14 Mac 2010

CUTI SEKOLAH

Cuti sekolah pertengahan penggal satu sudah bermula dan akan berakhir pada 20 Mac nanti. Namun, setakat ni tak boleh ke mana-mana lagi. Maklumlah, anak-anak, isteri dan diri sendiri ada kelas tambahan yang perlu ditunaikan. Tambahan lagi banyak kenduri kendara di rumah sahabat handai. Ada yang naik rumah baru, ada yang menyambut Maulidur Rasul dan kesyukuran. Ada yang baru kahwin setelah sekian lama menduda : tahniahlah kepada sahabatku Khairil kerana sudi menjemput aku bagi meraikan perkahwinannya kali kedua. Bukan apa, jodoh pertemuan adalah hak Allah Taala ke atas makhlukNya. Kita hanya mampu membuat perancangan namun Allah jua yang menentukannya.

Buat Cikgu Maria Suzanna, sabarlah menanti 15 Mac yang akan menapak tiba tidak lama lagi. Penantian satu penderaan. Aku doakan semoga Allah memberkati kehidupannya bersama kekasih hati, Azrimi. Semoga murah rezeki, zuriat yang ramai dan kekal bahagia sentiasa. Izinkan aku memetik sekeping potret yang 'diculik' dari fb Maria untuk dihiasi di laman ini.

Hendak bercuti ke mana? Entahlah. Kekadang, yang dirancang tu tak selalu menjadi. Mungkin bercuti di Pantai Bukit Keluang je...bakar-bakar ayam.



12 Mac 2010

KHUTBAH

Hari ini khutbah mengajak sidang Jumaat yang dirahmati Allah Taala menghayati peranan suami dalam sesebuah perkahwinan. Memandang Masjid Nasiruddin Shah yang dilengkapi dengan khutbah multimedia, memudahkan para hadirin menghayati khutbah yang disampaikan oleh imam. Banyaklah tugas dan peranan yang perlu dimainkan oleh setiap insan yang bernama suami. Peranannya sebagai suami terhadap isteri. Peranannya sebagai ayah kepada anak-anak. Peranannya sebagai ketua dalam sebuah keluarga. Semua itu dhuraikan oleh imam dengan panjang lebar. Peranan yang berat ini terpikul apabila si lelaki selesai ijab dan kabul. Mungkin persoalan ini dibangkitkan dalam khutbah kerana banyak kes-kes penderaan kanak-kanak, wanita dan penceraian yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Sesetengah pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga itu berada dalam keadaan tidak bersedia dari segi kewangan, ilmu keagamaan dan sebagainya. Ini menyebabkan wujudnya masalah sosial dalam institusi keluarga terbabit. Si suami mungkin menganggap tugasnya hanya mencari rezeki semata-mata. Manakala tugas mendidik dan membesarkan anak-anak merupakan kerja si isteri. Lebih mendukacitakan, mereka tidak mengambil cakna tentang pendidikan dan keagamaan kepada anak-anak. Ayah asyik memberi 'kuliah politik'di kedai kopi. Atau selalu berulang alik 'naik aji' di wakaf-wakaf. Yang menjadi mangsa ialah anak-anak. Terbiar tanpa didikan yang sempurna. Membesar mengikut budaya masyarakat di sekeliling. Tidak pernah bersolat walaupun sudah memasuki sekolah menengah. Satu peristiwa yang aku tidak lupakan. Di sekolahku, semua murid diwajibkan solat zohor berjemaah di dewan besar pada hari Selasa sebelum aktiviti kokurikulum. Kebetulan, ada seorang murid tingkatan satu bersolat di hadapanku. Aku merasa pelik apabila melihat kelakuan murid tadi semasa bersolat. Dia seolah-olah tidak pandai dan tidak pernah bersolat. Ketika solat, dia asyik memerhatikan murid lain dan melakukan perbuatan dalam solat secara ikut-ikutan. Selesai solat, aku bertanya kepada murid tersebut adakah dia pernah bersolat di rumah. Jawapannya, tidak pernah. Aku bertanya lagi, adakah ibu bapanya tak marah kalau tak bersolat. Dia mengeleng-gelengkan kepala sahaja. Aku terdiam. Jika inilah didikannya maka warisnya ini akan melakukan jejak langkah yang sama kemudian hari.

Aku bermuhasabah ke dalam diri. Khutbah tadi memberi peringatan dan nasihat agar aku dan para suami yang lain mesti menjalankan amanah yang dipertanggngjawabkan selari dengan tuntutan agama.

11 Mac 2010

SPM 2009

            11 Mac. Debaran yang terhimpun terlerai sudah. Pelbagai reaksi. Pelbagai ragam. Pelbagai perangai. Semuanya tergambar pagi tadi. Kegembiraan. Kekecewaan. Kekesalan. Kemurungan. Kesedihan. Semuanya bercampur baur. Ada yang menangis kegembiraan. Ada yang menangis kekecewaan. Ada yang melonjak-lonjak keriangan. Ada yang tertunduk dihimpit kemurungan. Ada ibu bapa yang tersenyum di sisi anak tersayang. Ada juga yang terdiam memikirkan keputusan anak yang gagal di tangan. Guru-guru pula sibuk mengira-gira keputusan sama ada meningkat atau menjunam. Berapa ramaikah yang mendapat 'A' dan berapa pula yang mendapat 'Gemilang'. Segala perjuangan selama 5 tahun di sekolah menengah ternoktah sudah. Mereka sekarang memikirkan tentang haluan kerjaya masing-masing. Doktor? Jurutera? PTD? Guru? atau apa-apa kerjaya yang sesuai dengan diri sendiri. Mereka sedang memasang impian untuk memilih ke menara gading tertentu untuk merealisasikan cita-cita yang terpendam.
           Aku hanya tumpang kegembiraan dengan kejayaan anak-anak rakan. Tahniah kepada Cikgu Fauzi, Cikgu Zamnuri, Cikgu Ismail SMK Pelagat kerana anak-anak mereka berjaya mendapat pencapaian yang baik dalam SPM yang diumumkan pada pagi tadi. Tahniah juga buat Cikgu Tuan Mohamad Yusof, Pengetua SMK Tengku Mahmud ( mantan Pengetua sekolahku dulu ). Dengar khabar sekolah ini berjaya mendapat keputusan yang cemerlang di peringkat negeri Terengganu. 2 pelajarnya memperolehi semua A+ dalam semua subjek.Tahniah...satu kejayaan yang membanggakan semua..diri, keluarga, guru-guru dan masyarakat.
           Bagaimana keputusan sekolahku? Pelajar terbaik, Saudari Khairunissa Syafika hanya mendapat 7A sahaja.Yang mendapat semua 'G' pun ada. Hebatnya, walaupun mereka gagal namun mereka masih boleh bergembira dengan keputusan tersebut. Saling banding-membanding dengan rakan-rakan yang lain siapa yang lebih banyak 'G'. Apatah lagi, mereka datang ke sekolah dengan 'fesyen-fesyen terkini': rantai di leher, rambut diwarnakan dan pelbagai kerenah lagi. Tambahan pula, mereka terpaka melunaskan dahulu hutang piutang kepada pihak sekolah sebelum result dapat diambil. Kekadang, aku rasa kita sebagai guru sudah gagal dalam membentuk akal budi dan sahsiah diri golongan yang syok sendiri ini. Tapi nak buat macam mana, mereka sudah menjadi buluh. Susah nak dibentuk. Silap-silap luka tangan sendiri. Jadi, biarkan sahaja Si Luncai terjun dengan labunya.

07 Mac 2010

KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2009 akan diumumkan pada 11 Mac ini. Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dalam kenyataan semalam, berkata calon yang menduduki kedua-dua peperiksaan itu boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing bermula jam 10 pagi hari berkenaan.

Penantian satu penyeksaan. Debaran yang yang mengigit degup jantung murid-murid, ibu bapa dan guru-guru semenjak bulan Disember 2009 akan ternoktah sedetik masa lagi. Dalam minggu ini, mungkin kadar denyutan nadi semakin laju. Nafaspun semakin semput. Makan minum kurang selera. Tidurpun jarang-jarang lena. Sekejap-kejap terjaga ,sekejap-kejap buka mata. Masing-masing buka 'kalkulator', buat 'kira-kira'.
 
Kalau aku dapat straight 'A', emak ayah nak bagi apa? Universiti mana pula yang aku nak mohon? Kursus apa pula? Jadi cikgu aku kurang minat..tidak glamour. Jurutera..hebat tapi aku tak layak.
Kalau aku gagal..bagaimana pula? Tentu emak ayah marah sungguh. Malu kat cikgu. Tapi kolej swasta banyak..cuma belanjanya yang besar.
 
Macam manalah anak aku? Result percubaan gagal belaka. Markah merah menyala. Tidak larat nak suruh ngaji..dia buat tak reti. Anak aku..anak Mamat macam mana pula? Dengar kata, cikgu puji sokmo. Malas aku pikir..ikut dia lah nak jadi apa.
 
Tahun lepas, peratus subjek aku naik sikit. Tahun ni belum tahu lagi. Tengok kepada result percubaan, berat sikit. Nak jawab lagu mana kalau result jatuh. Mesyuarat JKS tak lama doh..berat weh.
 
Apa-apapun, kepada Allah SWT jua kita sandarkan harapan. Terimalah keputusan yang telah ditakdirkan selepas kita berjuang siang malam. 11 Mac..ramalan dan sasaran menjadi kenyataan atau hilang dibawa debu berterbangan.

03 Mac 2010

KUALA LUMPUR: Guru akan diwajibkan bertugas di pedalaman dan luar bandar antara tiga hingga lima tahun dalam tempoh perkhidmatan sebagai salah satu langkah mengatasi kekurangan tenaga pengajar di kawasan itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementerian Pelajaran juga akan mewajibkan guru baru mengajar di pedalaman, sekali gus mengelakkan sistem pendidikan negara berada dalam kepincangan berikutan keengganan guru bertugas di kawasan berkenaan. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, sebagai penggalak, mereka akan diberikan ganjaran yang diharap dapat mengatasi masalah kekurangan guru di luar bandar dan pedalaman yang sedang dialami sektor pendidikan ketika ini.

Inilah berita utama dalam akhbar Berita Harian hari ini. Memang wajar pihak kementerian mengambil langkah segera bagi menangani masalah kekurangan guru di kawasan luar bandar dan pedalaman.Jika pihak guru tidak sudi untuk bertugas di luar bandar, siapakah pula yang akan mendidik mereka ? Tentu sekali guru-gurulah yang mesti memainkan peranan memberi didikan kepada anak-anak yang jauh di pedalaman. Guru-guru baru seharusnya bersedia untuk menyahut cabaran ini.Mereka tidak wajar menyenaraikan 1001 alasan bagi mengelakkan diri daripada bertugas di kawasan pedalaman. Membaca kisah perjalanan ke SK Saliliran, Sabah oleh Suzianah Jiffar yang mengikuti konvoi Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkasi, membenih rasa gembira dan kagum dengan kesanggupan para guru yang sanggup bertugas di sekolah terbabit. Berapa ramaikah para guru yang berani menghadapi cabaran, dugaan dan kehidupan seperti itu. Berada di tempat yang tiada kemudahan dan kelengkapan menuntut kita meningkatkan rasa kesabaran dan keihklasan. Biarpun ada ganjaran yang diberikan atas kesanggupan mereka ini namun ia bukan faktor utama untuk 'mengheret' guru-guru ke sekolah itu. Semangat ingin berbakti, kepatuhan dan rasa bertanggungjawab merupakan pendorong untuk 'menjejak kaki' dan menabur budi  di sekolah ini. Ini warna warni perjalanan hidup seorang yang bernama 'guru'. Pengalaman yang dikutip para guru ini tidak dapat dirasai dan dipelajari semasa berada di institut perguruan ataupun universiti. Rasa kagum juga dengan Dr. Mohd Puad dan isteri yang sanggup merasai sendiri cabaran guru-guru untuk sampai ke sekolah tersebut. Mohd Puad mempunyai pilihan untuk menaiki helikopter ke SK Saliliran tanpa perlu mengeluarkan setitik peluh, namun seperti katanya:" Jika guru boleh mengharungi semua itu, mengapa tidak Timbalan Menteri?"

28 Februari 2010

PILIHAN RAYA SEKOLAH DILARANG

KUALA LUMPUR: Pengetua dan Guru Besar sekolah di seluruh negara dilarang mengadakan pilihan raya murid memilih wakil pelajar kerana pendekatan baru yang dipraktikkan beberapa sekolah itu tidak memadai berikutan faktor usia mereka yang terlalu mentah. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata arahan itu dikeluarkan Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu melalui surat pekeliling yang sudah diedarkan ke semua sekolah. Katanya, keputusan itu dibuat kerana kementerian mendapati usia murid terutama di sekolah rendah masih terlalu muda untuk berdepan sistem pilihan raya pemilihan wakil pelajar yang tidak begitu sesuai dilaksanakan. "Tak payahlah, kalau pada peringkat IPT (Institut Pengajian Tinggi) bolehlah, mereka sudah matang. Di sekolah, sebaliknya keadaan masih terlalu awal. "Timbalan Perdana Menteri sudah bagi arahan supaya jangan terbawa-bawa budaya pemilihan di dalam sekolah. Tak perlu bagi mereka pilih ketua murid, biarlah sekolah dan pengetua tentukan siapa yang layak," katanya kepada media sema-lam. Sebelum itu, beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda MCA merasmikan Program Jom Jelajah Dunia di World Expo 2010, Shanghai, China anjuran Pergerakan Pemuda MCA di KL Sentral. Beliau diminta mengulas mengenai kecenderungan beberapa sekolah menjadikan pemilihan wakil sekolah diadakan secara pengundian sama seperti pilihan raya dan menjadikannya sebagai amalan baru dalam sistem persekolahan. Antara sekolah yang sudah melaksanakan pilihan raya murid ialah Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1 (SKTTDI1) pada 11 Januari lalu apabila pemilihan ketua muridnya dikendali dan dipantau sepenuhnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wilayah Persekutuan. Pemilihan itu menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan murid Tahun Enam, meriah dengan semua calon serta penyokong masing-masing berkempen pada saat akhir bagi meraih undi sebelum pengundian bermula jam 11 pagi dan berakhir 1 tengah hari. Khairul Azli Khairul Razi diumumkan pemenang dengan memperoleh 365 undi, mengalahkan pencabar terdekatnya, Alia Suraya Ahmad yang mendapat 281 undi, sekali gus dilantik penolong ketua murid. Mengulas lanjut, Dr Wee sendiri baru saja menerima pekeliling baru itu beberapa hari lalu dan cukup yakin semua pengetua dan guru besar akan mematuhi arahan kementerian demi masa depan murid.

Wajarlah larangan ini dibuat. Pertandingan ini ada baik dan buruknya. Baiknya, mungkin kita boleh memilih calon yang berkebolehan dan bersesuaian untuk memegang tampuk atau jawatan tersebut. Kita boleh mencungkil keberanian dan kepetahan untuk berucap di hadapan khalayak.Tetapi,ada juga keburukannya. Kita bimbang selepas 'pilihan raya sekolah' selesai, muncul puak-puak dalam kalangan murid-murid. Ada team A. Ada team B. Ada puak aku dan ada puak engkau. Kalau sebelum ini mereka bersama-sama berganding bahu untuk menjayakan program sekolah namum kerana kalah dalam 'pilihan raya', mungkin mereka hanya suka menjadi pemerhati sahaja dan lebih gembira untuk melihat kegagalan 'musuh' mereka melaksanakan program tersebut.Inilah yang kita takuti meresap ke dalam jiwa anak-anak murid kita. Apabila  pilihan raya ini  menjadi satu budaya sekolah, mungkin ada murid-murid yang bercita-cita untuk memegang jawatan tertentu. Mungkin gejala lobi-melobi akan wujud secara tidak langsung. Lebih parah jikalau ada murid-murid yang menggunakan ringgit dan sen untuk memancing undi. Sangat sesuai larangan ini dikuatkuasakan. Mungkin tujuan pihak pengurusan sekolah yang telah melaksanakan perkara ini  melihat dari sudut yang baik.

Yang baik dijadikan teladan, yang tidak baik itu sama-samalah kita jadikan sempadan. Di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung. Jikalau pihak atasan sudah mengeluarkan arahan, sama-samalah kita mematuhinya.

27 Februari 2010

MENGAPA PERKARA INI HARUS BERLAKU?

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati dengan kesan luka pada muka dan perut, dipercayai didera oleh teman lelaki ibunya di kediaman mereka, di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, dekat Batang Kali, malam kelmarin. Syafia Humairah Sahari dipercayai ditampar dan disepak di perutnya beberapa kali sehingga mengalami kecederaan parah pada tubuh selain luka muka, dagu, telinga serta lebam kaki dan tangan. Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bahru (HKKB) ketika dibawa oleh teman lelaki ibunya dan ditinggalkan di wad kecemasan selepas mendakwa kanak-kanak itu mati akibat kemalangan jalan raya. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Affandi Yahya, berkata lelaki berusia 28 tahun bersama rakannya melarikan diri sejurus jururawat bertanya maklumat terperinci mengenai kanak-kanak berkenaan.
JENAZAH Syafia Humairah dibawa untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 17 Kuang, Kuala Kubu Bharu, semalam.

Itu sedutan sebahagian berita akhbar harian hari ini. Perasaan sedih, marah, benci dan geram makin bercampur baur apabila mendengar berita di TV pada malamnya. Mengapa anak kecil yang comel ini menjadi mangsa keganasan? Mengapa perkara ini mesti terjadi? Barangkali manusia sudah hilang kemanusiaannya. Barangkali manusia sudah tiada perasaan kasih sayangnya. Barangkali manusia sudah kekeringan akal kewarasannya. ..barangkali????

Harta yang paling tinggi nilainya bagi setiap insan di dunia ini adalah anak. Anak juga menjadi lambang kebanggaan masyarakat. Setiap ibu bapa pasti akan sanggup berkorban apa sahaja untuk kebahagiaan anak-anak mereka. Apabila kita mendengar khabar penderaan kanak-kanak, pasti jiwa kita akan terasa sedihnya. Seorang anak yang sepatutnya dibesarkan dengan limpahan kasih sayang dan didikan daripada orang tua mereka. Bukan tendangan, sepakan dan tumbukan daripada 'lelaki perkasa' sebagai 'hidangan' dan 'makanan' anak kecil  yang lemah segala-gala.

Wahai anakku belahan jiwaku,
bisikan sukma seorang ibu,
Mendengar jeritan suara lahirmu,
Hilang derita bahagia terharu.

Duhai anak cahaya mataku,
Buah hati pelunak jiwaku,
Betapa nian kasih ibumu,
Hanya Allah Yang Maha Tahu.

Oh anak juitaku sayang,
Kasih ibu tiada bandingan,
Sayang ayah bertindih bayang,
Setinggi langit seluas lautan.

Ketahuilah anak dewi tercinta,
Harapan tinggi ayah dan bonda,
Hidupmu biar memberi guna,
Nikmat Allah sejahtera bahagia.