02 Mei 2010

AL-FATIHAH

al-fatihah buat Azaruddin Alias.

             Baru-baru ini, kudengar khabar sepupu isteriku pengsan apabila di rumahnya setelah menempuh perjalanan jauh dari Kedah ke Kuala Terengganu. Rentetan daripada itu, dia dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Setelah menerima rawatan, doktor mengesahkan dia mengidap penyakit yang berkaitan dengan hati.Tubuhnya kurus. Semakin hari, kudratnya semakin hilang. Hendak bangunpun perlu bantuan orang lain, apatah lagi untuk bergerak ke tandas. Selepas sebulan di HSNZ, dia dirujuk ke Hospital Selayang. Di sana, doktor memaklumkan dia tidak perlu menjalani pembedahan. Keadaannya kritikal. Doktor meminta ahli keluarga membawanya pulang ke rumah untuk berjumpa dengan sanak saudara. Pada hari Khamis, 22 April 2010 dia pulang ke rumah dengan ambulans. Doktor tidak membenarkannya menaiki kapal terbang memandangkan keadaannya yang kritikal.
            Aku dan isteri sempat ke rumahnya pada hari Jumaat yang lalu. Dia tidak banyak bercakap. Gelisah. Sensitif. Matanya kuning. Tubuhnya amat kurus berbanding semasa sihat dulu. Pada hari Sabtu, 1 Mei 2010 jam 2.30 pagi, aku menerima panggilan telefon daripada ibu saudara yang mengatakan saudara Azaruddin telah meninggal dunia jam 1.48 pagi. Aku bergegas ke Kuala Terengganu.
             Jenazah Allahyarham Azaruddin, 34 tahun disembahyang di Masjid Padang Midin selepas solat zohor. Beliau dikebumikan Tanah Perkuburan berhampiran masjid iaitu tempat arwah ibu yang meninggal dunia beberapa bulan yang lalu. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak yang masih kecil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan