27 September 2009

Selamat kembali ke sekolah,

             Sudah seminggu kita melangkah ke bulan Syawal. Kemeriahan sambutan aidil fitri masih terasa. Masih banyak rakan kita  yang membuat rumah terbuka. Meriahnya apabila rakan taulan yang sudah lama merantau datang bertandang ke rumah dan mengkhabarkan cerita-cerita tentang kehidupan mereka dari kecil sampailah sekarang. Ada yang sudah menjawat jawatan besar di syarikat-syarikat ataupun di jabatan-jabatan kerajaan. Ada yang dah mempunyai keluarga yang besar, anak yang ramai, bini dua tiga orang , kereta empat lima buah dan sebaainya. Tetapi ramai rakan-rakan yang kekal setia : isteri seorang saja, cuma anak je yang bertambah. Itulah kehidupan yang penuh warna warni  dan pelbagai corak ragamnya.

             Dalam kemeriahan sambutan hari raya, ada juga berita sedih yang terpaksa diterima. Untuk Cikgu Tuan Mohamad Yusof ( bekas Pengetua SMKPNZ yang kedua ) dan keluarga, saya mengucapkan ucapan takziah atas pemergian  ke rahmatullah anakanda tersayang beliau, Engku Nadhierah pada hari raya yang keempat baru-bari ini. Engku Nadhierah, pelajar 4 Al Razi merupakan seorang pelajar yang tekun, rajin, patuh kepada guru-guru dan mesra dengan rakan-rakan. Tentu kehilangan ini, akan terasa kekosongan kepada keluarga, guru dan rakan-rakan beliau. Semoga Allah SWT merahmati Allahyarhamah.

             Kini, sekolah sudah bermula semula selepas bercuti selama seminggu. Banyak perkara yang kita perlu selesaikan. Peperiksaan percubaan SPM dan PMR sudah selesai. Jadi, kertas-kertas jawapan pelajar tu, kena periksa betul-betul. Peperiksaan PMR pula akan bermula 7 Oktober ini. Diharapkan semoga pelajar SMKPNZ akan mencapai kejayaan yang cemerlang nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan