan,
selamat bergembira dengan memo, e-mail dan surat arahan,
selamat berjuang pagi petang saban hari menanggung cabaran,
selamat berhibur dengan telatah nakal anak-anak minta perhatian,
selamat mengulangi sampai pencen tanpa jemu rutin harian,
selamat bergembira melihat anak-anakmu menjulang kejayaan.
Dan selamat berbahagia dirimu, zuriatmu dengan penuh keredhaan.

Kesudianmu, kejujuranmu,
ketulusanmu, keringanan tanganmu,
kesabaranmu, kreativitimu,
dan segala kesabaranmu menjadikan
kamu guru yang benar-benar guru
yang membahagiakan dan berbahagia.

Ikhlas dari rakan gurumu,
Mhd Ramli bin Che Mat
16 Mei 2009

TERIMA KASIH, CIKGU kerana mendidikku.

26 Julai 2009

Bahasa Melayu, bahasa Malaysia

Oleh Salbiah Ani
mailto:Anidahiya@nstp.com.my

Apakah perbezaan sudah dilakukan dalam Fasal 152, Perlembagaan Negara? SESETENGAH pihak di negara ini menggunakan bahasa Malaysia ketika merujuk kepada bahasa Melayu tanpa menyedari bahawa istilah berkenaan tidak pernah mengambil tempat dalam Fasal 152, Perlembagaan Negara dan penukaran terbabit menuntut pengorbanan besar daripada bangsa Melayu. Profesor Sosiolinguistik, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Teo Kok Seong, berkata istilah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara ini masih kekal dalam Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan, meskipun sesetengahnya pemimpin politik dan rakyat merujuknya sebagai bahasa Malaysia.
“Pada 4 atau 5 Jun 2007, Datuk Zainuddin Maidin yang ketika itu Menteri Penerangan mengumumkan bahasa Melayu dirujuk sebagai bahasa Malaysia atas arahan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu Perdana Menteri dan keesokan harinya, disahkan oleh Datuk Seri Najib Razak selaku Timbalan Perdana Menteri pada masa terbabit,” ujarnya.

Bagaimanapun, setakat ini tidak ada usaha menukar bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia menerusi Perlembagaan Persekutuan, meskipun sudah ada penerbit swasta yang menerbitkan, meskipun hakikatnya bahan bercetak terbabit hanya boleh diterbitkan oleh Percetakan Negara. “Saya dimaklumkan bahawa Perlembagaan Negara kini boleh dibeli di beberapa kedai buku negara ini dan istilah bahasa Melayu dalam bahan bercetak terbabit sudah ditukarkan ke bahasa Malaysia dalam naskhah yang diterbitkan oleh penerbit swasta,” katanya kepada Sastera ketika diminta mengulas istilah yang sepatutnya digunakan. Baginya, istilah bahasa Melayu tidak boleh ditukarkan kepada bahasa Malaysia selagi usul tidak dibawa ke Dewan Rakyat dan kemudian dibawa ke Dewan Negara untuk didebatkan.
Penukaran istilah daripada bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia perlu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agung. Baginya apabila kerajaan mengumumkan pertukaran bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia ia dilakukan atas tujuan perpaduan kaum dan integrasi nasional dengan matlamat yang murni dan mulia daripada segi zahirnya, tetapi boleh merosakkan dalam banyak hal khususnya kepada orang Melayu sebagai empunya bahasa. Prof Teo mengingatkan, hakikatnya dalam bahasa turut terkandung terangkum artifak Melayu, institusi dan organisasi sosial orang Melayu, sikap Melayu, pemikiran dan emosi Melayu, falsafah orang Melayu, budaya Melayu, sejarah bangsa Melayu, sistem kepercayaan dan nilai bangsa Melayu yang terhimpun sejak turun-temurun. “Saya tidak nafikan sekalipun dikenali sebagai bahasa Malaysia, ia tetap bahasa Melayu, tetapi apakah berbaloi bangsa terbabit mengorbankan pelbagai semangat dan citra yang terkandung di dalamnya. Apakah bukan Melayu memberi balasan yang setimpal dengan pengorbanan itu?” soalnya.

Kedudukan bahasa Melayu di Malaysia dikatakan berbeza daripada Indonesia kerana bahasa rasmi negara jiran itu diangkat daripada kumpulan minoriti berbanding Jawa yang mendominasi Indonesia dan tidak timbul bantahan kerana ia ia boleh diterjemah sebagai suatu penghormatan besar kepada empunya bahasa. “Mengikut fitrah linguistik, bahasa selalunya dinamakan mengikut bangsa yang menuturkannya sebagai bahasa ibunda. Di Malaysia bangsa Melayu dominan dan paksi bangsa di negara ini. Jika namanya ditukar kepada bahasa Malaysia, maka hilang jati diri orang Melayu sebagai kelompok distingtif. Perkara ini perlu difikirkan,” jelasnya. Timbalan Pengarah, Bahagian Ijazah Tinggi, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Nor Hisham Osman, berpendapat Malaysia sewajarnya menggunakan kaedah yang digunakan negara lain dalam penentuan bahasa mereka. “Negara seperti Australia, England, Kanada dan New Zealand, semuanya menggunakan istilah standard iaitu bahasa Inggeris serta bukannya mengikut nama negara meskipun mereka ada loghat sebutan sendiri. Begitu juga dengan Jepun, Korea dan China. Jadi mengapa Malaysia memilih jalan berbeza,” katanya.
Seperti Prof Teo, Dr Nor Hisham mengingatkan bahawa bahasa mewakili bangsa dan situasi bahasa Malaysia di negara ini berbeza daripada Indonesia yang mengangkat bahasa berdasarkan nama negara itu kerana sudah terbukti mereka berjaya mewujudkan bangsa Indonesia. “Bahasa Indonesia tidak sama dengan bahasa Melayu. Bahasa Melayu di Indonesia difahami sebagai bahasa yang diucapkan di Riau, satu daripada wilayah di negara jiran itu. Di Malaysia pula bahasa Melayu adalah bahasa bangsa Melayu,” katanya. Baginya, penukaran istilah daripada bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia hakikatnya bagi membolehkan ia tidak melambangkan apa juga suku kaum di Malaysia, tetapi daripada segi realiti, hasrat terbabit tidak menjadi meskipun bangsa Melayu sanggup bertolak ansur ‘menggugurkan’ nama bangsanya. Dr Nor Hisham mengajak semua pihak untuk menilai realiti di negara ini, iaitu meskipun sudah 52 tahun merdeka, rasa neutral kepada bahasa Malaysia gagal diperoleh daripada kalangan rakyat bukan Melayu dan kerana itu ada wajarnya istilah bahasa Melayu diguna pakai semula. “Ada rakyat di negara ini yang mahu diiktiraf sebagai Bumiputera, meskipun bahasa Melayu bukan bahasa ibunda mereka dan tidak beragama Islam. Mereka mahu menuntut hak sebagai Bumiputera, tetapi enggan memakai baju Melayu sebagai busana kebangsaan, apalagi berbahasa Melayu,” tegasnya.
Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz, pula melihat sama ada istilah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia tidak menjadi soal kerana kedua-dua bahasa terbabit, merujuk kepada bahasa yang sama. “Dalam akademik ia akan dirujuk sebagai bahasa Melayu. Daripada segi perpaduan atau politik pula, ia dirujuk sebagai bahasa Malaysia. Jadi tidak salah istilah bahasa Malaysia digunakan. Saya dimaklumkan ketika bahasa Malaysia diperkenalkan dulu, akhbar berbahasa Cina menentangnya dan apabila ditukarkan ke bahasa Melayu juga ditentang,” ujarnya.

22 Julai 2009

Kita yang sering terlupa

Anak kecilku bertanya
mengapa bunga yang mekar itu
gugur ke bumi ketika kekeringan memamah diri.
mengapa dunia terang disimbah mentari
tiba-tiba datang malam gelita mendakap bumi.
mengapa ombak laut tidak pernah berhenti
walaupun deru pawana masih menyepi.

aku bertanya pada diri
mengapa dia yang sering bertanya
atau aku yang teralpa
bahawa putaran hidup ini tidak kekal selamanya
bahawa perjalanan hidup ini hanya ketentuan-Nya
bahawa aku mesti sujud kepada-Mu sentiasa
setiap detik dan tika
senang dan duka
gembira dan kecewa.

Ya Allah,
ampunilah dosa-dosaku
kerana kekadang
aku sering terlupa

08 Julai 2009

Bahasaku, BAHASA MELAYU

Tahniah kepada kerajaan kerana memansuhkan PPSMI demi memartabatkan Bahasa Melayu. Keputusan ini menunjukkan pihak kerajaan amat prihatin untuk melonjakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pada masa depan. Prof. Ismail Hussin pernah menyatakan bahawa bahasa Melayu pada hari ini digunakan dan dimengertikan oleh lebih daripada 100 juta manusia, jadi dengan sendirinya bahasa ini telah mengambil tempat salah satu bahasa yang terbesar dan yang penting di dunia.

Kita amat sedar tentang kepentingan bahasa Melayu namun realitinya masih ramai anak Melayu yang gagal menguasai bahasa ibundanya sendiri. Apabila keputusan peperiksaan SPM diumumkan, peratusan murid Melayu yang gagal dalam Bahasa Melayu agak mengecewakan. Semuanya kerana sikap mereka sendiri. Mereka mengambil mudah tentang bahasa ini. Mereka merasakan mereka sudah mahir berbahasa Melayu kerana mereka dilahirkan sebagai anak Melayu.

Cadangan Kementerian Pelajaran untuk menaikkan gred Bahasa Melayu sebagai syarat lulus SPM amat dialu-alukan. Murid-murid perlu disedarkan bahawa bahasa Melayu amat penting dan mereka mesti berubah. Menguasai bahasa Melayu bukan bermakna kita hanya pandai bercakap dan bertutur dalam bahasa ini tetapi kita mesti menguasai segala ilmu yang berkaitan dengannya.Mereka mesti belajar dan menguasai ilmu fonetik, morfologi, sintaksis dan sistem ejaan bahasa Melayu.

Darwis Harahap dalam bukunya Peristiwa Bahasa:

kepada anak-anakku yang selalu bertanya
tentang sebutan baku Bahasa Malaysia
seringkali membuat aku terpinga-pinga

memang
yang biasa itu belum tentu betul
yang betul itu belum tentu biasa
marilah kita membiasakan yang betul
dan membetulkan yang salah walaupun biasa

29 Jun 2009

Dalam ingatan

Buat arwah ibu tercinta yang sentiasa kekal subur dalam kenangan,
Buat isteri tersayang yang sabar mendengar rintihan dan keluhan,
Buat anak-anak tercinta yang riang bermain di laman,
Buat guru-guruku semoga kekal bahagia sepanjang zaman,
Buat rakan-rakan seperjuangan yang gigih mendidik anak bangsa mengecap kecemerlangan
.