08 September 2009

UPSR: Terima kasih cikgu SKKR

Hari ini peperiksaan UPSR bermula. Anak lelakiku, Abdul Muttaqiin bersama ribuan murid lain menduduki peperiksaan pada pagi. Semalam, dia telah menyediakan beberapa batang pensel, pembaris dan pemadam bagi menghadapi ‘ujian besar’ yang pertama baginya sebagai pelajar. Sebagai bapa, aku juga merasa sedikit debaran dalam menghadapi detik ini. Begitu juga barangkali ibu bapa yang lain. Semuanya mengharapkan kejayaan dan kecemerlangan anak-anak. Ayah juga mengharapkan kejyaaanmu, Qiin. Buatlah sebaik mungkin dan berdoa bertawakallah kepada Allah s.w.t kerana Dialah yang menentukan segala-galanya.

Bermula awal tahun tahun lagi, pihak sekolah khususnya Sekolah Kebangsaan Kampung Raja, tempat anak-anakku belajar telah merancang dan melaksanakan pelbagai program untuk kecemerlangan anak murid mereka. Kelas tambahan siang malam, program temu murni, pelbagai ujian dalaman, bengkel menjawab soalan, program mentor-mentee dan sebagainya. ’Nakhoda’nya Cikgu Suhaimi Long begitu bersemangat untuk mencapai sasaran, melaksana program secara terancang, prihatin kebajikan anak buahnya, mesra dengan guru-guru dan ibu bapa menjadi kunci kejayaan sekolah ini. Hebatnya para guru bukan kerana ia membina bangunan tinggi melangit tetapi membina akal budi insan yang akan menjadi khalifah di bumi Allah ini.

Begitulah alam persekolahan di peringkat sekolah rendah. Kerenah anak-anak untuk ponteng kelas dan sekolah amat sedikit. Apa yang disuruh dan dikata oleh cikgu akan menjadi pegang kuat mereka. Kadang-kadang, kita sebagai ibu bapa merasa letih dengan rutin ’ambil’ dan ’hantar’ mereka ke kelas tambahan siang malam namun mereka tetap bersemangat.

Berbeza dengan pelajar di sekolah menengah. Rebung dah menjadi buluh. Susah hendak dibetulkan. Murid-murid malas belajar. Kalau kelas tambahan, bilangan pelajar amat sedikit. Apatah lagi, kalau kelas tercorot. Tinggallah seorang dua pelajar perempuan yang setia untuk belajar. Pelajar lelaki hilang dibawa arus’bodoh sombong’. Jikalau menduduki peperiksaan, mereka tidak ada perasaan ’takut gagal’. Sememangnya mereka tidak mengharapkan kejayaan yang menggunung. Bila ditanya, siapakah yang ingin memasuki universiti? Mereka menggeleng –geleng kepala. Pernah seorang pelajar bertanya kepada aku bagaimana cara untuk berhenti sekolah. Dia memberitahu kedatangan ke sekolah adalah kerana suruhan ibu bapa. Hatinya kosong untuk belajar. Saya cuba menasihatinya tentang pentingnya pelajaran untuk masa depan namun dia sukar untuk menerimanya. Baginya, harapannya untuk berjaya amat sukar umpama melihat kegelapan gua yang semakin lama semakin gelap dan sempit. Melemaskan. Siapakah yang harus kita persalahkan ? Sama-sama kita fikirkan...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan