11 Mac 2010

SPM 2009

            11 Mac. Debaran yang terhimpun terlerai sudah. Pelbagai reaksi. Pelbagai ragam. Pelbagai perangai. Semuanya tergambar pagi tadi. Kegembiraan. Kekecewaan. Kekesalan. Kemurungan. Kesedihan. Semuanya bercampur baur. Ada yang menangis kegembiraan. Ada yang menangis kekecewaan. Ada yang melonjak-lonjak keriangan. Ada yang tertunduk dihimpit kemurungan. Ada ibu bapa yang tersenyum di sisi anak tersayang. Ada juga yang terdiam memikirkan keputusan anak yang gagal di tangan. Guru-guru pula sibuk mengira-gira keputusan sama ada meningkat atau menjunam. Berapa ramaikah yang mendapat 'A' dan berapa pula yang mendapat 'Gemilang'. Segala perjuangan selama 5 tahun di sekolah menengah ternoktah sudah. Mereka sekarang memikirkan tentang haluan kerjaya masing-masing. Doktor? Jurutera? PTD? Guru? atau apa-apa kerjaya yang sesuai dengan diri sendiri. Mereka sedang memasang impian untuk memilih ke menara gading tertentu untuk merealisasikan cita-cita yang terpendam.
           Aku hanya tumpang kegembiraan dengan kejayaan anak-anak rakan. Tahniah kepada Cikgu Fauzi, Cikgu Zamnuri, Cikgu Ismail SMK Pelagat kerana anak-anak mereka berjaya mendapat pencapaian yang baik dalam SPM yang diumumkan pada pagi tadi. Tahniah juga buat Cikgu Tuan Mohamad Yusof, Pengetua SMK Tengku Mahmud ( mantan Pengetua sekolahku dulu ). Dengar khabar sekolah ini berjaya mendapat keputusan yang cemerlang di peringkat negeri Terengganu. 2 pelajarnya memperolehi semua A+ dalam semua subjek.Tahniah...satu kejayaan yang membanggakan semua..diri, keluarga, guru-guru dan masyarakat.
           Bagaimana keputusan sekolahku? Pelajar terbaik, Saudari Khairunissa Syafika hanya mendapat 7A sahaja.Yang mendapat semua 'G' pun ada. Hebatnya, walaupun mereka gagal namun mereka masih boleh bergembira dengan keputusan tersebut. Saling banding-membanding dengan rakan-rakan yang lain siapa yang lebih banyak 'G'. Apatah lagi, mereka datang ke sekolah dengan 'fesyen-fesyen terkini': rantai di leher, rambut diwarnakan dan pelbagai kerenah lagi. Tambahan pula, mereka terpaka melunaskan dahulu hutang piutang kepada pihak sekolah sebelum result dapat diambil. Kekadang, aku rasa kita sebagai guru sudah gagal dalam membentuk akal budi dan sahsiah diri golongan yang syok sendiri ini. Tapi nak buat macam mana, mereka sudah menjadi buluh. Susah nak dibentuk. Silap-silap luka tangan sendiri. Jadi, biarkan sahaja Si Luncai terjun dengan labunya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan