04 Februari 2010

sikap kita

FALSAMPAH GILA-GILA :BIARLAH DUDUK KERANA PENAT DARIPADA PENAT KERANA DUDUK.

         Petang tadi, selepas selesai urusan di sebuah bank di Jerteh, aku memasuki sebuah kedai buku. Aku ingin membeli surat khabar . Tiba-tiba anakku memberitahu bahawa dia ingin membeli sebuah majalah iaitu Gila-Gila. Ya, sudah lama aku tidak membaca majalah ini. Walaupun dikenali sebagai sebuah majalah humor sahaja namun kadang-kadang kartunnya atau bicara humor di dalamnya membawa seribu makna.
         Petikan di atas, aku petik daripada majalah ini. Kata-kata ini mempunyai maksud yang mendalam. Dalam kehidupan seharian, kita akan bertemu dengan pelbagai ragam dan karenah manusia. Satu sikap yang sering kita jumpai ialah sikap MALAS. Ada yang malas bekerja, malas belajar, malas berusaha, malas mencari ilmu dan bermacam-macam malas lagi. Apabila kita malas, kita akan mencipta pelbagai alasan dengan harapan orang lain akan memahami masalah kita.Contohnya, apabila seseorang  menyuruh kita membuat sesuatu kerja kepada diri kita, mungkin kita akan melihat ianya sebagai satu halangan dan masalah besar kepada diri kita. Maka kita akan mencari alasan-alasan supaya tugasan tadi diserahkan kepada orang lain.

 "Maaflah cikgu, saya tidak pandai komputer. Kalau saya buat mungkin cikgu tidak menyukainya",

" Saya masih baru di sini. Saya tidak kenal dengan rakan-rakan di sini. Bagaimana saya boleh meminta mereka melakukan kerja ini. Saya tidak boleh melakukannya, cikgu".

"Cikgu, saya orang miskin. Hidup susah. Kalau saya belajar bersungguh-sungguhpun, saya tetap miskin juga..tak da duit nak masuk U"

         Mungkin itu sebahagian daripada kata-kata yang kita akan dengar daripada seseorang. Sepintas lalu memang nampak kebenaran kata-kata tadi tetapi apabila kia menghayati betul-betul, semuanya terbit kerana ketidakyakinan kepada diri sendiri dan sikap MALAS. Oleh kerana itu, manusia sering dimotivasikan diri mereka melalui ceramah, forum, syarahan dan sebagainya supaya mereka yakin kepada keupayaan, keisitmewaan dan kelebihan yang ada dalam diri mereka. Masalahnya, mereka sendiri tidak memotivasikan diri sendiri.
          Di sekolah, kita sering berjumpa dengan pelajar yang bersikap seperti falsampah Gila-Gila ini. Mereka lebih cepat mencari jalan untuk mencipta alasan daripada mencari akal menyelesaikan tugasan. Pernah aku bertanya kepada pelajar di kelas yang paling akhir di tingkatan lima, siapakah yang yakin dirinya akan lulus Bahasa Melayu. Jawapannya, hanya 10 orang daripada 29 orang yang mengangkat tangan menandakan mereka yakin lulus Bahasa Melayu. Ditanya mengapa yang lain tidak mengangkat tangan, mereka menjawab : tidak yakin.
           Mereka lebih senang tidur daripada menjawab soalan peperiksaan . Mereka lebih pentingkan motor daripada buku-buku pelajaran. Mereka lebih kenal siapa penyanyi rock terkenal di Amerika tetapi mereka tidak kenal nama ustazah yang mengajar Pendidikan Islam di kelas mereka. Mereka merungut tiada wang untuk membayar yuran tetapi mudah saja kalau hendak membeli sekotak rokok.

            Begitulah....kalau kita sering mencipta alasan daripada menguatkan azam mengapai kejayaan.
          

02 Februari 2010

hidup ini

Benar kata orang, semakin jauh kita meninggalkan garisan permulaan, sebenarnya semakin dekat kita dengan garisan perhentian. Semakin lama kita menghirup manisnya kehidupan, semakin dekat pula kita dengan detik kematian. Ketentuan yang telah ditetapkan Allah S.W.T. ke atas makhlukNya.

Al-Fatihah buat Allahyarham Cikgu Mat Bong .

Manisnya kenangan

           Seringkali kita terasa rindu tentang masa lalu. Masa yang telah membesarkan kita. Masa yang telah mematangkan diri kita. Masa yang menebar jala kehidupan : suka duka terhimpun segala dalam lipatan ingatan. Kekadang, kita ingin menjejak masa lalu . Tidak kira samada peristiwa sepahit hempedu ataupun semanis madu, kenangan tetap indah. Semakin jauh langkah kita berjalan semakin banyak kita menghimpun pengalaman. Semakin jauh kita meninggalkan pelabuhan, semakin kuat ingatan kita kepada daratan. Semakin lama kita berpisah, sebenarnya dikalbu semakin kuat rindu  resah menerjah. Benar kata bidalan : sayangkan anak tangan-tangankan,sayangkan  isteri tinggal-tinggalkan. Bagaimana dengan suami? Sayangkan suami rapat-rapatkan..
           Teknologi memudahkan kita mencari rakan-rakan lama yang puluhan tahun tidak berjumpa. Aku menjejak teman-teman sewaktu belajar dahulu. Aku melihat satu nama yang pernah aku kenal tetapi wajahnya agak berlainan. Aku amati betul-betul...akhirnya sah beliau adalah rakan semasa di USM. Tapi wajah sudah berubah..berambut berjanggut putih. Aku menghubunginya. Bertanya khabar tentang diri, isteri, anak-anak dan kerjaya. Alhamdulillah, dia dah jadi pentadbir no. 2 di sekolah sains di Negeri Sembilan. Begitu juga dengan beberapa teman lain, mereka sudah bahagia dengan keluarga dan kerjaya masing-masing.
           Masa boleh mengubah wajah kita tetapi jangan membiarkan ia mengubah ikatan kasih sayang persahabatan antara kita. Manisnya kenangan...

22 Januari 2010

Tahun 2010

           Sudah lama aku tidak menulis . Hanya baca cerita yang sudah basi. Sambil itu, aku menjelajah juga ke blog orang lain yang aku kenali. Ada cerita-cerita baru dan ada juga macam aku..tak terusik juga. Mungkin rakan tu sibuk dengan tugas-tugas di sekolah. Betullah kata orang, hendak jadi seorang penulis mesti kreatif, kritis, peka keadaan sekeliling dan perlu ada keazaman untuk menulis. Masa di universiti dulu , aku ambil subjek Kesusasteraan Melayu sebagai major pengajian. Pensyarahku ketika itu  Shahnon Ahmad. Beliau seorang yang hebat dan amat kreatif semasa mengarang. Ada ketikanya aku kena mencipta cerpen dan sajak sebagai tugasan. Nak menulis satu cerpen yang bermutu bukan satu kerja yang mudah...sakit kepala nak menyelesaikannya. Walaupun begitu, aku bersyukur walaupun tidak berjaya menjadi seorang sasterawan tetapi ditakdirkan juga menjadi guru yang mengajar kesusasteraan Melayu...subjek yang tidak popular di sekolah. Itulah sebabnya banyak sekolah tidak menawarkan subjek ini sebagai elektif dalam SPM. Kurang 'bernilai' agaknya untuk memasuki institusi pengajian tinggi.
           Setiap awal tahun, kita sering diajukan soalan tentang azam. Ada yang berazam nak sambung belajar buat MA. Ada yang berazam nak beli kereta baru...tahniahlah kepada sahabatku yang dah berjaya menunaikan azamnya. Comel Vios putih TAX xxxx. Bolehlah ambo tumpang sekali sekala. Ada yang berazam nak kahwin..he..he..he...kahwinkan anak aje. Surat jemputan dah diberi pagi tadi..terima kasih Kak Zailani dan Cikgu Din. Bunyi kata nak rebahkan 4 ekor lembu...sembelih seekor jah. Berseri-seri wajah seorang ibu yang akan menerima menantu dan pastinya mengharapkan kebahagiaan kepada anaknya.
          Azamku? masih sedang difikirkan.Yang pasti aku mengharapkan aku dan keluarga menjadi lebih baik daripada hari semalam. Keriangan anak-anak dan senyuman isteri yang baharu bertukar ke sekolah baru adalah vitamin kepada diriku. Aku melihat isteriku tidak merungut walaupun bertugas di tempat baharu dan terpaksa memegang tugas-tugas baharu. Dia dapat menerima hakikat seorang penjawat awam. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Memang perpisahan akan menyentuh emosi dan perasaan. Apatah lagi, teman-teman yang rapat terpaksa ditinggalkan. Air mata yang menitis ketika mendakap teman-teman adalah jawapan tentang kasih dan sayang. Itu lumrahnya. Sebenarnya apabila kita bertukar sekolah, banyak hikmahnya. Kita akan mengutip seribu pengalaman baharu. Kita akan berhadapan dengan kerenah ribuan murid-murid baharu. Kita akan berkenal mesra dengan rakan-rakan sejawat yang baharu.
            Dalam cuti sekolah baru-baru ini, aku dikehendaki menghadiri Kursus Orientasi Guru Cemerlang peringkat Zon Timur di Bukit Keluang Beach Resort. Seronok, letih, penat, gembira, marah, puas dan sebagainya  terkandung kukuh dalam lipatan kenangan.Semoga  teman sekumpulan sihat sejahtera.
           

21 Januari 2010

Selamatkah kita?


 Setiap hari kita disuakan dengan berita kematian, keganasan dan penderitaan yang berlaku dalam rumah sendiri. Anak membunuh bapa, datuk, nenek dan adik; Isteri beranak dua dibunuh suami; Anak gadis dirogol bapa sendiri; Gadis cacat mangsa nafsu bapa tiri; Bayi masih bertali pusat dibuang ke dalam tong sampah oleh ibu sendiri; Pembantu rumah didera majikan sehingga 'dijemput' kematian. Berita-berita seperti ini menarik minat masyarakat untuk membaca dan mengetahuinya. Pelbagai andaian dan pendapat dilontarkan tentang sebab-sebabnya namun jawapan akhir yang kita mempersetujui bersama ialah KEKEJAMAN.

           Ya, memang sesuatu yang amat kejam apabila seorang lelaki yang diharapkan menjadi pelindung kepada si isteri adalah pembunuh yang paling kejam. Bukan sahaja  dihentak ke dinding-dinding konkrit, malah jasadnya dibakar atau dihumban ke sungai.Memang kejam. Anak gadis yang sepatutnya dididik supaya menjadi insan berjaya pada masa hadapan tetapi diragut mahkota kehormatan mereka tanpa belasa kasihan. Jeritan derita anak-anak sudah menjadi 'lagu-lagu' yang mengkhayalkan mereka.Manusia sudah hilang batas kemanusiaan. Yang ada bertapak subur dalam diri mereka hanyalah nafsu syaitan.

           Siapakah yang kita patut mempersalahkan?  Selamatkah kita?

17 November 2009

Sesi persekolahan 2009 kian melabuh tirainya

Beberapa hari lagi, sesi persekolahan akan melabuhkan tirainya. Tinggal hanya calon-calon SPM dan STPM yang pastinya akan memerah otak dan fikiran untuk menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan nanti. Resah gelisah debaran kebimbangan melingkari perasaan emoasi mereka. Maklum sahaja harapan, impian mereka, ayah ibu dan guru-guru menggunung tinggi. Mereka bimbang amanah besar ini tidak tertunai dan tertanggung oleh mereka. Pastinya kegagalan  merupakan satu calitan hitam dalam kanvas hidup mereka. Tetapi ada juga segelintir insan yang tidak merasa apa-apa dalam menghadapi peperiksaan ini nanti. Mereka kebal daripada 'demam peperiksaan'. Antibodi mereka cukup kuat. Ilmu yang adapun sudah bertaraf 'profesor'. Sebab itu mereka tidak perlu hadir ke kelas tambahan dan jarang-jarang ke sekolah.Hari ini sekolah aku mengadakan majlis Izin Ilmu. Satu majlis lumrah di sekolah-sekolah sebelum murid menduduki peperiksaan awam. Yang jarang hadir ke sekolahpun ada pada hari ini. Alhamdulillah. Mungkin ingin berjumpa guru-guru yang sudah lama tidak berjumpa. Maklumlah, mereka ambil  'cuti ' sendiri.

Khamis nanti, keputusan UPSR akan diumumkan. Berita yang ditunggu-tunggu oleh ribuan murid dan ibu bapa termasuklah aku sendiri. Bagaimana agaknya keputusan Abdul Muttaqiin? Setiap kali anak-anak menduduki peperiksaan, kita sebagai ibu bapa sering menyimpan harapan yang  tinggi. Bukan apa, kerana kita berada pada zaman orang menanya 'A' sahaja tentang keputusan peperiksaan.

Tahniah juga kepada rakan-rakan : Cikgu Zaimah dan suami, Cikgu Zahari dan isteri, Cikgu Mokhtar dan isteri, Cikgu Mat Zin dan isteri, Cikgu Suhaimi dan isteri yang dijemput Allah SWT untuk menunaikan rukun haji pada tahun ini. Didoakan semoga mereka semua sihat dan dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna.

27 September 2009

Selamat kembali ke sekolah,

             Sudah seminggu kita melangkah ke bulan Syawal. Kemeriahan sambutan aidil fitri masih terasa. Masih banyak rakan kita  yang membuat rumah terbuka. Meriahnya apabila rakan taulan yang sudah lama merantau datang bertandang ke rumah dan mengkhabarkan cerita-cerita tentang kehidupan mereka dari kecil sampailah sekarang. Ada yang sudah menjawat jawatan besar di syarikat-syarikat ataupun di jabatan-jabatan kerajaan. Ada yang dah mempunyai keluarga yang besar, anak yang ramai, bini dua tiga orang , kereta empat lima buah dan sebaainya. Tetapi ramai rakan-rakan yang kekal setia : isteri seorang saja, cuma anak je yang bertambah. Itulah kehidupan yang penuh warna warni  dan pelbagai corak ragamnya.

             Dalam kemeriahan sambutan hari raya, ada juga berita sedih yang terpaksa diterima. Untuk Cikgu Tuan Mohamad Yusof ( bekas Pengetua SMKPNZ yang kedua ) dan keluarga, saya mengucapkan ucapan takziah atas pemergian  ke rahmatullah anakanda tersayang beliau, Engku Nadhierah pada hari raya yang keempat baru-bari ini. Engku Nadhierah, pelajar 4 Al Razi merupakan seorang pelajar yang tekun, rajin, patuh kepada guru-guru dan mesra dengan rakan-rakan. Tentu kehilangan ini, akan terasa kekosongan kepada keluarga, guru dan rakan-rakan beliau. Semoga Allah SWT merahmati Allahyarhamah.

             Kini, sekolah sudah bermula semula selepas bercuti selama seminggu. Banyak perkara yang kita perlu selesaikan. Peperiksaan percubaan SPM dan PMR sudah selesai. Jadi, kertas-kertas jawapan pelajar tu, kena periksa betul-betul. Peperiksaan PMR pula akan bermula 7 Oktober ini. Diharapkan semoga pelajar SMKPNZ akan mencapai kejayaan yang cemerlang nanti.