12 Mac 2010

KHUTBAH

Hari ini khutbah mengajak sidang Jumaat yang dirahmati Allah Taala menghayati peranan suami dalam sesebuah perkahwinan. Memandang Masjid Nasiruddin Shah yang dilengkapi dengan khutbah multimedia, memudahkan para hadirin menghayati khutbah yang disampaikan oleh imam. Banyaklah tugas dan peranan yang perlu dimainkan oleh setiap insan yang bernama suami. Peranannya sebagai suami terhadap isteri. Peranannya sebagai ayah kepada anak-anak. Peranannya sebagai ketua dalam sebuah keluarga. Semua itu dhuraikan oleh imam dengan panjang lebar. Peranan yang berat ini terpikul apabila si lelaki selesai ijab dan kabul. Mungkin persoalan ini dibangkitkan dalam khutbah kerana banyak kes-kes penderaan kanak-kanak, wanita dan penceraian yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Sesetengah pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga itu berada dalam keadaan tidak bersedia dari segi kewangan, ilmu keagamaan dan sebagainya. Ini menyebabkan wujudnya masalah sosial dalam institusi keluarga terbabit. Si suami mungkin menganggap tugasnya hanya mencari rezeki semata-mata. Manakala tugas mendidik dan membesarkan anak-anak merupakan kerja si isteri. Lebih mendukacitakan, mereka tidak mengambil cakna tentang pendidikan dan keagamaan kepada anak-anak. Ayah asyik memberi 'kuliah politik'di kedai kopi. Atau selalu berulang alik 'naik aji' di wakaf-wakaf. Yang menjadi mangsa ialah anak-anak. Terbiar tanpa didikan yang sempurna. Membesar mengikut budaya masyarakat di sekeliling. Tidak pernah bersolat walaupun sudah memasuki sekolah menengah. Satu peristiwa yang aku tidak lupakan. Di sekolahku, semua murid diwajibkan solat zohor berjemaah di dewan besar pada hari Selasa sebelum aktiviti kokurikulum. Kebetulan, ada seorang murid tingkatan satu bersolat di hadapanku. Aku merasa pelik apabila melihat kelakuan murid tadi semasa bersolat. Dia seolah-olah tidak pandai dan tidak pernah bersolat. Ketika solat, dia asyik memerhatikan murid lain dan melakukan perbuatan dalam solat secara ikut-ikutan. Selesai solat, aku bertanya kepada murid tersebut adakah dia pernah bersolat di rumah. Jawapannya, tidak pernah. Aku bertanya lagi, adakah ibu bapanya tak marah kalau tak bersolat. Dia mengeleng-gelengkan kepala sahaja. Aku terdiam. Jika inilah didikannya maka warisnya ini akan melakukan jejak langkah yang sama kemudian hari.

Aku bermuhasabah ke dalam diri. Khutbah tadi memberi peringatan dan nasihat agar aku dan para suami yang lain mesti menjalankan amanah yang dipertanggngjawabkan selari dengan tuntutan agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan