27 September 2009

Selamat kembali ke sekolah,

             Sudah seminggu kita melangkah ke bulan Syawal. Kemeriahan sambutan aidil fitri masih terasa. Masih banyak rakan kita  yang membuat rumah terbuka. Meriahnya apabila rakan taulan yang sudah lama merantau datang bertandang ke rumah dan mengkhabarkan cerita-cerita tentang kehidupan mereka dari kecil sampailah sekarang. Ada yang sudah menjawat jawatan besar di syarikat-syarikat ataupun di jabatan-jabatan kerajaan. Ada yang dah mempunyai keluarga yang besar, anak yang ramai, bini dua tiga orang , kereta empat lima buah dan sebaainya. Tetapi ramai rakan-rakan yang kekal setia : isteri seorang saja, cuma anak je yang bertambah. Itulah kehidupan yang penuh warna warni  dan pelbagai corak ragamnya.

             Dalam kemeriahan sambutan hari raya, ada juga berita sedih yang terpaksa diterima. Untuk Cikgu Tuan Mohamad Yusof ( bekas Pengetua SMKPNZ yang kedua ) dan keluarga, saya mengucapkan ucapan takziah atas pemergian  ke rahmatullah anakanda tersayang beliau, Engku Nadhierah pada hari raya yang keempat baru-bari ini. Engku Nadhierah, pelajar 4 Al Razi merupakan seorang pelajar yang tekun, rajin, patuh kepada guru-guru dan mesra dengan rakan-rakan. Tentu kehilangan ini, akan terasa kekosongan kepada keluarga, guru dan rakan-rakan beliau. Semoga Allah SWT merahmati Allahyarhamah.

             Kini, sekolah sudah bermula semula selepas bercuti selama seminggu. Banyak perkara yang kita perlu selesaikan. Peperiksaan percubaan SPM dan PMR sudah selesai. Jadi, kertas-kertas jawapan pelajar tu, kena periksa betul-betul. Peperiksaan PMR pula akan bermula 7 Oktober ini. Diharapkan semoga pelajar SMKPNZ akan mencapai kejayaan yang cemerlang nanti.

17 September 2009

LAMBAIAN RAMADHAN DIAMBANG SYAWAL

            Alhamdulillah. syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana limpah dan rahmat-Nya dapat kita menjalani ibadat puasa di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini dengan aman makmur, sihat sejahtera dan limpahan rezeki yang banyak. Berbanding dengan negara lain. Ramai rakyatnya menderita sengsara sehingga ada yang mati ketika berebut-rebut mengambil makanan.Ada juga yang mati kerana kelaparan ketiadaan makanan. Ada juga yang mati kerana terkena roket dan peluru bedil  kekejaman Israel . Cuma di negara kita, mungkin ada yang mati kerana terlebih makan.....sebab hendak menghabiskan juadah pasar Ramadhan. Apapun kita tetap memanjat kesyukuran kerana Allah s.w.t  kerana kita masih bernafas untuk terus melaksanakan perintah-Nya. Sempena Syawal yang bakal tiba nanti, ingin aku rakamkan ucapan Selamat Aidil Fitri Maaf Zahir Batin kepada :
1. Pengetua-pengetua yang bertugas di SMKPNZ- Hj. Azmi Mohd Yazid, YM Tuan Yusof Tuan Sulaiman, Hj. Romeli Abd. Rahman, En. Ramli Mat Amin, En. Ab Halim Hj Hassan dan  Tuan Hj. Mhd Ramli Che Mat.
2. Rakan-rakan guruku di SMKPNZ yang saban hari gigih mendidik anak bangsa - Cg Rahim, Cg Amran, Cg.Puji, Cg. Arshad, Cg Firdaus, Cg Zaffri cameraman, Cg.Mustafa, Cg Zamnuri, Cg.Ramlam, Cg Saari, Cg Nawi, Cg. Yusri, Cg.Sidek, Cg.Ust.Taha, Ust. Amri, Cg.Zaidi,Cg.Arman, Cg.Iskandar, Cg.Zahari, Cg.Raja Zaid, Cg. Zahali, Cg.Hadi dan semualah cikgu-cikgu perempuan yang dok sibuk niaga kerepek ubi, tempeyek,kuih tat nenas, kain tudung ekin & epin, butang baju keronsang. Takpa...jangan lupa masuk kelas dan tanggungjawab wajib tu.
3. Teman-teman seperjuangan - Ust.Mizi dan keluarga, Cg. Fandi & Kak Za sekeluarga, Ust.Rahim sekeluarga, Cg.Mail, Cg.Nasir,Cg.Yasmin, Cg. Suhaili , Cg.Mazelam , Mat Yie Pasir Mas, Mat Piah Pauh Lima, Keri Sg.Petani, Malek Che Pa Pokok Sena, Dollah Kulim, Mesul Kota Bharu dan ramai lagi . Maaflah, tidak larat nok tulis.
4. 'Member sebilik' - Pn. Nor Azimah ;  dengan pertanyaan, berapa helai baju raya ? kuih muih berapa bekas ? pagi raya nak makan apa? berbuka puasa petang nanti lauk apa-ikan singang atau ayam percik? he..he..he

5. Buat anak-anak - Abdul Mukmin, Abdul Muttaqiin, Nurul Huda, Nurul Iman. Jadilah anak yang taat kepada Allah s.w.t, taat kepada perintah-perintah-Nya, taat kepada ibu bapa dan rajin-rajin belajar.
MAAF ZAHIR DAN BATIN UNTUK SEMUA.
             

08 September 2009

UPSR: Terima kasih cikgu SKKR

Hari ini peperiksaan UPSR bermula. Anak lelakiku, Abdul Muttaqiin bersama ribuan murid lain menduduki peperiksaan pada pagi. Semalam, dia telah menyediakan beberapa batang pensel, pembaris dan pemadam bagi menghadapi ‘ujian besar’ yang pertama baginya sebagai pelajar. Sebagai bapa, aku juga merasa sedikit debaran dalam menghadapi detik ini. Begitu juga barangkali ibu bapa yang lain. Semuanya mengharapkan kejayaan dan kecemerlangan anak-anak. Ayah juga mengharapkan kejyaaanmu, Qiin. Buatlah sebaik mungkin dan berdoa bertawakallah kepada Allah s.w.t kerana Dialah yang menentukan segala-galanya.

Bermula awal tahun tahun lagi, pihak sekolah khususnya Sekolah Kebangsaan Kampung Raja, tempat anak-anakku belajar telah merancang dan melaksanakan pelbagai program untuk kecemerlangan anak murid mereka. Kelas tambahan siang malam, program temu murni, pelbagai ujian dalaman, bengkel menjawab soalan, program mentor-mentee dan sebagainya. ’Nakhoda’nya Cikgu Suhaimi Long begitu bersemangat untuk mencapai sasaran, melaksana program secara terancang, prihatin kebajikan anak buahnya, mesra dengan guru-guru dan ibu bapa menjadi kunci kejayaan sekolah ini. Hebatnya para guru bukan kerana ia membina bangunan tinggi melangit tetapi membina akal budi insan yang akan menjadi khalifah di bumi Allah ini.

Begitulah alam persekolahan di peringkat sekolah rendah. Kerenah anak-anak untuk ponteng kelas dan sekolah amat sedikit. Apa yang disuruh dan dikata oleh cikgu akan menjadi pegang kuat mereka. Kadang-kadang, kita sebagai ibu bapa merasa letih dengan rutin ’ambil’ dan ’hantar’ mereka ke kelas tambahan siang malam namun mereka tetap bersemangat.

Berbeza dengan pelajar di sekolah menengah. Rebung dah menjadi buluh. Susah hendak dibetulkan. Murid-murid malas belajar. Kalau kelas tambahan, bilangan pelajar amat sedikit. Apatah lagi, kalau kelas tercorot. Tinggallah seorang dua pelajar perempuan yang setia untuk belajar. Pelajar lelaki hilang dibawa arus’bodoh sombong’. Jikalau menduduki peperiksaan, mereka tidak ada perasaan ’takut gagal’. Sememangnya mereka tidak mengharapkan kejayaan yang menggunung. Bila ditanya, siapakah yang ingin memasuki universiti? Mereka menggeleng –geleng kepala. Pernah seorang pelajar bertanya kepada aku bagaimana cara untuk berhenti sekolah. Dia memberitahu kedatangan ke sekolah adalah kerana suruhan ibu bapa. Hatinya kosong untuk belajar. Saya cuba menasihatinya tentang pentingnya pelajaran untuk masa depan namun dia sukar untuk menerimanya. Baginya, harapannya untuk berjaya amat sukar umpama melihat kegelapan gua yang semakin lama semakin gelap dan sempit. Melemaskan. Siapakah yang harus kita persalahkan ? Sama-sama kita fikirkan...

06 September 2009

25 Ramadhan

Tarikh ini tetap subur dalam ingatan. Setiap kali menyambut ramadhan, semakin terasa kehilanganmu, mak.
Mak telah meninggalkan kami semua dan menyahut panggilan Illahi dalam usianya 64 tahun. Akibat komplikasi buah pinggang yang dijangkiti kuman dan penyakit diabetes yang dialami, kami membawa mak ke Hospital Jerteh dan seterusnya dirujuk ke HUSM. Setelah berada di HUSM selama sembilan hari tanpa sedarkan diri, kami membawa mak pulang ke rumah. Sampai saja di rumah, mak membuka mata seketika seolah-olah sedar bahawa beliau telah sampai ke ’mahligai’nya dan terus menutup mata tanpa bicara dengan kami semua. Lima hari berada di rumah dan pada 25 Ramadhan 1421 jam 9.50 malam, mak meninggalkan kami semua.
Kenangan lalu bersama mak banyak menitis rasa sedih dihati ini. Sedih bukan kehilangan kerana ketentuan-Nya tetapi rasa bersalah diri ini terhadap mak. Kekadang aku merasa ada tingkahlaku menyinggung perasaan mak. Adakah mak memaafkan kesalahan dan dosaku?
Mak, seorang insan yang cukup istimewa. Biarpun beliau tidak mengenal tulis baca tetapi mak pentingkan pelajaran dan agama anak-anaknya. Jika aku culas pergi mengaji, ibu akan memarahi. Apabila masa makan, mak pastikan anak-anaknya diberikan sama rata.
Ya, Allah.
Engkau ampunilah dosa-dosa ibuku.
Sayangilah dia sebagaimana dia menyayangi kami semua
Tempatkan dia di syurga-Mu bersama orang-orang soleh

03 September 2009

Begitulah, apabila kita diuji.

           Minggu lepas, ramai rakan-rakan termasuklah isteriku menduduki peperiksaan Penilaian Tahap Kompetensi (PTK). Peperiksaan ini penting untuk kemajuan kerjaya dan masa depan para guru. Maklumanlah, kalau tak lulus, tidak boleh naik pangkat.Malahan kalau dapat keputusan yang cemerlang, ada rezeki mungkin dapat anjakan gaji. Oleh itu, masing-masing sibuk berbincang tentang soalan-soalan yang bakal ditanya. Ada juga yang buat 'study group' - bersemangat tinggi .Ada juga rakan yang jual CD dan nota-nota PTK. Baguslah tu, semoga dapat keputusan IV bila diumumkan nanti. Cuma yang  tak seronoknya, apabila keluar dewan peperiksaan, masing-masing mengeluh panjang...payahnya soalan. Harapan yang tinggi sebelum melangkah masuk ke dewan peperiksaan mulai pudar dikikis rasa kesangsian.
           Sebenarnya semua itu menggambarkan kekerdilan kita sebagai insan. Kita terlalu lemah. Ilmu kita umpama halus debu di sisi Allah swt. Banyak perkara yang kita tidak mengetahuinya tentang perkara yang kita tidak ketahui. Kita hanya tahu bahawa kita tidak mengetahui sesuatu perkara apabila kita ditanya tentang perkara tersebut. BEGITULAH, APABILA KITA DIUJI.