08 Julai 2009

Bahasaku, BAHASA MELAYU

Tahniah kepada kerajaan kerana memansuhkan PPSMI demi memartabatkan Bahasa Melayu. Keputusan ini menunjukkan pihak kerajaan amat prihatin untuk melonjakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pada masa depan. Prof. Ismail Hussin pernah menyatakan bahawa bahasa Melayu pada hari ini digunakan dan dimengertikan oleh lebih daripada 100 juta manusia, jadi dengan sendirinya bahasa ini telah mengambil tempat salah satu bahasa yang terbesar dan yang penting di dunia.

Kita amat sedar tentang kepentingan bahasa Melayu namun realitinya masih ramai anak Melayu yang gagal menguasai bahasa ibundanya sendiri. Apabila keputusan peperiksaan SPM diumumkan, peratusan murid Melayu yang gagal dalam Bahasa Melayu agak mengecewakan. Semuanya kerana sikap mereka sendiri. Mereka mengambil mudah tentang bahasa ini. Mereka merasakan mereka sudah mahir berbahasa Melayu kerana mereka dilahirkan sebagai anak Melayu.

Cadangan Kementerian Pelajaran untuk menaikkan gred Bahasa Melayu sebagai syarat lulus SPM amat dialu-alukan. Murid-murid perlu disedarkan bahawa bahasa Melayu amat penting dan mereka mesti berubah. Menguasai bahasa Melayu bukan bermakna kita hanya pandai bercakap dan bertutur dalam bahasa ini tetapi kita mesti menguasai segala ilmu yang berkaitan dengannya.Mereka mesti belajar dan menguasai ilmu fonetik, morfologi, sintaksis dan sistem ejaan bahasa Melayu.

Darwis Harahap dalam bukunya Peristiwa Bahasa:

kepada anak-anakku yang selalu bertanya
tentang sebutan baku Bahasa Malaysia
seringkali membuat aku terpinga-pinga

memang
yang biasa itu belum tentu betul
yang betul itu belum tentu biasa
marilah kita membiasakan yang betul
dan membetulkan yang salah walaupun biasa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan