Tsunami atau ombak besar telah melanda negara Jepun. Sesungguhnya Maha Besar KuasaMu Ya Allah...hanya sedikit gegaran telah menghasilkan ombak yang amat besar....merempuh musnah segala ....tidak termampu manusia untuk menghalangnya.
12 Mac 2011
02 Mac 2011
HOSPITAL
Pagi selasa 1 Mac 2011 jam 6.40 pagi, aku bertolak ke HUSM kerana ada temujanji dengan doktor Toran Singh berkaitan dengan masalah kuku kaki kiriku. Aku ke sana bersama isteri tersayang. Sampai di sana jam menunjukkan 7.45 pagi. Aku bergegas ke wad kecemasan. Aku mendaftar di kaunter pendaftaran dan seorang petugas meminta aku ke bilik ‘Minor OT’ sambil menunjukkan arah ke belakang. Sampai ke bilik berkenaan, seorang jururawat yang menerima dokumen meminta aku duduk di kerusi yang disediakan sehingga namaku dipanggil. Lebih kurang lebih belas minit, jururawat tersebut memanggilku. Aku ke sana dan beliau meminta aku menukar pakaian sebagai persediaan memasuki dewan pembedahan. Itulah pertama kali aku memakai pakaian sedemikian.
Perasaanku semakin berdebar-debar. Aku akui diriku seorang yang penakut dengan hospital. Aku masih ingat ketika anak kedua aku berkhatan beberapa tahun dahulu, aku masuk hanya menggosok-gosok kepalanya sahaja. Aku tidak berani melihat bagaimana proses berkhatan itu dilakukan.
Beberapa ketika, doktor yang membuat temujanji dengan aku telah tiba. Ia mengisi borang persetujuan untuk pembedahan dan meminta aku menandatanganinya. Selepas selesai urusan itu, aku diminta ke bilik pembedahan dan berbaring di atas sebuah katil.
“Ya Allah. Tabahkan hatiku Ya Allah. Aku memohon Kau permudahan urusan ini dan berikan keselamatan buatku Ya Allah” hatiku berdoa. Seorang jururawat menyelimuti tubuhku dengan kain tebal. Dia telah meletakkan satu alat bagi menghalang aku melihat proses pembedahan kecil itu dilakukan. “ Takut cikgu berdebar” katanya bergurau. Ya, sememangnya aku berdebar-debar. Kalau boleh inginku menyuruh isteriku turut berada di sisi ketika itu. Menggosok-gosok kepalaku seperti aku melakukannya kepada anakku. Tapi permintaan seperti itu adalah mustahil. Pihak hospital mempunyai prosedur yang tersendiri dan ketat yang perlu dipatuhi.
Aku tahu dia lebih berani daripadaku. Ya, isteriku sudah empat kali melahirkan anak di hospital ini. Ketika ingin melahirkan anak sulung, Abdul Mukmin, isteriku terpaksa dibedah. Sebagai suami yang pertama kali menghadapi peristiwa seperti ini membuatkan aku menjadi resah gelisah. Setelah berjaya melahirkan bayi sulung pada jam 6.04 petang, aku dimaklumkan anakku terpaksa dipisahkan daripada ibunya kerana ada masalah paru-paru. Anakku hampir ‘lemas’ semasa dalam kandungan. Semua anak-anakku dilahirkan di hospital ini.
“Cikgu, saya nak cucuk sikit. Kalau cikgu sakit, beritahu ya” doktor Toran memberitahuku ketika beliau ingin membius kakiku. Seketika, aku merasa kaki kiriku disuntik. Selepas itu, doktor Toran bersama seorang doktor wanita telah melakukan pembedahan bagi membuang sebahagian kuku kakiku yang mencengkam isi. Aku tidak merasa sakit sepanjang pembedahan itu kerana telah dibius tetapi berdebar-debar. Rasa gundah mencengkam hati. Mujur juga ada seorang jururawat yang ramah dan berbual-bual denganku sepanjang pembedahan itu. Keramahan membuang sedikit resahku.
“Ok, cikgu. Sudah selesai” doktor Toran memaklumkan kepada aku setelah 40 minit pembedahan itu dilakukan. Aku mengucap syukur kepada Allah Taala.
07 Februari 2011
Bila senja menyapa
bila senja menyapa
tahulah
pantai ini pasti akan sunyi
tanpa tawa hilai
tanpa usikan mesra.
bila senja menyapa
tahulah
aku pasti mengharungi gelap malam
berteman kerdipan bintang
dan samar bulan.
bila senja menyapa
tahulah
sabar aku menanti sinar siang
untuk menapak perjalanan yang masih panjang
Pemergianmu....
![]() |
| Mohd Arman bin Mohamad ( 1971 -2011) Guru Kanan Sains Matematik SMK Permaisuri Nur Zahirah, Besut, Terengganu. |
Al-Fatihah.
Allah Taala lebih menyayangimu. Biarpun kehilanganmu pasti terasa oleh anak-anak dan isterimu, saudara maramu, rakan taulanmu; namun itulah hakikat kehidupan. Yang pasti kita tidak kekal abadi di dunia ini. Tarikh 4 Februari 2011, Jumaat jam 3.00 pagi, kau meninggalkan alam fana ini menyahut seruan Ilahi. Tak mungkin siapa dapat menghalangnya biarpun sesaat jua. Terlalu pantas masa berlari. Kemarin kita masih bersama dan hari ini, kau menapak pergi.
29 Disember 2010
2011
Sudah ke penghujung rupanya 2010. Sesi 2011 akan hadir beberapa hari sahaja lagi. Ibu bapa mulai sibuk dengan kelengkapan persekolahan anak-anak. Ibu bapa mula membuat perkiraan agaknya. Yuran persekolahan anak-anak? baju seluar ? beg sekolah ? buku-buku dan peralatan tulis baca? Seorang anak perlu peruntukan RM 200.00. Anak dengan bini tua tujuh orang. Anak dengan isteri kedua, empat orang. Manakala anak dengan isteri yang paling muda......sedang mengandung. 11 orang x RM 200.00 = RM 2200.00. Banyak tu yang perlu disediakan. Bagaimana nak atasi masalah ni ? Berhutang dengan jiran-jiran atau saudara mara? Tangguh dulu bayaran? Jumpa dengan wakil rakyat? Pinjaman dengan ahlong? Jawapannya...itu semua TANGGUNGJAWAB para ibu bapa. Mereka tidak perlu menyusahkan pihak lain kerana masalah diri sendiri. Menyusahkan pihak sekolah kerana anak-anak mereka tidak membayar yuran sedangkan anak orang lain yang senasib seperti mereka sentiasa berusaha untuk melunaskannya. Mereka tidak perlu menyalahkan pihak sekolah dengan memberi alasan yuran terlalu tinggi. Mereka tidak perlu menyalahkan kerajaan kerana harga barangan keperluan persekolahan tinggi. Saya sering berjumpa dengan ibu bapa yang bersikap begini setiap sesi persekolahan awal tahun bermula. Sentiasa memberi alasan ketiadaan wang untuk membayar yuran. Tambahan anak-anak yang bersekolah agak ramai. Tetapi mereka tidak memberi alasan ketiadaan wang untuk melunaskan bil televisyen berbayar, membeli sekotak rokok setiap hari untuk menghitamkan paru-paru diri sendiri, menambah kredit telefon anak untuk berSMS yang tiada faedahnya dan sebagainya. Maaf, mereka hanya pandai 'membuat anak dan beranak' tetapi tidak pandai untuk 'membentuk anak-anak'.
18 Ogos 2010
SEDIH
![]() |
| Anggota polis mengangkat Najihah Natri yang cedera di bahagian badan selain putus dua jari tangan setelah ditetak bapanya |
11 Ogos 2010
RAMADHAN
Fadilat ramadhan - dipetik dari darulnuman.com
Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."
Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."
Hadith 1
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa". Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."
Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."
Hadith 2
Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini." Hadith 3
Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima." Hadith 4
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti." Hadith 5
Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur." Hadith 6
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."
06 Ogos 2010
CUTI-CUTI MALAYSIA
Cuti sekolah baru-baru ini, aku sempat membawa keluarga menjejak kaki ke Pulau Langkawi. Aku menaiki feri melalui jeti Kuala Kedah. Tambangnya lebih mahal berbanding di Kuala Perlis. Malahan masa perjalanan juga lebih lama, hampir satu setengah jam. Sudah lama benar aku tidak ke sana. namun tidak banyak perubahan. Masih seperti dulu. Seperti biasa, jika ke Langkawi, tempat yang sering dikunjungi ramai tentulah kedai yang menjual pinggan mangkuk, coklat, sudu garpu, beg dan sebagainya. Masing-masing sudah bersiap sedia; mental dan fizikal untuk membeli barangan. Sudah ada senarai agaknya. Mungkin juga pesanan orang kampung, saudara mara dan sahabat handai. Kereta dan van penuh dengan barang-barang. Tapi aku hanya jadi pemerhati aje. Dua hari di Langkawi, aku ke Ipoh. Bermalam di rumah birasku, di Kem Polis Hulu Kinta. Sempat jugalah bawa keluarga ke Lost World of Tambun. Anak-anak sungguh seronok.
15 Mei 2010
GURU
Hamka pernah berkata " kalau ada di dunia ini suatu pengorbanan dan kejujuran serta kelapangan hati, satu di antaranya adalah pekerjaan guru".
selamat harimu, guru.
terima kasih kerana sabar menitis ilmu
terima kasih kerana tabah mendidikku
terima kasih kerana memarahi kenakalanku
terima kasih kerana merotan kedegilanku
terima kasih, guruku.
14 Mei 2010
TEKNIK BERCERITA
Aku menghadiri Bengkel Teknik Bercerita di Ipoh, Perak selama 3 hari. Aku bersama dengan Cikgu Addenan, Cikgu Rusdi dan Cikgu Nasaruddin bertolak pada hari Selasa, 11 Mei 2010. Selepas menempuh perjalanan selama 6 jam, kami selamat sampai ke Hotel Seri Malaysia Ipoh jam 2.00 petang. Pada malamnya, kami diberi pendedahan tentang teknik bercerita menggunakan apron dan anak patung. Seorang penceramah berbangsa Jepun, Puan Sakae Sasamori telah menunjuk ajar bagaimana teknik ini digunakan. Oleh kerana loghatnya Melayu Jepun, maka penyampaiannya melucukan. Tambahan pula, gaya dan sikapnya yang bersahaja, lucu dan mudah tersenyum menjadikan kami mudah mesra dengan beliau.
| Bersama Pn. Sakae Sasamori dan Cikgu Ishak Haron |
Hari kedua.
Kami didedahkan pula teknik bercerita menggunakan buku cerita oleh Puan Filzah Ibrahim, pegawai dari Dewan Bahasa dan Pustaka. Rupanya, untuk menjadikan cerita kita lebih menarik, kita mesti pandai menggunakan mimik muka, nada suara, gaya dan kelancaran bahasa serta ingatan yang kuat. Mungkin, teknik ini aku boleh gunakan untuk bercerita kepada anak kecilku, Nurul Iman.
Selain itu, para peserta juga didedahkan dengan teknik bercerita menggnakan papan panel, piring kertas dan cawan kertas. Seronok juga kursus begini. Semuanya lebih kepada praktikal sahaja.
| Kumpulanku... |
Hari Ketiga.
Setiap kumpulan mesti membuat persembahan. Pelbagai gaya, cerita dan bentuk persembahan dibuat oleh setiap kumpulan. Menghiburkan. Melucukan. Aku kagum juga dengan guru-guru wanita. Mereka ni pandai berlakon dan melagukan puisi rakyat secara spontan. Aku rasa aku tidak mampu hendak buat begitu...segan.
09 Mei 2010
IBU
Ibu, emak, mama, ma, umi, bonda dan mummy merupakan panggilan seorang anak kepada ibu mereka. Pada hari ini, masyarakat menyambut hari yang dikhususkan kepada wanita yang mempunyai anak. Hari Ibu disambut pada hari berbeza antara negara dalam dunia ini. Bagi Malaysia, Hari Ibu disambut secara tidak rasmi pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei. Hari Ibu ialah hari pengiktirafan kepada kaum ibu. Sekarang, masyarakat mudah melupai ibu sendiri. Malahan ada yang sanggup membunuh ibu mereka sendiri. Berita-berita sebegini sudah tidak asing lagi dalam masyarakat kita. Faktornya, gejala dadah dan pil kuda, tiada didikan agama, terlalu mengejar kehidupan dunia dan pelbagai faktor lain.
Ibu, seorang insan yang cukup istimewa. Setitik air susu ibu yang mengalir resap ke dalam tubuh kita tidak terbayar dengan emas permata.Janganlah kita mudah memberi alasan sibuk dengan kerja, rumahtangga, anak-anak dan suami dan aktiviti lainnya sehingga tidak mampu untuk mengunjungi dan menziarahi ibu sendiri. Kita mesti sedar, peranan dan jasa ibu bukan calang-calang tahapnya. Ibulah insan yang bertarung nyawa semasa mengandung dan melahirkan anak-anaknya ke dunia.Ketika kita masih kecil, ibulah yang menyuapkan makanan, menyusukan kita, mendodoikan tidur, mengajar bertatih dan sebagainya.Apabila anak-anak sedang membesar dan meningkat dewasa, ibu tidak putus-putus melaksanakan peranannya menjadi pendidik, menjadi tempat anak-anak bermanja dan mengadu nasib, menjadi penghibur dan pengubat rasa sedih dan nestapa.Untuk itu sebagai anak-anak, kita bertanggungjawab meraikan dan memuliakan ibu sepanjang hayat.
Allah SWT menegaskan dalam Surah al-Israa’, ayat 23 maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”.
Bayangkan, untuk anak-anak berkata “Ha” pun ditegah oleh Allah SWT untuk dilakukan kepada ibu, apatah lagi jika kita bersikap kasar, membentak atau ke tahap memukul mereka. Kita harus ingat keredaan Allah SWT itu terletak kepada keredaan ibu. Murkanya ibu bermaksud, murka jualah Allah SWT terhadap kita.Nabi Muhammad SAW juga telah memberi banyak isyarat yang jelas akan tingginya martabat seorang ibu dalam kehidupan kita. Dikatakan pada suatu hari datang seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan lelaki itu berkata: “Saya ingin melaksanakan Jihad dan ikut pergi berperang di jalan Allah, tetapi ibu tidak sepenuh hati melepaskan saya untuk berbuat demikian.” Rasulullah SAW kemudian menjawab, “Pulanglah kamu dan beradalah di sisi ibumu. Aku bersumpah dengan nama Tuhan yang mengutusku untuk menyampaikan kebenaran, bahawa untuk berada di sisi ibu bagi satu malam (dan melayan serta berbuat baik kepadanya) adalah lebih baik daripada mengikut berperang dan berjihad di jalan Allah selama setahun”.Begitu juga cerita di mana seorang lelaki telah bertemu dengan Rasulullah SAW di mana lelaki itu menyoal, “Siapakah orangnya dalam dunia ini yang perlu saya hormati dan hargai?’ Lalu Rasulullah SAW menjawab “Ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi sebanyak dua kali “Siapakah selepas ibu?” dan jawapan Rasulullah SAW tetap “Ibumu”. Akhirnya bila ditanya lagi ‘Siapakah selepas ibu?’ barulah Rasulullah SAW menjawab “Bapamu”. Jelas bahawa mesej Rasulullah SAW ini menganjurkan agar seorang ibu yang kaya dengan sifat lemah lembut dan kasih sayangnya itu perlu diberikan penghargaan yang lebih tinggi berbanding insan-insan lain di dunia ini.
Sempena Hari Ibu yang disambut pada hari ini, sewajarnya kita merenung kembali peranan kita terhadap ibu kita. Walaupun seorang ibu tidak pernah mengharapkan sebarang balasan harta dan wang ringgit daripada seorang anak atas pengorbanannya selama ini, tetapi kita sebagai anak mesti menghitung hisab tentang hal ini. Hari Ibu bukan bermakna hari ini sahaja kita mengingati ibu kita . Ini hanyalah simbol untuk kita menyorot kembali jasa budi kasih suci seorang ibu kepada setiap manusia. Kita mesti membalas jasa-jasa mereka walau tidak dipinta. Buatlah apa sahaja yang boleh menggembirakan mereka. Seorang ibu pasti gembira jika seorang anaknya menjadi anak yang baik, taat kepada mereka, tidak melakukan sebarang perbuatan yang mencela agama dan mendoakan kesejahteraan diri mereka. Jika ibu sakit, kita mesti menjaga dan merawatnya. Kita mesti mendoakan kesejahteraan kepada ibu kita sama ada mereka masih hidup atau sudah meninggal dunia.
Kepada semua wanita yang bergelar ibu - Selamat Hari Ibu.
Ibu, seorang insan yang cukup istimewa. Setitik air susu ibu yang mengalir resap ke dalam tubuh kita tidak terbayar dengan emas permata.Janganlah kita mudah memberi alasan sibuk dengan kerja, rumahtangga, anak-anak dan suami dan aktiviti lainnya sehingga tidak mampu untuk mengunjungi dan menziarahi ibu sendiri. Kita mesti sedar, peranan dan jasa ibu bukan calang-calang tahapnya. Ibulah insan yang bertarung nyawa semasa mengandung dan melahirkan anak-anaknya ke dunia.Ketika kita masih kecil, ibulah yang menyuapkan makanan, menyusukan kita, mendodoikan tidur, mengajar bertatih dan sebagainya.Apabila anak-anak sedang membesar dan meningkat dewasa, ibu tidak putus-putus melaksanakan peranannya menjadi pendidik, menjadi tempat anak-anak bermanja dan mengadu nasib, menjadi penghibur dan pengubat rasa sedih dan nestapa.Untuk itu sebagai anak-anak, kita bertanggungjawab meraikan dan memuliakan ibu sepanjang hayat.
Allah SWT menegaskan dalam Surah al-Israa’, ayat 23 maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”.
Bayangkan, untuk anak-anak berkata “Ha” pun ditegah oleh Allah SWT untuk dilakukan kepada ibu, apatah lagi jika kita bersikap kasar, membentak atau ke tahap memukul mereka. Kita harus ingat keredaan Allah SWT itu terletak kepada keredaan ibu. Murkanya ibu bermaksud, murka jualah Allah SWT terhadap kita.Nabi Muhammad SAW juga telah memberi banyak isyarat yang jelas akan tingginya martabat seorang ibu dalam kehidupan kita. Dikatakan pada suatu hari datang seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan lelaki itu berkata: “Saya ingin melaksanakan Jihad dan ikut pergi berperang di jalan Allah, tetapi ibu tidak sepenuh hati melepaskan saya untuk berbuat demikian.” Rasulullah SAW kemudian menjawab, “Pulanglah kamu dan beradalah di sisi ibumu. Aku bersumpah dengan nama Tuhan yang mengutusku untuk menyampaikan kebenaran, bahawa untuk berada di sisi ibu bagi satu malam (dan melayan serta berbuat baik kepadanya) adalah lebih baik daripada mengikut berperang dan berjihad di jalan Allah selama setahun”.Begitu juga cerita di mana seorang lelaki telah bertemu dengan Rasulullah SAW di mana lelaki itu menyoal, “Siapakah orangnya dalam dunia ini yang perlu saya hormati dan hargai?’ Lalu Rasulullah SAW menjawab “Ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi sebanyak dua kali “Siapakah selepas ibu?” dan jawapan Rasulullah SAW tetap “Ibumu”. Akhirnya bila ditanya lagi ‘Siapakah selepas ibu?’ barulah Rasulullah SAW menjawab “Bapamu”. Jelas bahawa mesej Rasulullah SAW ini menganjurkan agar seorang ibu yang kaya dengan sifat lemah lembut dan kasih sayangnya itu perlu diberikan penghargaan yang lebih tinggi berbanding insan-insan lain di dunia ini.
Sempena Hari Ibu yang disambut pada hari ini, sewajarnya kita merenung kembali peranan kita terhadap ibu kita. Walaupun seorang ibu tidak pernah mengharapkan sebarang balasan harta dan wang ringgit daripada seorang anak atas pengorbanannya selama ini, tetapi kita sebagai anak mesti menghitung hisab tentang hal ini. Hari Ibu bukan bermakna hari ini sahaja kita mengingati ibu kita . Ini hanyalah simbol untuk kita menyorot kembali jasa budi kasih suci seorang ibu kepada setiap manusia. Kita mesti membalas jasa-jasa mereka walau tidak dipinta. Buatlah apa sahaja yang boleh menggembirakan mereka. Seorang ibu pasti gembira jika seorang anaknya menjadi anak yang baik, taat kepada mereka, tidak melakukan sebarang perbuatan yang mencela agama dan mendoakan kesejahteraan diri mereka. Jika ibu sakit, kita mesti menjaga dan merawatnya. Kita mesti mendoakan kesejahteraan kepada ibu kita sama ada mereka masih hidup atau sudah meninggal dunia.
Kepada semua wanita yang bergelar ibu - Selamat Hari Ibu.
07 Mei 2010
MAKAN-MAKAN
Hari Jumaat.
Sungguh tenang pagi ini. Sunyi. Sepi. Maklumlah hari cuti am bagi negeri Terengganu. Jadi, orang tidak bekerja. Masing-masing berehat di rumah. Aku telah bercadang untuk menjemput keluarga kakak dan abangku makan tengah hari di rumah aku hari ini.
Selepas menghantar Abdul Muttaqiin dan Nurul Huda ke kelas tambahan, aku bersama putera sulungku, Abdul Mukmin ke Kompleks Perikanan di Kuala Besut. Ramai juga orang di situ. Peraih sibuk membeli ikan daripada pemborong. Sebenarnya, aku jarang datang ke sini walaupun jaraknya tidak jauh dari rumahku. Biasanya aku hanya membeli ikan di pasar. Tetapi apabila dibuat perbandingan , di kompleks ini harganya lebih murah. Contohnya sekilo sotong yang panjang sekaki hanya RM 10 berbanding di pasar yang mencecah RM 14. Jadi, petang itu kami pakat bakar ayam dan sotong. Seronok juga kalau program begini dibuat sekali sekala. Anak-anak seronok dapat bermesra dengan sepupu mereka. Para ibu bersembang pasal tupperware. Para bapa pula dok bersembang pasal politik semasa - mengulas berita akhbar.
06 Mei 2010
HARI
Bulan Mei.
Mengikut kalendar ada 31 hari dalam bulan ini. Bulan ini banyak sungguh hari dalam hari. Ada Hari Pekerja, Hari Ibu, Hari Guru, Hari Wesak dan Hari Jadi Mukmin. Tetapi yang paling aku nanti ialah hari jadi aku sendiri, 17 Mei. Agaknya, apa yang akan dihadiahkan oleh isteri tersayang? Kalau ikut tradisi sebelum ini, tidak ada apa-apa hadiah yang diberikan. Cuma sekuntum senyuman dan ucapan selamat sedar diri. Yalah, umur makin bertambah. Ubanpun semakin banyak dikepala. Sambil senyum sambil sindir sikit-sikit. Tapi tak apa, kita orang lelaki jangan mudah terasa hati bila disindir sedemikian oleh isteri. Bukan apa, itu tanda sayang. Kalau tak sayang, tentu dia biarkan kita hanyut sendirian. Aku cadang nak buat bbq..bakar ayam seekor dua. Seronok juga.
Sebelum itu, aku mesti sambut Hari Guru dulu. Sebagai cikgu, kita kena sambut Hari Guru. Tahun ini, 16 Mei jatuh pada hari Ahad. Hari Selasa lalu, kelab guru yang dikepalai oleh Cikgu Tuan Kob sudah bermesyuarat bagi membincangkan sambutan Hari Guru ni. Tetapi keputusannya macam tahun lepas juga..sukaneka, petanque, badminton, persembahan dan ucapan. Pasti ada ialah nyanyian lagu Guru Malaysia. Cikgu Tuan Kob telah menunjukkan komitmen yang tinggi selaku Pengerusi Kelab Warga PNZ. Mungkin dengan cara ini, harapan dan imipiannya untuk memegang jawatan tersebut tiga tahun lagi menjadi kenyataan. Aku menyokong penuh harapan ini..hehehe.
LAGU GURU MALAYSIA:
Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putera puteri negara kita
Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua
Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta
Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetapkan kami tunaikan
Seronok juga kita sambut hari kita. Polis sambut Hari Polis. Tentera sambut Hari Tentera. Masing-masing ada hari. Mengapa kita menyambut Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun. Tarikh 16 Mei dipilih sebagai HARI GURU kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai LAPORAN RAZAK (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu. Tahun ini tema sambutan Hari Guru : Guru Pembina Negara Bangsa.Tetapi ada juga yang tidak ada hari...Hari Doktor? Hari Kerani?..
Guru Pembina Negara Bangsa..Teras keempat dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 -2010. Memetik kata-kata mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, hasrat untuk membentuk sebuah Negara Bangsa dalam konteks Malaysia ialah "...sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama.". Peranan pendidik dan pendidikan penting untuk melahirkan semangat cintakan negara. Oleh itu, satu cabaran besar yang perlu dipikul semua warga pendidik ke arah melahirkan murid yang bersatu padu, jati diri yang utuh, berpegang kepada nilai agama dan moral, bertolak ansur dan mempunyai keyakinan yang tinggi. Dewasa ini, kita lihat keruntuhan nilai moral dan akhlak remaja semakin membimbangkan. Isu buang dan pembunuhan bayi sentiasa berlaku. Berita rogol, skandal, keganasan dan pelbagai lagi. Saban waktu, gejala negatif ini makin subur dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Hari Ibu...memang patut kita mengingati ibu kita. Bukan hanya pada hari itu sahaja tetapi setiap detik dan ketika. Sembilan bulan sepuluh hari dia membawa kita merata-rata. Tidak pernah dia merungut keletihan. Malahan dia bangga membawa perutnya besar itu ke mana-mana. Apabila kita dilahirkan, dia membelai kita siang dan malam sehingga suami sendiri pun tidak diendahkan. Kita menangis, didodoikannya. Kita lapar, disusukannya. Tetapi apabila ibu kita semakin tua dan kita kian dewasa, mengapa kita lupakannya. Zalim. Tidak berperikamanusiaan. Kasih ibu tidak dapat dibalas dengan segunung harta di dunia. Yang mampu kita membalasnya hanyalah kasih sayang, bakti dan doa kita kepada ibu tercinta.
maafkan diri ini, ibu
jika pernah hati kecilmu terluka
mungkin ku tak sengaja
atau juga ku terlupa.
BOLA BALING
aduh...harapan berkecai. Pasukan bola baling lelaki sekolahku gagal ke suku akhir kerana kalah jaringan gol. Setelah menang dua perlawanan dengan sekolah SMK Tengku Mahmud 2 dan SMK Tembila, aku yakin sekolah akan layak ke perlawanan suku akhir. Namun, kekalahan di tangan SMK Renek menghancur lumat keyakinanku.
Pasukan bola baling perempuan tidak memberi harapan langsung...kalah dalam tiga perlawanan.
Apa-apapun, tahniahlah kepada cikgu Wan Mazlan dan cikgu Iskandar yang berkorban masa dan tenaga melatih pasukan ini. Aku hanyalah 'jurulatih simpanan' aje. Sekali sekala je datang ke padang. Tetapi azamku tahun hadapan ialah kejuaraan..hehehe. Inilah adat permainan. ada kalah, ada menang. yang menang bersorak riang, yang kalah pulang kehampaan.
PAGI
pagi ini
aku mengutip cebis-cebis kenangan
yang kautinggalkan semalam
bertebaran di laman
diterbangkan angin waktu.
sekeping potret
yang lusuh
kutatap
kurenung.
maafkan aku
tak mampu menahan sendu
tika merinduimu
kerna menyayangimu.
02 Mei 2010
AL-FATIHAH
al-fatihah buat Azaruddin Alias.
Baru-baru ini, kudengar khabar sepupu isteriku pengsan apabila di rumahnya setelah menempuh perjalanan jauh dari Kedah ke Kuala Terengganu. Rentetan daripada itu, dia dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Setelah menerima rawatan, doktor mengesahkan dia mengidap penyakit yang berkaitan dengan hati.Tubuhnya kurus. Semakin hari, kudratnya semakin hilang. Hendak bangunpun perlu bantuan orang lain, apatah lagi untuk bergerak ke tandas. Selepas sebulan di HSNZ, dia dirujuk ke Hospital Selayang. Di sana, doktor memaklumkan dia tidak perlu menjalani pembedahan. Keadaannya kritikal. Doktor meminta ahli keluarga membawanya pulang ke rumah untuk berjumpa dengan sanak saudara. Pada hari Khamis, 22 April 2010 dia pulang ke rumah dengan ambulans. Doktor tidak membenarkannya menaiki kapal terbang memandangkan keadaannya yang kritikal.
Aku dan isteri sempat ke rumahnya pada hari Jumaat yang lalu. Dia tidak banyak bercakap. Gelisah. Sensitif. Matanya kuning. Tubuhnya amat kurus berbanding semasa sihat dulu. Pada hari Sabtu, 1 Mei 2010 jam 2.30 pagi, aku menerima panggilan telefon daripada ibu saudara yang mengatakan saudara Azaruddin telah meninggal dunia jam 1.48 pagi. Aku bergegas ke Kuala Terengganu.
Jenazah Allahyarham Azaruddin, 34 tahun disembahyang di Masjid Padang Midin selepas solat zohor. Beliau dikebumikan Tanah Perkuburan berhampiran masjid iaitu tempat arwah ibu yang meninggal dunia beberapa bulan yang lalu. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak yang masih kecil.
19 April 2010
MAK TEH
buat Mak Teh yang kusayangi:
tadi pagi
aku mendengar angin berbisik
dikau sudah melangkah jauh
membawa bekal yang dikau siapkan semalam
tak sempat kuucapkan salam
tak sempat kuhulur tangan
tergesa sungguh
terasa sungguh
dan meninggalkanku
sekeping kenangan
secebis ingatan
di taman itu
yang pernah kita bersama
dulu.
dari jauh
kupanjatkan doa
kupohonkan harapan
kepadaMu Ya Allah
lindungilah dia
limpahkan rahmatMu
sepanjang perjalanannya.
16 April 2010
AL-FATIHAH
Pagi tadi, selepas solat subuh, aku lihat ada 'missed call' pada jam 2.34 pagi oleh sepupuku, Zaima. Aku membuat agakan mungkin masalah pelajar di sekolah. In kerana di sekolah sedang berjalan Kem Lembayung Kasih Cakna Kerohanian yang melibatkan pelajar cemerlang sekolahku. Aku dilantik sebagai ahli jawatankuasa keselamatan. Memandangkan keadaan baik, cuaca elok, bayu lautpun bertiup lembut maka aku serah tugas tu kepada Tuan Kob, kaunselor sekolah. Aku balik ke rumah hampir jam 12.00 malam. Cikgu Tuan Kob tidur di sekolah bersama Pengetua, Ustaz Hassan, Cikgu Wan Maizan, Cikgu Maria, Cikgu Hazwani dan Cikgu Samihah. Aku jaga keselamatan kat rumah aje...hehehe
Pada pukul 6.45 pagi, aku ke kubur menziarahi kubur arwah ibuku bersama anak-anak, Nurul Iman dan Mukmin. Sampai di sana, aku melihat sepupu, Abdullah dan Seman sudah berada di situ. Aku menyapa mereka dan aku dimaklumkan bahawa awal pagi tadi, ibu saudaraku, Mek Jah binti Mahat, 86 tahun iaitu kakak kepada ayahku telah meninggal dunia secara tiba-tiba dipangkuan anaknya, Abdullah. Innalillahiwainnailaihirojiun.
Mek Jah atau lebih mesra dipanggil Mak Teh, di kalangan anak-anak saudara merupakan seorang yang baik budi, lemah lembut dan disenangi oleh semua orang. Jenazah Allahyarhamah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Raja. Sebelum itu, jenazah telah disembahyangkan selepas solat Jumaat di Masjid Nasiruddin Shah. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya.
Al-Fatihah.
05 April 2010
HOKI
Hebat. Kontroversi. Tahniah.
Itulah perkataan yang sesuai untuk aku ucapkan selepas selesai perlawanan hoki antara sekolahku dengan Sekolah Menengah Teknik Besut.
HEBAT- Pasukan sekolah terpaksa bermain bermati-matian untuk menyamakan jaringan setelah ketinggalan 1-0 pada perlawanan masa pertama. Akhirnya jaringan penantian dapat disempurnakan sebelum wisel penamat ditiup oleh pengadil.
KONTROVERSI -Setelah perlawanan berakhir dengan kedudukan 1-1, maka pemenang akan ditentukan melalui penalti. Namun banyak kontroversi yang berlaku.
a. Pemain sekolah teknik memukul bola keluar tetapi tidak dikira oleh pengadil. Alasan dia belum meniup wisel. Pemain itu diminta melakukan pukulan kali kedua....bola masuk ke dalam gol. Cikgu Ramlan membuat bantahan kepada pengadil.
b. Pasukan Sekolah Teknik mendakwa bolanya masuk ke dalam gol tetapi ditolak oleh pengadil.
c. Pasukan Sekolah Teknik mendakwa pasukan mereka tidak diberi peluang satu pukulan lagi berbanding dengan sekolahku.
Akhirnya, sebelum azan maghrib berkumandang, pasukan Sekolah Teknik mengambil keputusan untuk pulang. Rupa-rupanya mereka membuat bantahan. Atas dasar semangat kesukanan, satu perlawanan semula ( penaliti ) sahaja diadakan pada hari Rabu jam 9.30 pagi. Akhirnya pasukan sekolahku memenangi dengan keputusan 3-1.
TAHNIAH- Untuk Cikgu Ramlan yang bersungguh-sungguh melatih anak buahnya sehingga kedua-dua pasukan lelaki dan perempuan SMKPNZ A berjaya melangkah kaki ke perlawanan akhir pada hari esok - 6 April 2010. Sesungguhnya, berbaloilah walaupun kulit yang sawo matang sudah bertukar kehitam-hitaman.
PANTAI KEHIDUPAN
entah mengapa
hati ini begitu gundah
menempuh perjalanan tadi siang
yang begitu panjang terasa.
tertanya-tanya aku
adakah dedaunan malam nanti
meluruhkan ketenangan
atau ketakutan menyelimuti diri
di celah-celah kegelapan.
aku menyabar hati ini
berkolek di lautan
tidak sunyi tidak sepi
berombak keresahan
bergelombang cabaran
tetap hadir
menyapa pantai
menjadi buih-buih kenangan
Langgan:
Catatan (Atom)











