15 Mei 2010

GURU















Hamka pernah berkata " kalau ada di dunia ini suatu pengorbanan dan kejujuran serta kelapangan hati, satu di antaranya adalah pekerjaan guru".

selamat harimu, guru.
terima kasih kerana sabar menitis ilmu
terima kasih kerana tabah mendidikku
terima kasih kerana memarahi kenakalanku
terima kasih kerana merotan kedegilanku
terima kasih, guruku.

14 Mei 2010

TEKNIK BERCERITA

Aku menghadiri Bengkel Teknik Bercerita di Ipoh, Perak selama 3 hari. Aku bersama dengan Cikgu Addenan, Cikgu Rusdi dan Cikgu Nasaruddin bertolak pada hari Selasa, 11 Mei 2010. Selepas menempuh perjalanan selama 6 jam, kami selamat sampai ke Hotel Seri Malaysia Ipoh jam 2.00 petang.  Pada malamnya, kami diberi pendedahan tentang teknik bercerita menggunakan apron dan anak patung. Seorang penceramah berbangsa Jepun, Puan Sakae Sasamori telah menunjuk ajar bagaimana teknik ini digunakan. Oleh kerana loghatnya Melayu Jepun, maka penyampaiannya melucukan. Tambahan pula, gaya dan sikapnya yang bersahaja, lucu dan mudah tersenyum menjadikan kami mudah mesra dengan beliau.
Bersama Pn. Sakae Sasamori dan Cikgu Ishak Haron

















Hari kedua.
Kami didedahkan pula teknik bercerita menggunakan buku cerita oleh Puan Filzah Ibrahim, pegawai dari Dewan Bahasa dan Pustaka. Rupanya, untuk menjadikan cerita kita lebih menarik, kita mesti pandai menggunakan mimik muka, nada suara, gaya dan kelancaran bahasa serta ingatan yang kuat. Mungkin, teknik ini aku boleh gunakan untuk bercerita kepada anak kecilku, Nurul Iman.
Selain itu, para peserta juga didedahkan dengan teknik bercerita menggnakan papan panel, piring kertas dan  cawan kertas. Seronok juga kursus begini. Semuanya lebih kepada praktikal sahaja.

Kumpulanku...














Hari Ketiga.
Setiap kumpulan mesti membuat persembahan. Pelbagai gaya, cerita dan bentuk persembahan dibuat oleh setiap kumpulan. Menghiburkan. Melucukan. Aku kagum juga dengan guru-guru wanita. Mereka ni pandai berlakon dan  melagukan puisi rakyat secara spontan. Aku rasa aku tidak mampu hendak buat begitu...segan.

09 Mei 2010

IBU



















9 MEI - Hari Ibu.
Ibu, emak, mama, ma, umi, bonda dan mummy merupakan panggilan seorang anak kepada ibu mereka. Pada hari ini, masyarakat menyambut hari yang dikhususkan kepada wanita yang mempunyai anak.  Hari Ibu disambut pada hari berbeza antara negara dalam dunia ini. Bagi Malaysia, Hari Ibu disambut secara tidak rasmi pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei. Hari Ibu ialah hari pengiktirafan kepada kaum ibu. Sekarang, masyarakat mudah melupai ibu sendiri. Malahan ada yang sanggup membunuh ibu mereka sendiri. Berita-berita sebegini sudah tidak asing lagi dalam masyarakat kita. Faktornya, gejala dadah dan pil kuda, tiada didikan agama, terlalu mengejar kehidupan dunia dan pelbagai faktor lain.

Ibu, seorang insan yang cukup istimewa. Setitik air susu ibu yang mengalir resap ke dalam tubuh kita tidak terbayar dengan emas permata.Janganlah kita mudah memberi alasan sibuk dengan kerja, rumahtangga, anak-anak dan suami dan aktiviti lainnya sehingga tidak mampu untuk mengunjungi dan menziarahi ibu sendiri. Kita mesti sedar, peranan dan jasa ibu bukan calang-calang tahapnya. Ibulah insan yang bertarung nyawa semasa mengandung dan melahirkan anak-anaknya ke dunia.Ketika kita masih kecil, ibulah yang menyuapkan makanan, menyusukan kita, mendodoikan tidur, mengajar bertatih dan sebagainya.Apabila anak-anak sedang membesar dan meningkat dewasa, ibu tidak putus-putus melaksanakan peranannya menjadi pendidik, menjadi tempat anak-anak bermanja dan mengadu nasib, menjadi penghibur dan pengubat rasa sedih dan nestapa.Untuk itu sebagai anak-anak, kita bertanggungjawab meraikan dan memuliakan ibu sepanjang hayat.

Allah SWT menegaskan dalam Surah al-Israa’, ayat 23 maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”.

Bayangkan, untuk anak-anak berkata “Ha” pun ditegah oleh Allah SWT untuk dilakukan kepada ibu, apatah lagi jika kita bersikap kasar, membentak atau ke tahap memukul mereka. Kita harus ingat keredaan Allah SWT itu terletak kepada keredaan ibu. Murkanya ibu bermaksud, murka jualah Allah SWT terhadap kita.Nabi Muhammad SAW juga telah memberi banyak isyarat yang jelas akan tingginya martabat seorang ibu dalam kehidupan kita. Dikatakan pada suatu hari datang seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan lelaki itu berkata: “Saya ingin melaksanakan Jihad dan ikut pergi berperang di jalan Allah, tetapi ibu tidak sepenuh hati melepaskan saya untuk berbuat demikian.” Rasulullah SAW kemudian menjawab, “Pulanglah kamu dan beradalah di sisi ibumu. Aku bersumpah dengan nama Tuhan yang mengutusku untuk menyampaikan kebenaran, bahawa untuk berada di sisi ibu bagi satu malam (dan melayan serta berbuat baik kepadanya) adalah lebih baik daripada mengikut berperang dan berjihad di jalan Allah selama setahun”.Begitu juga cerita di mana seorang lelaki telah bertemu dengan Rasulullah SAW di mana lelaki itu menyoal, “Siapakah orangnya dalam dunia ini yang perlu saya hormati dan hargai?’ Lalu Rasulullah SAW menjawab “Ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi sebanyak dua kali “Siapakah selepas ibu?” dan jawapan Rasulullah SAW tetap “Ibumu”. Akhirnya bila ditanya lagi ‘Siapakah selepas ibu?’ barulah Rasulullah SAW menjawab “Bapamu”. Jelas bahawa mesej Rasulullah SAW ini menganjurkan agar seorang ibu yang kaya dengan sifat lemah lembut dan kasih sayangnya itu perlu diberikan penghargaan yang lebih tinggi berbanding insan-insan lain di dunia ini.

Sempena Hari Ibu yang disambut pada hari ini, sewajarnya kita merenung kembali peranan kita terhadap ibu kita. Walaupun seorang ibu tidak pernah mengharapkan sebarang balasan harta dan wang ringgit daripada seorang anak atas pengorbanannya selama ini, tetapi kita sebagai anak mesti menghitung hisab tentang hal ini. Hari Ibu bukan bermakna hari ini sahaja kita mengingati ibu kita . Ini hanyalah simbol untuk kita menyorot kembali jasa budi kasih suci seorang ibu kepada setiap manusia. Kita mesti membalas jasa-jasa mereka walau tidak dipinta. Buatlah apa sahaja yang boleh menggembirakan mereka.  Seorang ibu pasti gembira jika seorang anaknya menjadi anak yang baik, taat kepada mereka, tidak melakukan sebarang perbuatan  yang mencela agama dan mendoakan kesejahteraan diri mereka. Jika ibu sakit, kita mesti menjaga dan merawatnya. Kita mesti mendoakan kesejahteraan kepada ibu kita sama ada mereka masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Kepada semua wanita yang bergelar ibu - Selamat Hari Ibu.

07 Mei 2010

MAKAN-MAKAN

Hari  Jumaat. 
Sungguh tenang pagi ini. Sunyi. Sepi. Maklumlah hari cuti am bagi negeri Terengganu. Jadi, orang tidak bekerja. Masing-masing berehat di rumah. Aku telah bercadang untuk menjemput keluarga kakak dan abangku makan tengah hari di rumah aku hari ini.




























Selepas menghantar Abdul Muttaqiin dan Nurul Huda ke kelas tambahan, aku bersama putera sulungku, Abdul Mukmin ke Kompleks Perikanan di Kuala Besut. Ramai juga orang di situ. Peraih sibuk membeli ikan daripada pemborong. Sebenarnya, aku jarang datang ke sini walaupun jaraknya tidak jauh dari rumahku. Biasanya aku hanya membeli ikan di pasar. Tetapi apabila dibuat perbandingan , di kompleks ini harganya lebih murah. Contohnya sekilo sotong yang panjang sekaki hanya RM 10 berbanding di pasar yang mencecah RM 14. Jadi, petang itu kami pakat bakar ayam dan sotong. Seronok juga kalau program begini dibuat sekali sekala. Anak-anak seronok dapat bermesra dengan sepupu mereka. Para ibu bersembang pasal tupperware. Para bapa pula dok bersembang pasal politik semasa - mengulas berita akhbar.

06 Mei 2010

HARI















Bulan Mei.
Mengikut kalendar ada 31 hari dalam bulan ini. Bulan ini banyak sungguh hari dalam hari. Ada Hari Pekerja, Hari Ibu, Hari Guru, Hari Wesak dan Hari Jadi Mukmin. Tetapi yang paling aku nanti ialah hari jadi aku sendiri, 17 Mei. Agaknya, apa yang akan dihadiahkan oleh isteri tersayang? Kalau ikut tradisi sebelum ini, tidak ada apa-apa hadiah yang diberikan. Cuma sekuntum senyuman dan ucapan selamat sedar diri. Yalah, umur makin bertambah. Ubanpun semakin banyak dikepala. Sambil senyum sambil sindir sikit-sikit. Tapi tak apa, kita orang lelaki jangan mudah terasa hati bila disindir sedemikian oleh isteri. Bukan apa, itu tanda sayang. Kalau tak sayang, tentu dia biarkan kita hanyut sendirian. Aku cadang nak buat bbq..bakar ayam seekor dua. Seronok juga.










Sebelum itu, aku mesti sambut Hari Guru dulu. Sebagai cikgu, kita kena sambut Hari Guru. Tahun ini, 16 Mei jatuh pada hari Ahad. Hari Selasa lalu, kelab guru yang dikepalai oleh Cikgu Tuan Kob sudah  bermesyuarat bagi membincangkan sambutan Hari Guru ni. Tetapi keputusannya macam tahun lepas juga..sukaneka, petanque, badminton, persembahan dan ucapan. Pasti ada ialah nyanyian lagu Guru Malaysia. Cikgu Tuan Kob telah menunjukkan komitmen yang tinggi selaku Pengerusi Kelab Warga PNZ. Mungkin dengan cara ini, harapan dan imipiannya untuk memegang jawatan tersebut tiga tahun lagi menjadi kenyataan. Aku menyokong penuh harapan ini..hehehe.

LAGU GURU MALAYSIA:

Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putera puteri negara kita
Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua
Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta
Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetapkan kami tunaikan

Seronok juga kita sambut hari kita. Polis sambut Hari Polis. Tentera sambut Hari Tentera. Masing-masing ada hari. Mengapa kita menyambut Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun. Tarikh 16 Mei dipilih sebagai HARI GURU kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai LAPORAN RAZAK (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu. Tahun ini tema sambutan Hari Guru : Guru Pembina Negara Bangsa.Tetapi ada juga yang tidak ada hari...Hari Doktor? Hari Kerani?..
 
Guru Pembina Negara Bangsa..Teras keempat dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 -2010. Memetik kata-kata mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, hasrat untuk membentuk sebuah Negara Bangsa dalam konteks Malaysia ialah "...sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama.".  Peranan pendidik dan pendidikan penting untuk melahirkan semangat cintakan negara. Oleh itu, satu cabaran besar yang perlu dipikul semua warga pendidik ke arah melahirkan murid yang bersatu padu, jati diri yang utuh, berpegang kepada nilai agama dan moral, bertolak ansur dan mempunyai keyakinan yang tinggi. Dewasa ini, kita lihat keruntuhan nilai moral dan akhlak remaja semakin membimbangkan. Isu buang dan pembunuhan bayi sentiasa berlaku. Berita rogol, skandal, keganasan dan pelbagai lagi.  Saban waktu, gejala negatif ini makin subur dalam kalangan masyarakat Malaysia.
 
Hari Ibu...memang patut kita mengingati ibu kita. Bukan hanya pada hari itu sahaja tetapi setiap detik dan ketika. Sembilan bulan sepuluh hari dia membawa kita merata-rata. Tidak pernah dia merungut keletihan. Malahan dia bangga membawa perutnya besar itu ke mana-mana. Apabila kita dilahirkan, dia membelai kita siang dan malam sehingga suami sendiri pun tidak diendahkan. Kita menangis, didodoikannya. Kita lapar, disusukannya. Tetapi apabila ibu kita semakin tua dan kita kian dewasa, mengapa kita lupakannya. Zalim. Tidak berperikamanusiaan. Kasih ibu tidak dapat dibalas dengan segunung harta di dunia. Yang mampu kita membalasnya hanyalah kasih sayang, bakti dan doa kita kepada ibu tercinta.
 
maafkan diri ini, ibu
jika pernah hati kecilmu terluka
mungkin ku tak sengaja
atau juga ku terlupa.
 
 
 
 

BOLA BALING
















aduh...harapan berkecai. Pasukan bola baling lelaki sekolahku gagal ke suku akhir kerana kalah jaringan gol. Setelah menang dua perlawanan dengan sekolah SMK Tengku Mahmud 2 dan SMK Tembila, aku yakin sekolah akan layak ke perlawanan suku akhir. Namun, kekalahan di tangan SMK Renek menghancur lumat keyakinanku.














Pasukan bola baling perempuan tidak memberi harapan langsung...kalah dalam tiga perlawanan.

Apa-apapun, tahniahlah kepada cikgu Wan Mazlan dan cikgu Iskandar yang berkorban masa dan tenaga melatih pasukan ini. Aku hanyalah 'jurulatih simpanan' aje. Sekali sekala je datang ke padang. Tetapi azamku tahun hadapan ialah kejuaraan..hehehe. Inilah adat permainan. ada kalah, ada menang. yang menang bersorak riang, yang kalah pulang kehampaan.

PAGI















pagi ini
aku mengutip cebis-cebis kenangan
yang kautinggalkan semalam
bertebaran di laman
diterbangkan angin waktu.

sekeping potret
yang lusuh
               kutatap
                          kurenung.

maafkan aku
tak mampu menahan sendu
tika merinduimu
kerna menyayangimu.

02 Mei 2010

AL-FATIHAH

al-fatihah buat Azaruddin Alias.

             Baru-baru ini, kudengar khabar sepupu isteriku pengsan apabila di rumahnya setelah menempuh perjalanan jauh dari Kedah ke Kuala Terengganu. Rentetan daripada itu, dia dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Setelah menerima rawatan, doktor mengesahkan dia mengidap penyakit yang berkaitan dengan hati.Tubuhnya kurus. Semakin hari, kudratnya semakin hilang. Hendak bangunpun perlu bantuan orang lain, apatah lagi untuk bergerak ke tandas. Selepas sebulan di HSNZ, dia dirujuk ke Hospital Selayang. Di sana, doktor memaklumkan dia tidak perlu menjalani pembedahan. Keadaannya kritikal. Doktor meminta ahli keluarga membawanya pulang ke rumah untuk berjumpa dengan sanak saudara. Pada hari Khamis, 22 April 2010 dia pulang ke rumah dengan ambulans. Doktor tidak membenarkannya menaiki kapal terbang memandangkan keadaannya yang kritikal.
            Aku dan isteri sempat ke rumahnya pada hari Jumaat yang lalu. Dia tidak banyak bercakap. Gelisah. Sensitif. Matanya kuning. Tubuhnya amat kurus berbanding semasa sihat dulu. Pada hari Sabtu, 1 Mei 2010 jam 2.30 pagi, aku menerima panggilan telefon daripada ibu saudara yang mengatakan saudara Azaruddin telah meninggal dunia jam 1.48 pagi. Aku bergegas ke Kuala Terengganu.
             Jenazah Allahyarham Azaruddin, 34 tahun disembahyang di Masjid Padang Midin selepas solat zohor. Beliau dikebumikan Tanah Perkuburan berhampiran masjid iaitu tempat arwah ibu yang meninggal dunia beberapa bulan yang lalu. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak yang masih kecil.