27 Julai 2009

Kitalah 'cikgu'

Aku termenung dikerusi. Jam menunjukkan 2.45 petang. Waktu pulang murid-murid di sekolahku. Keriuhan suara pekik gembira gelak tawa anak-anak buahku jelas kedengaran. Barangkali tugas mereka hari ini sudah diselesaikan. Waktu berlari pantas. Aku menghitung perjalananku sebagai guru. Pejam celik sudah 17 tahun aku dipanggil ’cikgu’ oleh murid-muridku, rakan-rakan persekolahanku dulu dan masyarakat sekitar yang mengenaliku.

’Cikgu’ satu gelaran yang kekal digelar orang sehingga kita dijemput kematian. ’Cikgu’ satu tugas yang mulia disanjung sepanjang zaman kata ulama terbilang. ’Cikgu’ satu nama yang tidak glamor seperti penyanyi dan pelakon ternama. ’Cikgu’ satu jawatan yang tidak menjanjikan kekayaan seperti pengerusi syarikat yang lena dikerusi kulit empuk . ’Cikgu’ satu kerja yang tidak membilang masa dan menghitung lelah tenaga membina membentuk mengukir wajah anak bangsa. ’Cikgu’ yang mengajar tulis baca seperti kata penyair ternama adalah pelukis yang tekun mencalit warna nirmala dikanvas kehidupan. ’Cikgu’ satu jasad yang redha dan sabar menerima kecimus murid yang tersongsang arah namun rohaninya tidak pernah kusam menuntun laluan bahagia anak bangsanya.
Lamunanku terganggu bunyi loceng menandakan waktu pulang. Aku tertoleh satu kertas dan menatapinya. Izinkan aku mencoret kata-kata guru yang pernah mengajar aku semasa di tingkatan enam tahun 1985-86 dulu dan kini menjadi pengetua di sekolahku:

Selamat harimu guruku di PNZ ,
selamat berbahagia menjadi penanggung sebuah harapan,
selamat bergembira dengan memo, e-mail dan surat arahan,
selamat berjuang pagi petang saban hari menanggung cabaran,
selamat berhibur dengan telatah nakal anak-anak minta perhatian,
selamat mengulangi sampai pencen tanpa jemu rutin harian,
selamat bergembira melihat anak-anakmu menjulang kejayaan.
Dan selamat berbahagia dirimu, zuriatmu dengan penuh keredhaan.

Kesudianmu, kejujuranmu,
ketulusanmu, keringanan tanganmu,
kesabaranmu, kreativitimu,
dan segala kesabaranmu menjadikan
kamu guru yang benar-benar guru
yang membahagiakan dan berbahagia.

Ikhlas dari rakan gurumu,
Mhd Ramli bin Che Mat
16 Mei 2009

TERIMA KASIH, CIKGU kerana mendidikku.

1 ulasan:

  1. 'KIAMAT DAN KEADAANNYA'

    http://www.scribd.com/doc/36025155/Surat-Kepada-Yang-DiPertuan-Agong-Dan-Mufti-Mufti

    BalasPadam