06 Mei 2010

HARI















Bulan Mei.
Mengikut kalendar ada 31 hari dalam bulan ini. Bulan ini banyak sungguh hari dalam hari. Ada Hari Pekerja, Hari Ibu, Hari Guru, Hari Wesak dan Hari Jadi Mukmin. Tetapi yang paling aku nanti ialah hari jadi aku sendiri, 17 Mei. Agaknya, apa yang akan dihadiahkan oleh isteri tersayang? Kalau ikut tradisi sebelum ini, tidak ada apa-apa hadiah yang diberikan. Cuma sekuntum senyuman dan ucapan selamat sedar diri. Yalah, umur makin bertambah. Ubanpun semakin banyak dikepala. Sambil senyum sambil sindir sikit-sikit. Tapi tak apa, kita orang lelaki jangan mudah terasa hati bila disindir sedemikian oleh isteri. Bukan apa, itu tanda sayang. Kalau tak sayang, tentu dia biarkan kita hanyut sendirian. Aku cadang nak buat bbq..bakar ayam seekor dua. Seronok juga.










Sebelum itu, aku mesti sambut Hari Guru dulu. Sebagai cikgu, kita kena sambut Hari Guru. Tahun ini, 16 Mei jatuh pada hari Ahad. Hari Selasa lalu, kelab guru yang dikepalai oleh Cikgu Tuan Kob sudah  bermesyuarat bagi membincangkan sambutan Hari Guru ni. Tetapi keputusannya macam tahun lepas juga..sukaneka, petanque, badminton, persembahan dan ucapan. Pasti ada ialah nyanyian lagu Guru Malaysia. Cikgu Tuan Kob telah menunjukkan komitmen yang tinggi selaku Pengerusi Kelab Warga PNZ. Mungkin dengan cara ini, harapan dan imipiannya untuk memegang jawatan tersebut tiga tahun lagi menjadi kenyataan. Aku menyokong penuh harapan ini..hehehe.

LAGU GURU MALAYSIA:

Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putera puteri negara kita
Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua
Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta
Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetapkan kami tunaikan

Seronok juga kita sambut hari kita. Polis sambut Hari Polis. Tentera sambut Hari Tentera. Masing-masing ada hari. Mengapa kita menyambut Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun. Tarikh 16 Mei dipilih sebagai HARI GURU kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai LAPORAN RAZAK (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu. Tahun ini tema sambutan Hari Guru : Guru Pembina Negara Bangsa.Tetapi ada juga yang tidak ada hari...Hari Doktor? Hari Kerani?..
 
Guru Pembina Negara Bangsa..Teras keempat dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 -2010. Memetik kata-kata mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, hasrat untuk membentuk sebuah Negara Bangsa dalam konteks Malaysia ialah "...sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama.".  Peranan pendidik dan pendidikan penting untuk melahirkan semangat cintakan negara. Oleh itu, satu cabaran besar yang perlu dipikul semua warga pendidik ke arah melahirkan murid yang bersatu padu, jati diri yang utuh, berpegang kepada nilai agama dan moral, bertolak ansur dan mempunyai keyakinan yang tinggi. Dewasa ini, kita lihat keruntuhan nilai moral dan akhlak remaja semakin membimbangkan. Isu buang dan pembunuhan bayi sentiasa berlaku. Berita rogol, skandal, keganasan dan pelbagai lagi.  Saban waktu, gejala negatif ini makin subur dalam kalangan masyarakat Malaysia.
 
Hari Ibu...memang patut kita mengingati ibu kita. Bukan hanya pada hari itu sahaja tetapi setiap detik dan ketika. Sembilan bulan sepuluh hari dia membawa kita merata-rata. Tidak pernah dia merungut keletihan. Malahan dia bangga membawa perutnya besar itu ke mana-mana. Apabila kita dilahirkan, dia membelai kita siang dan malam sehingga suami sendiri pun tidak diendahkan. Kita menangis, didodoikannya. Kita lapar, disusukannya. Tetapi apabila ibu kita semakin tua dan kita kian dewasa, mengapa kita lupakannya. Zalim. Tidak berperikamanusiaan. Kasih ibu tidak dapat dibalas dengan segunung harta di dunia. Yang mampu kita membalasnya hanyalah kasih sayang, bakti dan doa kita kepada ibu tercinta.
 
maafkan diri ini, ibu
jika pernah hati kecilmu terluka
mungkin ku tak sengaja
atau juga ku terlupa.
 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan